Setiap tahun, penganut agama Buddha di negara kita menyambut perayaan hari Wesak. Bagaimanapun, berbeza dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas, sambutan hari Wesak dilihat bersifat jauh lebih sederhana serta kurang dipromosikan.

Kenapa? Pada pandangan penulis, sambutan hari Wesak sengaja disederhanakan kerana ajaran Buddha sendiri mengutamakan seseorang penganut agama Buddha tidak terlalu mementingkan perihal duniawi serta mengamalkan keseimbangan. Ini berdasarkan hasil pembacaan penulis berkenaan agama Buddha. Jika salah, tolong betulkan ya?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apakah asal-usul sambutan Hari Wesak? Jom kita selami serba sedikit sejarah dan sebab kenapa masyarakat Buddha menyambut hari ini setiap tahun.

Persidangan pertama komuniti Buddha dunia

first world fellowship of buddhist conference at sri lanka in 1950 dr ambedkar and mrs ambedkar with the delegates and observers from all over the world are seen in the photograph

Pada tarikh 25 Mei 1950 sehinggalah 6 Jun, komuniti penganut Buddha yang dilantik sebagai pemimpin masyarakat mereka berkumpul beramai-ramai di sebuah kuil yang bernama Holy Temple of the Tooth, yang terletak di Kandy, Sri Lanka.

Seramai 129 delegasi daripada 29 buah negara yang mempunyai komuniti Buddha menghantar wakil. Sempena tarikh permulaan persidangan itu bermula, mereka sebulat suara memilih 25 Mei 1950 sebagai hari pertama sambutan ulangtahun yang dinamakan sebagai hari Wesak.

Selain daripada itu, dalam persidangan tersebut banyak perkara tentang ajaran Buddha diselaraskan dengan berjaya. Perwakilan berjaya mencapai kata sepakat memilih untuk menggunakan simbol 'dharmacakra' atau 'roda peraturan' yang mempunyai 8 batang kaki penyokong sebagai simbol rasmi komuniti Buddha seluruh dunia.

bendera buddha

Persidangan itu juga berjaya memuktamadkan pengenalan bendera enam warna yang dikenali sebagai bendera Buddha, sebagai satu simbol agama tersebut dalam peringkat antarabangsa.

Dua perkara paling besar yang diubah dalam persidangan tersebut melibatkan dua perkara berbeza. Perubahan paling memberikan impak pada komuniti Buddha adalah perubahan terma dan istilah cabang 'Hinayana' yang ditukar menjadi cabang 'Thevarada.' Perubahan ini perlu dilakukan kerana istilah Hinayana dirasakan kurang sesuai serta tidak menepati ajaran Buddha turun temurun malahan menghina mereka yang mengikutinya.

Atas sebab itulah sehingga kini wujud dua cabang ajaran Buddha yang kekal iaitu Mahayana dan Thevarada.

Perkara kedua yang berjaya diputuskan persidangan, adalah permulaan tradisi sambutan Hari Wesak. Semua wakil persidangan bersetuju untuk menjadikan hari pertama bulan mengambang penuh setiap bulan Mei sebagai hari Wesak atau hari Buddha, di seluruh dunia.

Apa itu Wesak?

wesak day malaysia

Walaupun dimulakan sejak persidangan tersebut, sejarah hari Wesak sebenarnya sudah bermula lebih lama. Masyarakat Buddha di Nepal misalnya sudah pun mengamalkan sambutan ini sekian lama.

Dinasti maharaja Nepal yang memerintah negara tersebut sudah pun mengisytiharkan setiap hari pertama bulan mengambang penuh yang dikenali sebagai Purnima, sebagai hari cuti umum. Sudah lama wujud cadangan daripada dinasti tersebut supaya seluruh penganut agama Buddha di seluruh dunia turut sama berkongsi cuti yang sama, sebagai memperingati tokoh paling agung dalam kepercayaan mereka, Gautama Buddha.

Selain daripada dikenali dengan nama gelaran Hari Wesak atau Vesak Day, nama lain bagi sambutan ini adalah Buddha Jayanti, Buddha Purnima dan juga Hari Buddha atau Buddha Day. Sambutan ini disambut di seluruh dunia di mana terdapat masyarakat Buddha, seperti di negara kita, Singapura, Jepun, Sri Lanka, Nepal, Vietnam malahan beberapa negara Eropah serta Amerika Syarikat.

Istilah Wesak atau Vesak sebenarnya diambil daripada nama bulan dalam kalendar lunar kuno India, yang biasanya jatuh sekitar bulan April sehingga bulan May. Istilah asalnya adalah 'vesakha' atau 'vaisakha'. Perkataan asalnya itu membawa makna 'sesuatu' sebelum maknanya berubah, mewakili nama sambutan yang mereka sambut setiap tahun.

Kenapa hari Wesak disambut?

ilustrasi kelahiran buddha pijak bunga teratai

Dianggap sebagai salah satu sambutan paling penting agama Buddha, penganut Buddha menyambut perayaan ini sebagai meraikan hari kelahiran Putera Siddhartha Gautama. Siddhartha merupakan seorang putera yang lahir sekitar tahun 5BC ke dalam sebuah keluarga orang bangsawan.

Walau bagaimanapun, beliau merasakan harta dunia yang dimiliknya tidak membawa kebahagiaan kepada dirinya. Jadi Putera Siddhartha mengambil keputusan membuang semuanya, keluar merantau dan hidup merempat bagi melihat sendiri realiti sebenar dunia.

Selepas beberapa tahun menyaksikan sendiri hakikat sebenar dunia nyata dan kesengsaraan orang ramai bersusah payah dalam hidup, Putera Siddhartha berjaya mencapai tahap kesedarannya tentang hidup. Semenjak tersedar, dia mula dikenali dengan nama Buddha yang bermakna 'dia yang telah sedar.' 49 hari selepas mencapai tahap tersebut, Putera Siddhartha menamatkan meditasinya lalu mula mengajar Roda Dharma yang pertama.

Sambutan Hari Wesak berbeza-beza di seluruh dunia. Di Malaysia khasnya, penganut agama Buddha akan berkunjung ke kuil Buddha dan membawa barang-barang makanan untuk didermakan kepada mereka. Kuil-kuil akan dibersihkan, digantung dengan tanglung dan lampu. Pengunjung yang hadir akan dibantu oleh sami-sami Buddha akan sama-sama bertafakur memperingati pengorbanan yang telah dilakukan seorang putera yang sanggup hilang segalanya - hanya untuk mengenali kesusahan dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)