Istilah kafir membawa stigma yang cukup besar dalam masyarakat kita.
Sehingga ada pihak menggesa kerajaan untuk melarang atau memperketatkan penggunaan istilah itu bagi melindungi keharmonian di negara kita. Sudah banyak sebenarnya penerangan diberikan oleh ahli agama mewakili orang Muslim dalam merungkai stigma serta rasa benci yang timbul, berkenaan terma kafir.
BESARKAN TEKS A- A+
Persoalannya - kenapa istilah kafir dijadikan sasaran sedangkan dalam agama-agama lain pun, turut mempunyai istilah masing-masing yang membawa maksud yang mirip dengan 'kafir.'
Apakah istilah-istilahnya?
1. "Infidel"
Asal-usul istilah ini daripada segi perkataannya datang daripada perkataan 'fides' dalam bahasa Latin yang membawa makna 'kepercayaan.' Apabila perkataan 'in' yang bermakna 'tidak' digabungkan dengan perkataan 'fides', gabungan dua perkataan itu akan membentuk perkataan 'infidelis' yang bererti 'tiada kepercayaan.'
Pada abad ke 15, bagi meringkaskan perkataan itu ke dalam bahasa Inggeris, terma 'infidelis' diringkaskan kepada 'infidel.'
Dalam kitab Bible, perkataan ini digunakan sebanyak dua kali di bahagian 2 Corinthians 6:15 dan juga 1 Timothy 5:8. Bagaimanapun, penggunaan istilah itu juga dilakukan pertukaran dalam beberapa versi kitab Bible selepas itu, digantikan dengan istilah 'unbeliever.'
'Infidel' secara khasnya merujuk kepada mereka yang tidak melalui acara baptis, kerana acara baptis dipercayai oleh golongan Katolik Kristian sebagai amalan yang membawa mereka masuk ke dalam golongan yang memegang kepercayaan. Ini bermakna, semua penganut agama lain, orang pagan serta bermacam lagi kepercayaan lain layak digelarkan sebagai 'infidel.'
Harus diperjelaskan, terma 'infidel' ini sebenarnya lebih mirip kepada ajaran Katolik sahaja. Untuk memahami perbezaannya, mana-mana pengikut ajaran Kristian yang tidak menjadi pengikut Katolik tidak akan dilabelkan sebagai seorang individu 'infidel.'
Mereka akan digelarkan dengan gelaran 'bukan Katolik' atau 'non-Catholic' kerana mereka telah dibaptiskan. Kelompok penganut ajaran Kristian yang layak digelarkan dengan label ini merangkumi banyak cabang ajaran Kristian bukan di bawah ajaran Katolik.
Label 'non-Catholic' juga akan diberikan kepada pengikut Katolik yang melawan ajaran agama iaitu kelompok 'heretic' dan juga mereka yang memecah belahkan ajaran Katolik kepada bentuk lain, yang digelarkan sebagai kelompok 'schism.' Jelas kan perbezaan di antara 'infidel' dengan 'non-Catholic'? Kata kuncinya di sini adalah amalan baptis, yang membezakan di antara seorang 'infidel' dengan seorang 'non-Catholic.'
Adakah 'kafir' dengan 'infidel' sama? Tidak. 'Infidel' mewakili seseorang yang tidak pernah dibaptis. 'Kafir' pula maknanya lebih meluas, bukan sekadar mewakili seseorang yang menolak ajaran Islam semata-mata.
2. "Goyim"
Perkataan ini banyak dikongsikan sebagai label negatif yang digunakan orang Yahudi kepada individu lain, yang berlainan kepercayaan dengannya. Bagaimanapun, tidak ramai memahami konteks sebenar makna istilah tersebut.
'Goyim' sebenarnya datang daripada kata akar bahasa Hebrew 'goy' yang membawa makna 'negara.' Sementara itu 'goyim' pula membawa makna 'orang atau individu bernegara.' Tetapi harus kita fahami, dalam istilah tersebut - negara yang dimaksudkan adalah negara selain negara terpilih iaitu Israel. Jadi terma 'goyim' secara ringkasnya bermaksud 'orang negara lain' yang seterusnya merujuk kepada 'bukan Yahudi.'
Kepercayaan orang Yahudi menyifatkan Tuhan mereka YHVH (Yod, Hey, Vav dan Hey) membeza dan membahagikan semua manusia kepada dua kumpulan - orang Israel yang digelarkan sebagai 'Children of Israel' dan juga goyim, iaitu kita semua lah.
Wujud istilah lain yang mirip dengan 'goyim' yang digunakan dalam bahasa Inggeris, iaitu 'gentiles.' Istilah 'gentiles' digunakan sebagai terjemahan perkataan 'goyim' ketika penganut agama Yahudi menterjemahkan kitab mereka daripada bahasa Hebrew kepada bahasa Inggeris.
Terma itu diambil daripada perkataan Latin 'gens' yang bernama 'kumpulan manusia' digabungkan dengan imbuhan 'ile' yang mewujudkan perkataan 'gentilis.' Ejaan 'gentilis' diubah kepada 'gentiles' seiring dengan perubahan tulisan dalam kitab-kitab Bible orang Yahudi berbahasa Inggeris.
3. Apakah 'infidel' dan 'goyim' sama dengan murtad?
Tidak. Seperti Islam ada istilah 'murtad' bagi menunjukkan seseorang yang telah meninggalkan ajaran Islam, agama Kristian dan Yahudi juga mempunyai istilah masing-masing yang akan digunakan dalam situasi tersebut.
Dalam agama Kristian, seseorang yang meninggalkan ajaran akan digelarkan sebagai seorang 'apostate.' Istilah itu datang daripada perkataan Greek 'apostasia' yang membawa makna 'seseorang yang memberontak.'
Bagi penganut agama Yahudi pula yang meninggalkan kepercayaan mereka, wujud banyak gelaran yang ada untuk digunakan kepada mereka ini. Istilah seperti 'mumar' (seseorang yang berubah), 'poshea Yisrael' (seseorang yang menentang Israel) dan 'kofer' (mereka yang tidak percaya) akan digunakan.
Selain label-label itu yang diwujudkan secara tidak rasmi, wujud dua lagi istilah rasmi yang digunakan bagi mengklasifikasikan individu yang menolak ajaran Yahudi. Istilah 'anusim' akan diberikan kepada mereka yang dipaksa keluar daripada agama sehingga individu itu terpaksa memeluk agama lain.
Satu lagi istilah pula disebut sebagai 'meshumad' iaitu mereka yang atas kerelaan diri menolak cara hidup dan kepercayaan ajaran Yahudi secara keseluruhannya.
Rujukan