Apabila kita menyebut tentang kumpulan ahli kitab, kebiasaannya kita hanya akan menyebut tentang dua kumpulan besar yang ada iaitu orang Yahudi dan orang Nasrani.
Tetapi tahukah anda di dalam al-Quran sendiri ada disebutkan tentang kumpulan ahli kitab yang ketiga dinamakan sebagai orang Sabi'un atau dalam istilah moden - orang Sabian.
Jika anda seorang penggemar muzik, anda pasti tahu wujud sebuah jenama alat muzik popular yang menggunakan nama Sabian. Ada kaitan kah antara kedua-duanya? Siapakah komuniti Sabian ini dan mengapakah mereka kurang disebutkan? Jom kita pelajari serba sedikit.
BESARKAN TEKS A- A+
Bukti kewujudan orang Sabian dalam al-Quran
Di dalam al-Quran, orang Sabian ada disebutkan sebanyak 3 kali.
Yang pertama di dalam surah Al-Baqarah (2:62). "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."
Kedua, di dalam surah Al-Hajj (22:17); "Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik, sesungguhnya Allah akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu."
Yang terakhir, di dalam surah Al-Maidah (5:69) ; "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani - sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah (dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."
Siapakah orang Sabian?
Wujud beberapa perbezaan pendapat berkenaan status sebenar orang Sabian sama ada mereka patut atau tidak dianggap sebagai kumpulan ahli kitab.
Orang Sabian merupakan sebuah kumpulan orang beragama yang dipercayai menetap di kawasan-kawasan bahagian selatan Mesopotamia, kini terletak di negara Iraq sebelum era permulaan penyebaran ajaran Nabi Isa as. lagi. Kepercayaan mereka mengambil elemen-elemen ajaran Yahudi, Zoroastrian, Majusi dan seterusnya ajaran Kristian selepas agama itu tersebar.
Berdasarkan kajian, pusat kegiatan orang Sabian adalah sebuah bandar bernama Harran yang kini terletak di selatan Turki. Pada awalnya, orang-orang tamadun Mesopotamia menyembah dewa dan dewi yang dikaitkan dengan kejadian astral di langit, berbeza dengan masyarakat lain ketika itu yang memilih untuk menyembah berhala-berhala. Mereka juga mengamalkan cara hidup berdasarkan falsafah-falsafah orang Rom era Hellenistic.
Sabian adalah istilah bahasa Inggeris, tetapi istilah Arabnya berbunyi sebagai Sabii'un. Makna nama kumpulan ini adalah 'kelompok yang telah meninggalkan kepercayaan mereka masuk ke dalam kepercayaan lain.'
Orang Sabian menurut pengkaji Islam
Walaupun disebut 3 kali dalam al-Quran, sehingga ke hari ini tidak dapat dibuktikan dengan tepat kelompok orang Sabian manakah yang dimaksudkan dalam firman Allah swt. secara terperinci.
Ini kerana pengkaji-pengkaji era moden mendapati wujud percanggahan dalam maklumat berkenaan orang Sabian yang diperolehi oleh pengkaji semasa zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyyah, era di mana kajian tentang siapakah orang Sabian dimulakan.
Kajian terawal orang Sabian dilakukan oleh seorang pengkaji Muslim bernama Abi Al-Hajjaj Mujahid bin Jabar al-Makki yang tinggal di Mekah sekitarabad ke 7. Abi Al-Hajjaj mengatakan bahawa orang Sabian merupakan sebuah kumpulan orang beragama yang mengamalkan campuran elemen Zoroastrian, Yahudi dan Kristian; tetapi tidak mempunyai satu bentuk agama yang tetap atau formal.
Mereka percaya kepada ke-Rasulan para Nabi iaitu Nabi Adam as dan Nabi Nuh as., mengamalkan berpuasa selama sebulan dan bersembahyang lima kali sehari tetapi berkiblatkan ke arah selatan.
Banyak pendapat menyebut ada di kalangan orang Sabian mengamalkan kepercayaan tauhid, mengakui kewujudan Tuhan Yang Masa Esa. Beberapa pendapat lain menyebutkan orang Sabian mengamalkan apa yang dikatakan sebagai kepercayaan 'fitrah', iaitu kepercayaan yang wujud sejak kita lahir, tetapi tidak mempunyai peraturan atau undang-undang yang tetap.
Mengapa ada pendapat mengatakan orang Sabian ini adalah ahli kitab? Ini kerana beberapa kajian yang dijalankan mendapati bahawa kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud as. merupakan antara bahan rujukan masyarakat Sabian yang paling utama.
Amat sukar sebenarnya pengkaji untuk mengkelaskan ajaran Sabian ini berikutan perbezaan-perbezaan amalan serta kepercayaan yang mereka amalkan, hasil daripada pengaruh pelbagai jenis amalan dan kepercayaan masyarakat lain di sekeliling mereka - jadi penulis memilih untuk tidak membuat sebarang kesimpulan berkaitan kepercayaan mereka.
Orang Sabian zaman moden
Pada zaman sekarang, komuniti-komuniti penganut kepercayaan Sabian ini dikatakan diteruskan oleh masyarakat Mandaean, sebuah masyarakat kecil yang tinggal di sekitar Nasiriyah, Iraq dalam kelompok mereka sendiri.
Bagaimanapun, berikutan larangan kepercayaan mereka yang tidak membenarkan penganut kepercayaan itu mendedahkan pegangan mereka, orang Mandaean mengamalkan cara hidup yang terasing daripada masyarakat luar serta merahsiakan semua amalan agama - menyukarkan usaha untuk lebih memahami bagaimana agama mereka dianuti pada zaman moden.
Pada era pencerobohan Iraq oleh kerajaan Amerika Syarikat bagi menggulingkan kerajaan Saddam Hussein, orang Mandaean berdepan kehidupan sukar akibat daripada tekanan yang berlaku ke atas mereka. Golongan wanita mereka dirogol dan individu Mandaean dijadikan sasaran pembunuhan. Masyarakat Mandaean yang terkenal dengan kemahiran tukang emas mula menjadi sasaran penculik.
Oleh kerana kepercayaan mereka mengajar penganut mereka untuk tidak melakukan sebarang bentuk kekerasan, orang Mandaean tidak ada cara untuk mempertahankan diri ekoran larangan menggunakan senjata.
Komuniti kecil ini terpaksa berpindah dan berpecah belah ke negara-negara jiran mereka seperti Iran, Jordan dan Syria, juga beberapa negara Eropah, berikutan kebimbangan mereka. Jumlah populasi mereka yang sebelum itu sekitar 60 ke 70 ribu orang kesemuanya di Iraq tidak lagi bersatu dek angkara politik dunia.
Rujukan