Oleh pada 27 Nov 2024 kategori

Setiap hari kita menggunakan gajet-gajet moden yang dikuasakan menggunakan tenaga elektrik.

Tabiat penggunaan kita mendedahkan kita kepada risiko yang jarang kita bicarakan, tetapi bila berlaku kes-kes kematian mengejut disebabkan renjatan elektrik berkait gajet, kita pasti akan memberikan perhatian.

Tahukah anda secara amnya tubuh manusia mempunyai tahap toleransi terhadap arus elektrik yang diklasifikasikan dalam lima fasa berbeza, mengikut tahap pendedahan dan risiko bahaya tertentu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Klasifikasi ini membantu kita faham bahaya arus elektrik. Jom kita belajar tentang lima fasa renjatan ini.

Menentukan klasifikasi tahap renjatan

penggunaan elektrik yang tidak selamat

Kajian tentang arus elektrik dan kesannya terhadap tubuh manusia telah bermula pada abad ke-18.

Eksperimen yang dibuat penyelidik Benjamin Franklin mengenai elektrik, termasuk eksperimen layang-layang yang sering diceritakan, membentuk asas yang kita tahu sekarang dalam pemahaman mengenai fenomena elektrik.

Seterusnya penciptaan bateri oleh Alessandro Volta pada tahun 1800 memudahkan penyelidikan eksperimen dalam bentuk lebih terkawal, membolehkan kita faham tentang elektrik itu sendiri.

Kajian awal imembentuk prinsip asas keselamatan elektrik yang akhirnya menjana klasifikasi toleransi arus oleh tubuh. Faktor utama yang mempengaruhi sesuatu tahap renjatan adalah magnitud arus, tempoh pendedahan dan juga laluan yang dilalui arus dalam tubuh.

Apa yang telah dipelajari, membawa kita kepada konsep lima fasa renjatan yang kita gunapakai sekarang.

Pertama : Tahap renjatan persepsi

fasa renjatan elektrik

Tahap persepsi adalah tahap arus minimum yang kita rasakan, biasanya sekitar 1 milliampere (mA) untuk arus ulang-alik (AC atau alternate current) pada frekuensi 60 Hz.

Pada tahap ini, arus elektrik hanya menimbulkan sensasi seperti semut-semut (anda ada istilah yang lebih murni untuk kami gunakan?) yang secara umumnya tidak berbahaya.

Fasa ini secara meluas digunakan dalam peranti keselamatan pendawaian seperti pemutus litar pintasan arus yang mampu mengesan arus pada tahap kecil ini seterusnya memutuskan bekalan kuasa untuk mengelakkan kerosakan lebih serius.

Kedua : Tahap lepas

kejutan elektrik dan fasa atau tahap

Tahap lepas adalah tahap yang agak menakutkan, di mana seseorang tidak lagi mampu melepaskan objek yang mengakibatkan renjatan secara sukarela.

Renjatan ini berlaku bermula sekitar 10 mA dan pada tahap ini, arus mampu menyebabkan pengecutan otot secara tidak terkawal, sangat berbahaya jika seseorang tidak mampu melepaskan sumber dari mana datangnya arus.

Ketiga : Tahap berlaku kecederaan

bagaimana tahap renjatan yang berbahaya

Bila dah masuk tahap ketiga kita dah mula perlu lebih ambil serius.

Pada tahap ketiga ini, arus elektrik dikategorikan sudah melebihi 50 mA yang menyebabkan kesakitan teruk dan kecederaan. Pada tahap ini, arus mudah mengganggu sistem saraf, menyebabkan pengecutan otot dan kesukaran bernafas serta lecuran jika individu itu bersambung dalam durasi yang lebih lama.

Pendedahan yang berpanjangan akan mengakibatkan kecederaan serius seperti luka bakar mendalam dan lebih teruk, kerosakan saraf.

Memang ditakuti, standard dan peraturan keselamatan yang dijadikan piawai biasanya dirangka bagi memaksimakan pencegahan pendedahan kepada arus pada tahap ini.

Keempat : Tahap kerosakan fibrilasi ventrikel

fahami tahap renjatan elektrik

Tahap empat, iaitu tahap kerosakan fibrilasi ventrikel adalah situasi yang mengancam nyawa seseorang, bilamana renjatan menyebabkan aktiviti elektrik jantung menjadi tidak teratur, membawa kepada serangan jantung.

Renjatan tahap ini berlaku pada arus antara 100 dan 200 mA, dikategorikan sebagai sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan kematian mengejut jika tidak dirawat dengan segera.

Untuk memulihkan individu yang terkena renjatan tahap ini, alat defibrilator wajib digunakan bagi mengembalikan rentank degupan jantung yang normal.

Kelima : Tahap membunuh

Arus melebihi 200 mA dianggap mampu mematikan, jadi seandainya seseorang terkena renjatan tahap ini....ucapkanlah selamat tinggal dunia. Pada tahap ini, arus menyebabkan luka lecur teruk, kerosakan organ dalaman dan serangan jantung.

Kecederaan elektrik berkuasa tinggi selalunya berakhir dengan kematian akibat kerosakan organ disebabkan kadar arus tersebut.

Protokol keselamatan dan penggunaan peralatan pelindung sangat penting untuk mengelakkan pendedahan kepada arus yang tinggi, khususnya bagi mereka yang bekerja dengan arus elektrik tahap ini.

Ada tak individu yang ada ketahanan luar biasa terhadap arus elektrik?

lelaki india kebal renjatan elektrik

Panjang bercakap tentang perkara menakutkan, kita akhiri artikel ini dengan sesuatu yang lebih ringan ya!

Ada tak orang yang kebal elektrik? Ada! Salah seorang individu yang direkodkan mempunya tahap ketahanan tinggi terhadap arus elektrik luar biasa ialah Rajmohan Nair, seorang lelaki India yang dikenali sebagai "manusia elektrik."

Nair telah menunjukkan keupayaan bebas renjatan walaupun tubuhnya dialirkan arus yang mampu mematikan kebanyakan orang. tanpa mengalami kecederaan; satu fenomena yang membingungkan saintis.

Ketahanan unik Nair terhadap arus elektrik dikaitkan dengan rintangan tubuhnya yang luar biasa tinggi, yang menghalang arus daripada menyebabkan kerosakan yang ketara. Bagaimanapun, dakwaan Rajmohan ini ditolak seorang pempengaruh internet popular Electroboom, yang terkenal dengan eksperimen gila berkait elektrik.

Siapa yang benar dan siapa yang salah, tidak kita ketahui secara jelas tetapi kebolehan Rajmohan telah banyak kali diuji namun lagi elok kalau anda pandai-pandai buatlah kesimpulan sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)