Oleh pada 07 Jan 2020 kategori

Sejak kebelakangan ini, anda mungkin pernah melihat video yang memaparkan golongan kaya seperti pemain bola sepak mahupun artis terkenal yang menikmati hidangan seperti burger atau steak yang diselaputi lapisan emas.

Pada awal tahun 2019 yang lalu, pemain bintang Bayern Munich Frank Ribery misalnya, telah dikecam teruk oleh netizan kerana didakwa berbelanja secara keterlaluan apabila menikmati hidangan steak dilapisi lapisan emas yang dikatakan mencecah £1,000.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perkara ini turut menjadi tular kerana hidangan tersebut dinikmati di restoran di Dubai milik Nusret Gokce yang lebih dikenali sebagai Salt Bae. Bagi yang pertama kali melihat hidangan sedemikian, pasti berasa pelik memandangkan emas biasanya dijadikan barangan perhiasan dan bukanlah sejenis makanan.

Malah, ada penonton atau netizan yang tertanya-tanya adakah lapisan itu adalah emas sebenar ataupun sekadar pewarna yang memberikan warna keemasan tersebut. Jika lapisan emas sebenar yang digunakan, adakah ianya selamat untuk dimakan?

Sejarah emas dijadikan makanan

makan emas

Walaupun tabiat menggunakan emas sebagai "perhiasan" pada makanan dilihat sebagai perkara yang baru, ia sebenarnya sudah diamalkan sejak ribuan tahun lalu sejak zaman purba di China, Jepun dan Mesir. Malah, emas juga sudah dimakan di Rom purba dan pernah mendapat tempat dalam hindangan istimewa yang dihidangkan di istana-istana yang terkenal di zaman Renaissance.

Walaupun tidak mempunyai apa-apa rasa, daun atau lapisan emas yang yang digunakan akan menjadikan hidangan tersebut berkilau dan kelihatan mewah, sangat berguna untuk menarik perhatian tetamu anda. Penggunaan emas dalam hidangan makanan telah beransur-ansur kurang tapi tidak hilang sepenuhnya sehinggalah ke saat ini.

Walaupun mungkin jarang kelihatan, anda masih boleh melihat lapisan emas (biasanya berbentuk daun) menghiasi kek perkahwinan dan dijadikan perhiasan untuk makanan-makan mewah yang dihidangkan di restoran-restorang bertaraf Michelin Star.

Penggunaan pada masa kini

burger emas

Hidangan "Douche Burger" yang mengandungi hirisan emas dijual pada harga $666

Penggunaan emas dalam makanan semakin meluas pada masa kini memandangkan ianya lebih mudah "diakses" dan tidak dihadkan untuk golongan elit tertentu. Walau bagaimanapun, ianya tetap hanya mampu "dinikmati" oleh golongan kaya sahaja memandangkan harganya tetap mahal.

Malah, sejak kebelakangan ini terdapat banyak hidangan yang dihidangkan bersama dengan lapisan emas ini antaranya sushi, burrito, kepak ayam, pizzal, donut, pasta dan sebagainya. Walaupun dianggap mengarut, mereka yang pernah menikmatinya menganggap menikmati hidangan unik sebegini sebagai satu pengalaman yang tidak boleh dilupai.

Adakah emas selamat untuk dimakan?

donut emas 521

Berbalik kepada soalan utama dalam artikel ini.

Jawapan ringkas bagi persoalan ini adalah, ya, emas adalah selamat untuk dimakan. Namun, terdapat beberap perkara penting yang perlu diperhatikan dan diperhalusi terlebih dahulu.

Emas adalah sejenis elemen yang tidak akan menghasilkan tindak balas kimia dengan elemen lain. Ini bermakna, apabila ditelan ianya akan masuk ke dalam badan dan tidak akan menghasilkan tidakbalas dengan bahan kimia atau sebatian lain yang ada di dalam badan. Namun, perkara ini terpakai untuk emas tulen sahaja. 

Oleh itu, apabila anda memakan emas dalam jumlah yang kecil, ianya akan dikeluarkan daripada badan dalam bentuk yang sama ianya dimasukkan ke dalam badan. Dalam erti kata lainnya, memakan emas tidak memberikan sebarang manfaat langsung kepada kesihatan manusia. 

Standard emas yang selamat dimakan

sushi emas 993

Walau bagaimanapun, sekiranya anda benar-benar hendak mencuba hidangan yang mengandungi emas ini, perlulah dipastikan emas yang digunakan mencapai kualiti dan standard yang tertentu.

Emas yang digunakan sebagai barangan perhiasan mengandungi banyak elemen lain yang sudah dicampurkan dengannya, seterusnya menjadikannya toksik untuk dimasukkan ke dalam badan.

Emas yang digunakan dalam hidangan biasanya adalah pada standard 23 dan 24 karat. Ini bermakna emas tersebut mestilah sekurang-kuranya mengandungi 90% elemen emas tulen sementara 10% selebihnya adalah elemen logam tulen, contohnya seperti perak.

Walau bagaimanapun, tidak semua perak selamat dimakan. Perak tidak sama dengan emas kerana terdapat perak versi ionik dan tidak ionik. Elemen perak yang tidak ionik adalah tidak aktif, bermakna ianya tidak akan diserap dalam tubuh badan, menjadikannya selamat untuk dimakan.

Kebanyakan individu yang menikmati hidangan dilapisi lapisan emas sebegini biasanya melakukannya untuk merasai sendiri pengalaman unik menikmatinya. Namun, seperti yang ditulis di atas, sekiranya anda tidak berkemampuan maka elaklah membelinya pada harga yang lebih murah kerana dikhuatiri dicampuri elemen lain seterusnya menjadikannya tidak selamat untuk dimakan.

Kredit:

  1. The Independent
  2. Slate



Hakcipta iluminasi.com (2017)