Oleh pada 19 Mar 2020 kategori

Salah satu sifat berkenaan virus Covid-19 yang kita tahu adalah bagaimana virus itu mampu hinggap pada badan seorang pembawa tanpa menunjukkan sebarang simptom selama 7 ke 14 hari.

Sifat tersebut memberikan masalah yang sangat besar pada pasukan perubatan, kerana tempoh jangkitan yang ada - mampu menyebabkan merebaknya jangkitan kepada orang lain tanpa mampu dikesan. Sekiranya anda mahu tahu statistik yang lebih tepat; Covid-19 mempunyai purata tempoh inkubasi 5.1 hari selepas jangkitan. 97.5% individu yang dijangkiti hanya mula menampakkan simptom jangkitan selepas 11.5 hari secara puratanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam kiraan yang konservatif, 101 daripada 10,000 kes jangkitan mula menampakkan simptom pada individu yang dijangkiti hanya selepas 14 hari jangkitan berlaku. Bahaya kan?

Setiap virus mempunyai watak atau sifatnya yang tersendiri dan berbeza-beza. Selain Covid-19 dengan sifat tersendirinya, ada berjuta virus lain yang mempunyai sifat berbeza - menyerang pantas, mampu hidup lama dalam tubuh kita bertahun-tahun lamanya dan ada juga yang suka menyerang hendap sekali-sekala.

Kajian berkenaan sifat jangka hayat keaktifan virus menyatakan majoriti virus akan melalui 3 peringkat sama - jangkitan, inkubasi dan mula aktif. Walau bagaimanapun, ada juga yang berbeza.

Peringkat inkubasi pembiakan virus

sampel coronavirus covid 19

Jangkamasa inkubasi merupakan waktu di mana virus yang telah menjangkiti seseorang akan membiak selepas jangkitan. Proses pembiakan yang berlaku akan mengambil masa bergantung kepada jenis virus.

Seperti yang kami sebutkan, secara purata Covid-19 mempunyai purata 5.1 hari proses inkubasi. Kajian menunjukkan kadar inkubasi Covid-19 boleh berlaku sepantas 2 hari atau selama 24 hari.

Apa yang kita perlu fahami, jangkamasa inkubasi (incubation period) dan jangkamasa kependaman virus (virus latency) merupakan dua peringkat berbeza. KIta cerita tentang inkubasi dulu. Secara amnya, jangkamasa inkubasi dianggap sebagai proses di mana virus membiak secara senyap - tanpa menunjukkan sebarang simptom kepada pesakit yang telah dijangkiti.

Antara virus paling pantas proses inkubasinya adalah virus penyakit taun atau 'cholera' yang memulakan inkubasi pada 12 jam selepas jangkitan dan membiak dalam tempoh 4.5 hari. Ebola juga memulakan inkubasi dengan kadar segera pada 24 jam pertama, tetapi memerlukan tempoh yang lebih panjang sekitar 21 hari untuk habis pembiakan.

Selepas tamat tempoh inkubasi virus, virus tidak lagi akan membiak. Ada virus yang mula aktif atau ada juga yang duduk diam-diam bersembunyi. Bagi Covid-19 pula, virus ini terus aktif selepas selesai inkubasi jadi kita tidak perlu menunggu lama untuk melihat kesannya berbanding beberapa virus lain yang sifatnya sangat unik.

Virus aktif, tidak aktif dan senyap

virus latency dormant slow

Sesuatu yang menakutkan berkenaan Covid-19 dan tidak ramai memperkatakannya -  adalah kemampuannya untuk menjangkiti orang lain semasa proses inkubasi masih berlaku.

Ini berbeza dengan dua lagi virus pembunuh terkenal iaitu SARS dan Ebola yang menjangkiti orang lain hanya selepas tamat inkubasi; yakni ketika simptom mula kelihatan. Itulah sebabnya Covid-19 ini walaupun kadar kematiannya setakat ini sekitar 0.5 ke 3%, amat dikhuatiri pakar perubatan jika gagal dikawal.

Dalam peringkat ini, tidak semua virus mempunyai tempoh kependaman yang serupa. Bagi Covid-19 seperti telah dinyatakan - virus ini akan mula aktif secepat 2 hingga ke 14 hari selepas inkubasi dan dalam waktu inilah, kadar jangkitan Covid-19 akan jadi lebih menggila-gila berbanding sebelum itu.

Ada juga virus yang bertukar senyap, menjadi virus tidak aktif (dormant) tanpa diketahui kehadirannya. Virus ini dikategorikan sebagai lentivirus.

Dalam penemuan tahun 2014, sejenis virus gergasi yang dinamakan pithovirus sibericum (tidak berbahaya pada manusia dan haiwan) ditemui tidak aktif lebih 30,000 tahun dan hanya kembali aktif selepas dikeluarkan oleh penyelidik; daripada bongkah ais 30 meter di bawah permukaan tanah di Siberia, Russia untuk tujuan kajian.

Dalam kes jangkitan manusia, beberapa jenis virus telah ditemui mempunyai kemampuan mendiamkan diri dan menjadi tidak aktif selepas selesai inkubasi seperti virus HSV-1 dan HSV-2 yang menyebabkan jangkitan herpes pada manusia.

Ada virus yang menyerang pesakit secara berkala, maksudnya mampu aktif kemudian tidak aktif berulang kali dalam satu tempoh tertentu. Ada juga pesakit yang dijangkiti virus tetapi hanya mengalami masalah selepas setahun lebih dijangkiti. Ini adalah sifat unik virus HSV.

Virus yang sangat perlahan

visual virus

Di antara semua kategori virus, wujud satu kategori kecil virus yang dinamakan sebagai virus perlahan ('slow virus'); berada dalam kondisi tidak aktif untuk jangka masa yang sangat panjang membolehkan pesakit yang dijangkiti hidup seperti biasa, sebelum mula aktif.

Antara virus perlahan yang diketahui mampu menjangkiti seseorang, adalah John Cunningham virus atau JC Virus; virus yang tidak berbahaya pada manusia kecuali mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.

Apa yang memeranjatkan, sehingga kini penyelidik tidak berjaya menjelaskan bagaimana virus JC boleh tiba di bahagian badan kita. Banyak pendapat menyebut virus itu hadir dalam tubuh manusia besar kemungkinan daripada air yang tercemar dalam sistem bekalan air kita.

Secara statistiknya, 70 ke 90% orang dijangkiti virus ini di seluruh dunia besar kemungkinan tanpa kita sedari. Selain virus JC, virus lain yang bersifat perlahan adalah virus rubella yang mampu kekal tidak aktif lebih 10 tahun, sebelum mula menampakkan simptom pertama pada pesakit.

Kita bernasib baik sistem perubatan negara mewajibkan pengambilan vaksin rubella menerusi suntikan MMR atau 'Measles, Mumps and Rubella.' Bagi proses pemvaksinan Covid-19 pula, dianggarkan kita perlu menunggu satu ke dua tahun tempoh, untuk mempersiapkannya.

Untuk virus JC? Jangan risau. Kita tidak perlu suntikan vaksin untuk virus itu. Statistik jangkitannya memang kelihatan sangat tinggi, tetapi kesannya pada kita sangat minima - melainkan anda mempunyai penyakit AIDS.

Rujukan

Virus reactivation: a panoramic view in human infections

COVID-19 Incubation Period




Hakcipta iluminasi.com (2017)