Jerung Megalodon adalah salah satu pemangsa paling bengis dan terbesar yang pernah berenang di lautan.
Mampu mencapai 2 kali saiz Tyrannosaurus Rex dan dengan kekuatan gigitan yang mampu menghancurkan sebuah kereta, meg, atau Megalodon Carcharocles, adalah penguasa laut pada zaman prasejarah.
Walau bagaimanapun, berada di puncak rantaian makanan bukanlah penentu kelangsungan hidup Megalodon, kerana ikan jerung ini telah pupus sekitar 2.6 juta tahun yang lalu.
BESARKAN TEKS A- A+
Ia adalah salah satu misteri yang masih menjadi tanda tanya sehingga kini.
Terdapat teori-teori yang tidak terkira banyaknya, tetapi tidak ada yang dapat menjelaskan mengapa, sebelum munculnya kemanusiaan, salah satu pemangsa paling dahsyat di lautan lenyap.
Jerung terbesar yang pernah wujud di dunia
Megalodon adalah jerung terbesar yang pernah didokumentasikan, namun betapa besarnya saiz haiwan ini berbeza berdasarkan sumber-sumber belainan.
Anggaran sederhana mengatakan bahawa jerung ini membesar sehingga 18 meter, kira-kira saiz standard laluan boling.
Namun, sumber-sumber lain mengatakan bahawa ia jauh lebih besar dan yakin bahawa Megalodon mampu mencapai lebih daripada 24 meter, menjadikannya sama panjang dengan 3 buah bas 2 tingkat yang terkenal di London.
Apa-apa pun, saiz Megalodon ini tetap membuatkan jerung-jerung yang wujud pada hari ini menjadi kerdil.
Menurut pakar jerung, Peter Klimley, jika jerung putih moden berenang di sebelah Megalodon, ia hanya akan hampir sama dengan panjang zakar Megalodon sahaja.
Berat badan Megalodon pula sesuai dengan saiznya. Megalodon dewasa dilaporkan boleh membesar sehingga seberat 30,000 kilogram hingga 65,000 kilogram.
Gigitan menakutkan Megalodon
Gigi megalodon adalah alat terbaik yang ditemui oleh para penyelidik bagi mendapatkan sebarang maklumat tentang binatang yang telah lama hilang ini, dan ia mampu menggambarkan kesakitan yang dapat dicetuskan oleh raksasa laut ini.
Nama megalodon ini sendiri secara harfiah bermaksud "gigi besar." Fosil gigi terbesar yang berjaya ditemui mencatatkan rekod 17.5 sentimeter, 3 kali lebih besar daripada gigi jerung putih biasa.
Sesetengah laporan menyebut gigi haiwan ini berukuran lebih daripada 17.8 sentimeter, hampir-hampir 10 kali ganda saiz purata gigi manusia.
Seperti jerung putih, gigi megalodon berbentuk segi tiga, simetri dan bergerigi, yang menjadikannya sempurna untuk merobek daging mangsa.
Menurut penyelidik, gigi jerung bertukar atau berganti, satu set gigi setiap 1 hingga 2 minggu dan menghasilkan di antara 20,000 hingga 40,000 gigi dalam seumur hidup.
Gigi gergasi megalodon ini terletak di dalam rahang yang sudah tentunya lebih besar.
Diameter gigitan rahang Megalodon adalah sekitar 2.7 meter kaki dengan lebar 3.3 meter, cukup besar untuk menelan dua orang dewasa berdiri bersebelahan hanya dalam catu bukaan mulut.
Rahang-rahang ini adalah yang paling kuat dan menakutkan yang pernah mengganas di Bumi. Daya gigitan manusia secara purata adalah sekitar 1,317 newton.
Namun, daya gigitan megalodon dicatatkan di antara 108,514 dan 182,201 newton. Ini bermakna daya gigitan Megalodon adalah sekitar 138 kali ganda daya gigitan manusia, membolehkan ia mampu untuk menghancurkan sebuah kereta dengan mudah.
Pemangsa paus pra-sejarah
Semasa zaman itu, ia dipercayai bahawa megalodon menjadikan semua haiwan di hampir setiap sudut lautan sebagai makanannya kerana giginya telah ditemui di setiap benua kecuali Antartika.
Jerung ini lebih gemarkan perairan yang hangat, cenderung untuk berada di lautan yang cetek dan bersuhu sederhana serta memburu di perairan yang meliputi sebahagian besar planet.
Tetapi disebabkan oleh megalodon adalah haiwan yang sangat besar, jerung ini perlukan makanan yang banyak iaitu kira-kira 1,000 kilogram sehari.
Ia menjadikan mamalia marin yang besar seperti paus sebagai mangsa utama, tetapi apabila makanan sebesar ini berkurangan, megalodon akan mencari haiwan lebih kecil untuk menjadi hidangan, seperti ikan lumba-lumba, anjing laut serta jerung yang lebih kecil.
Menurut sesetengah penyelidik, haiwan-haiwan yang diserang Megalodon tidak mati dengan mudah dan cepat. Ia akan memburu secara strategik dengan memakan sirip atau ekor mangsa terlebih dahulu, membuatkan mangsa terluka dan sukar untuk melarikan diri.
Semasa zaman kegemilangannya, Megalodon berada di puncak rantaian makanan secara mutlak. Para saintis percaya bahawa Megalodon dewasa tidak mempunyai pemangsa, menjadikannya seperti raja lautan.
Satu-satunya ketika di mana ia terdedah kepada bahaya adalah selepas dilahirkan dan bersaiz 2.13 meter.
Dari masa ke masa, jerung yang lebih besar dan tebal seperti jerung hammerhead berani mennyerang Megalodon kecil, seolah-olah ingin mengusir haiwan ini daripada lautan sebelum ia membesar untuk menguasai lautan.
Kepupusan yang menjadi misteri
Sukar untuk membayangkan bagaimana pemangsa sekuat dan sebesar Megalodon boleh pupus dari muka Bumi. Tetapi sekitar 2.6 juta tahun yang lalu, pada akhir zaman Pliocene, Megalodon terakhir dilaporkan mati.
Tiada siapa tahu dengan pasti bagaimana ia berlaku, tetapi ada teori yang terhasil.
Satu teori menyatakan bahawa penyejukan suhu air adalah penyebab kepada kematian Megalodon. Sekitar 3 juta tahun yang lalu, perairan Amerika Tengah yang menghubungkan Lautan Atlantik dan Pasifik ditutup yang secara mendadak yang menyebabkan penyejukan lautan bumi.
Sesetengah penyelidik percaya bahawa Megalodon tidak dapat menyesuaikan diri dengan perairan yang menyejuk.
Walau bagaimanapun, mangsa-mangsa haiwan ini mampu bertahan dan berhijrah ke laut sejuk di mana tidak dapat diikuti oleh Megalodon. , dan masuk ke dalam perairan yang lebih sejuk di mana megalodon tidak dapat diikuti.
Menurut Muzium Sejarah Alam di London, perairan sejuk juga membunuh beberapa sumber makanan Megalodon, yang mungkin mempunyai kesan melumpuhkan terhadap jerung ini.
Hampir sepertiga daripada semua haiwan marin besar pupus setelah air menjadi sejuk dan kehilangan ini mempengaruhi seluruh rantaian makanan lautan.
Walau bagaimanapun, kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa pengedaran geografi megalodon tidak meningkat dengan ketara dalam tempoh laut panas atau berkurangan dengan ketara dalam tempoh yang lebih sejuk, menunjukkan bahawa terdapat sebab-sebab lain yang menyumbang kepada kepupusannya.
Sesetengah saintis menyatakan bahawa perubahan pada dinamik rantaian makanan sebagai punca kemerosotan bilangan Megalodon.
Dana Ehret, kurator paleobiologi di Muzium Negeri New Jersey memberitahu National Geographic bahawa disebabkan oleh megalodon bergantung pada ikan paus sebagai sumber makanan, jumlah pemangsa ini akan merosot apabila jumlah ikan paus berkurangan.
Tanpa sebilangan besar ikan paus untuk dimakan, saiz tubuh Megalodon yang terlalu besar membahayakan diri sendiri.
Selain itu, pemangsa lain, seperti jerung putih dan paus pembunuh, berada kawasan sekitar dan juga bersaing untuk memakan ikan paus yang semakin berkurangan.
Bilangan mangsa yang kecil dan bilangan persaingan yang lebih besar memberikan masalah besar kepada megalodon.
Benarkah Megalodon masih wujud?
Walaupun ahli sains berhujah tentang sebab utama kepupusan Megalodon, namun mereka sangat bersetuju tentang satu perkara, iaitu Megalodon telah lenyap buat selama-lamanya.
Satu teori umum yang mengatakan bahawa Megalodon yang masih wujud, yang digambarkan dalam filem The Meg pada tahun 2018, adalah bahawa pemangsa gergasi ini masih berenang-renang di laut dalam yang masih belum diterokai manusia.
Teori ini agak munasabah memandangkan sebahagian besar lautan Bumi masih belum diterokai.
Walau bagaimanapun, kebanyakan saintis percaya bahawa sekiranya megalodon masih hidup, kita pasti akan tahu mengenainya.
Jerung ini sudah tentu akan meninggalkan tanda gigitan besar pada makhluk laut besar lain seperti ikan paus dan akan ada gigi baru yang jatuh dari mulut Megalodon bertaburan di lantai lautan.