Dunia seni moden mungkin kelihatan membingungkan kerana idea-idea utama pelukis adalah sangat tidak jelas dalam setiap karya. Jika anda lihat, kebanyakan daripada lukisan-lukisan ini langsung tidak memberikan gambaran sebenar tentang apakah maksudnya.
Oleh kerana pengumpul membeli karya-karya ini dengan harga yang tersangat mahal dan berjuta-juta pelancong menghabiskan masa berjam-jam untuk beratur bagi melihat lukisan-lukisan ini, sudah tentu anda ingin tahu apa yang cuba disampaikan oleh para pelukis.
BESARKAN TEKS A- A+
Jadi, iluminasi.com kongsikan maksud sebenar di sebalik 8 lukisan terkenal yang sangat membingungkan.
1. The Two Fridas (1939) - Frida Kahlo
The Two Fridas adalah sejenis autobiografi oleh pelukis Mexico yang paling terkenal. Untuk pengetahuan anda, semua lukisannya adalah potret diri sendiri.
Menurut tafsiran yang paling biasa, lukisan ini menggambarkan peristiwa yang tragis dalam kehidupan Frida iaitu perpisahan dengan suaminya yang juga pelukis, Diego Rivera.
Lukisan itu disiapkan pada tahun 1939, sejurus selepas perceraian mereka. Apa yang cuba digambarkan dalam lukisan ini adalah terdapat 2 orang Frida dengan 2 imej yang berbeza.
Di sebelah kanan adalah Frida yang pernah disayangi Dieog dan di sebelah kiri pula adalah Frida yang dikhianati.
Dia cuba menunjukkan perbezaan di antara cintanya dan hubungan rapat mereka yang kekal, walaupun selepas perceraian, dan kesunyiannya yang mendalam serta hati yang patah.
2. Where Do We Come From? What Are We? Where Are We Going? (1897–1898 ) - Paul Gauguin
Dari awal kerjayanya, Paul Gauguin ingin menggambarkan pemikirannya mengenai kehidupan dan kematian.
Pada tahun 1897, dia mula menghasilkan lukisan We Do We Come From? What Are We? Where Are We Going?, dan lukisan tersebut siap di penghujung Disember tahun yang sama.
Lukisan ini perlu diamati dari kanan ke kiri, seolah-olah ia merupakan kitab suci kuno. Terdapat 3 kumpulan bentuk yang utama.
Wanita muda dengan bayi yang sedang tidur menggambarkan fasa awal hidup. Satu lagi kumpulan melambangkan kewujudan zaman awal dewasa.
Dalam kumpulan terakhir, seorang wanita tua mendekati kematian adalah lambang azab yang akan datang.
3. Man and Woman in Front of a Pile of Excrement (1935) - Joan Miró
Lukisan ini adalah salah satu daripada 12 karya yang ciptaan pelukis terkenal, Catalan Joan Miró semasa berlakunya gangguan awam di Sepanyol.
Sekilas pandang, tidak jelas siapa makhluk-makhluk menakutkan yang sedang menari ini. Tetapi kita dengan pantas boleh melihat warna-warna terang yang berbeza dengan latar belakang yang tersangat hitam dan gelap.
Sebenarnya, seniman ini mahu menggambarkan kengerian Perang Saudara Sepanyol yang berlangsung di antara tahun 1936 dan 1939.
Tumpukan kotoran warna kuning cerah menggambarkan cita-cita fasis, kawasan oren gelap mewakili mangsa perang dan tangan merah adalah darah.
4. Lactulose (2017) - Damien Hirst
Berasal dari United Kingdom, Damien Hirst adalah pelukis paling kaya di dunia. Beliau telah bereksperimen dengan bulatan berwarna selama 25 tahun yang sudah menjadi trademark beliau.
Lebih aneh, Damien menggunakannya untuk bercakap tentang kematian. Apa yang anda lihat pada lukisan ini bukan hanya titik-titik berwarna, tetapi pil homeopati.
Seniman ini sangat asyik dengan kesihatan dalam masyarakat moden kita. Judul-judul bagi lukisan yang dihasilkan menggunakan teknik lukisan "Spot" oleh Damien diambil daripada sebatian kimia dari katalog Sigma-Aldrich.
Nama-nama tersebut dikelaskan mengikut jenis ubat. Kumpulan terbesar adalah produk farmaseutikal. Titik-titik warna secocok dengan huruf dalam formula bahan psikoaktif.
5. Orange, Red, Yellow (1961 ) - Mark Rothko
Orange, Red, Yellow adalah satu lukisan oleh pelukis Amerika, Mark Rothko yang dihasilkan pada tahun 1961. Pada tahun 2012, lukisan yang tersangat ringkas ini telah dijual dalam satu acara lelongan dengan harga RM354 juta.
Malah, kita tak perlu untuk mencari sebarang maksud atau imej tersembunyi dalam hasil karya Mark ini. Kita hanya perlu melihatnya dengan cara yang berbeza iaitu memberi tumpuan kepada perasaan yang dicetuskan oleh warna dalam lukisan ini.
Sasaran pelukis ini adalah untuk membiarkan semua orang merasakan semua emosi, yang digambarkan dalam kedalaman warna tersebut.
6. Campbell’s Soup Cans (1962) - Andy Warhol
Andy Warhol adala seorang pelukis Amerika dan seorang yang ikonik dalam sejarah seni popuplar.
Karya-karya beliau adalah minimalis di mana beliua biasanya menghasikan objek dalam bentuk yang paling ringkas dan mudah dikenali.
Pada tahun 1949, Warhol memperoleh ijazah sarjana muda dan mula mencari sumber inspirasi dalam usahanya untuk cuba mencipta sesuatu yang tidak pernah wujud sebelum ini.
Seniman itu pernah bereksperimen sebelum itu dan mendapat tip dari penghias dalaman Muriel Latow.
Muriel memberitahu Andy untuk melukis sesuatu yang anda lihat setiap hari dan sesuatu yang akan dikenali oleh semua orang. Ini adalah bagaimana lukisan Cambell's Soup Cans ini dihasilkan.
7. Birkenau (2014) - Gerhard Richter
Siri abstrak Birkenau adalah karya pelukis moden Gerhard Richter dan dihasilkan khas kepada banduan kem tahanan. Seniman itu kagum dengan foto-foto mayat sejak 1944, yang mana sedang disediakan untuk dibakar.
Richter "memindahkan" gambar-gambar ke atas kanvasnya dan kemudiannya mengecat lapisan demi lapisan untuk membentuk bentuk timbunan mayat dan bahagian-bahagian alam semula jadi yang digambarkan dalam satu siri foto yang diambil di Birkenau.
8. Walk (1917–1918 ) - Marc Chagall
Lukisan Walk adalah antara karya Marc Chagall yang paling terkenal. Lukisan-lukisan dihasilkan beliau juga adalah berkonsepkan autobiografi, bermakna lelaki dan wanita yand digambarkan dalam Walk adalah Marc dan isterinya, Bella.
Dalam lukisan ini, Marc berdiri di atas tanah manakala Bella terapung di langit, tetapi mereka bersama. Walaupun terpisah jauh, namun mereka berpegangan tangan dan menidakkan hukum graviti.
9. Café Terrace at Night ( 1888) - Vincent van Gogh
Sekali pandang, kita tidak melihat sesuatu yang luar biasa dalam lukisan ini.
Tetapi menurut seorang penyelidik, Jared Baxter, yang sering mempelajari karya-karya seniman ini, lukisan itu mungkin merupakan kiasan kisah santapan terakhir menurut kisah Injil di mana Nabi Isa berkongsi makanan dengan "rasul-rasulnya" di Baitul Maqdis sebelum disalib.
Jika dilihat dengan lebih dekat, kita akan dapat melihat seorang pelayan yang memakai jubah putih berdiri di tengah. Dia dikelilingi oleh 12 orang dan terdapat lambang salib yang bersinar di belakang.
Rujukan: