Kumpulan rock legenda Queen tidak perlu diperkenalkan lagi kerana merupakan salah satu kugiran paling popular di dunia. Malah, setelah kematian penyanyinya iaitu Freddie Mercury pada tahun 1991, Queen masih lagi diingati dan lagu-lagu mereka sering kedengaran dimainkan oleh stesen-stesen radio.

Pada tahun 2018, filem yang mengisahkan perjalanan seni Queen berjudul "Bohemian Rhapsody" diterbitkan sekali gus meningkatkan semula populariti kumpulan itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, apa yang kami ingin kongsikan kali ini ialah mengenai lagu Bohemian Rhapsody itu sendiri yang menjadi kegemaran ramai orang dan juga liriknya yang sering diperkatakan.

Lagu legenda ini mempunyai enam bahagian iaitu Intro, Balada, Solo Gitar, Opera, Rock dan Outro. Setiap bahagian menceritakan kisah yang tersendiri dan mempunyai kaitan dari awal hingga akhir.

Lirik teragung yang penuh misteri

freddie bersama ibu bapanya

Freddie Mercury bersama ibu dan bapanya

Freddie Mercury sendiri menulis lirik lagu Bohemian Rhapsody ini dan terdapat banyak spekulasi mengenai maksud tersirat lagu ini. Antara perkataan yang membuatkan ramai orang kebingungan ialah penggunaan perkataan "Bismillah" yang bermaksud "Dengan Nama Allah", "Scaramouch" yang bermaksud "watak seorang pengecut dan sombong" dan juga "Beelzebub" iaitu salah satu gelaran yang diberikan kepada Iblis.

Antara spekulasi yang dibuat ialah berkenaan keluarga Freddie yang beragama Zoroastrian dan bahasa Arab berkait rapat dalam agama itu. Keluarganya membesar di Zanzibar dan disebabkan oleh pergolakan kerajaan pada tahun 1964, mereka dihalau keluar dan berpindah ke England.

Sesetengah daripada bait lirik ini juga dikatakan merujuk kepada zaman kanak-kanaknya yang dipaksa meninggalkan tanah air sendiri.

Dalam satu temu bual bersama gitaris Queen iaitu Brian May, dia memberitahu bahawa Freddie merupakan seorang yang sangat rumit. Freddie merupakan seorang yang sangat periang pada luaran namun banyak merahsiakan masalah dan rasa tidak tenteramnya.

Freddie tidak pernah menerangkan maksud lirik yang ditulisnya tetapi May berpendapat sebahagiannya mungkin mengenai zaman kanak-kanaknya.

Isu kehidupan peribadi

freddie mercury dan mary austin

Freddie Mercury bersama Mary Austin

Salah satu lagi spekulasi ialah maksud lirik itu tiada kena-mengena dengan kisah silam Freddie tetapi tentang isu seksualitinya. Pada waktu lagu itu ditulis, Freddie dikatakan mula menunjukkan sifat biseksualnya bersama Jim Hutton dan hubungan dengan tunangnya selama 7 tahun iaitu Mary Austin mula renggang.

Disebabkan keluarganya yang beragama Zoroastrian itu menentang LGBT, Freddie menyatakan minatnya itu melalui lirik Bohemian Rhapsody.

Namun, ia tidak dapat dibuktikan 100% kerana Freddie tetap tidak mendedahkan maksud lagu itu malah ahli kumpulannya yang lain juga telah berjanji tidak akan berkata apa-apa sekalipun demi menghormati permintaan Freddie.

Menurut penulis biografi Freddie Mercury, Lesley-Ann Jones, dia percaya bahawa lirik lagu itu adalah luahan Freddie mengenai sifat seksual songsangnya. Antara petikan lirik seperti :

"Mama, I just killed a man, put a gun against his head, pulled my trigger, now he's dead" 

Ramai berpendapat bahawa "Mama" dalam lirik itu merujuk kepada ibunya, Jer Bulsara atau tunangnya Mary Austin bahawa dia telah membunuh dirinya yang lama dan kini dia adalah Freddie yang baru. 

Freddie pernah berkata bahawa dia ingin membiarkan lagu itu menjadi fantasi kepada sesiapa yang mendengar dan dia mahu pendengar memahaminya dengan cara tersendiri.

Freddie juga berkata bahawa lirik Bohemian Rhapsody itu hanyalah idea spontan apabila ditanya oleh seorang rakannya iaitu Kenny Everett yang merupakan seorang DJ di London.

Novel The Stranger

the stranger albert camus

Akan tetapi, terdapat satu teori yang ramai percaya bahawa lagu Bohemian Rhapsody ini sebenarnya ditulis berdasarkan sebuah novel bertajuk The Stranger oleh Albert Camus yang diterbitkan pada tahun 1946.

Bagi siapa yang belum pernah membaca buku itu, The Stranger mengisahkan seorang lelaki bernama Meursault yang tidak peduli dengan apa yang berlaku dalam hidupnya.

Dia telah membunuh seorang lelaki Arab, menolak kewujudan tuhan dan tidak menunjukkan sebarang emosi walaupun dijatuhkan hukuman bunuh. Antara lirik Bohemian Rhapsody yang dikaitkan dengan kisah Meursault di dalam The Stranger ialah :

Is this the real life? Is this just fantasy? Caught in a landslide, No escape from reality

Dalam banyak persamaan, terutamanya pada babak ketika berada di mahkamah, Meursault berasa dirinya terasing dan acuh tidak acuh terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya, atau mungkin ianya satu khayalan. Setelah dia membunuh lelaki Arab yang tidak dikenalinya, Meursault telah terperangkap dalam satu kejadian tanah runtuh. Dia merasakan bahawa dia tidak boleh melepaskan diri dari runtuhan tanah itu, begitu juga dengan realiti bahawa dia akan dihukum bunuh.

queen

Open your eyes, Look up to the skies and see, I'm just a poor boy, I need no sympathy

Pada penghujung hidupnya, penjara terakhir yang dia ditempatkan tidak mempunyai bumbung dan dia boleh melihat terus ke langit. Seorang pendeta telah datang untuk mengajaknya percaya pada tuhan namun Meursault menolaknya dan beranggapan dia tidak memerlukan simpati dari sesiapapun mahupun tuhan.

Because I'm easy come, easy go, Little high, little low, Any way the wind blows doesn't really matter to me, to me

Meursault tahu bahawa dia akan mati dan tiada apa yang dapat mengubah perkara ini. Dia tidak peduli atau berminat lagi dengan apa yang terjadi di dunia ini.

Mama, I just killed a man, Put a gun against his head, Pulled my trigger, now he's dead

Meursault telah membunuh seorang lelaki Arab dan keadaannya tidak jauh berbeza dengan ibunya. Ibunya juga sebelum ini dipenjara atas kesalahan membunuh dan dijatuhkan hukuman mati.

freddie beraksi

Life had just begun, But now I've gone and thrown it all away, Mamaaaaa oooh, Didn't mean to make you cry, If I'm not back again this time tomorrow, Carry on, carry on as if nothing really matters

Meursault bercakap dengan ibunya seolah-olah ibunya itu masih hidup. Kini, dia faham apa yang dirasai ibunya ketika menanti kematian, menafikan kewujudan tuhan dan banyak lagi.

Dia juga tahu bahawa setelah dia mati, kehidupan akan diteruskan dan orang ramai akan lupa tentangnya, sama seperti yang dilakukannya setelah kematian ibunya.

I see a little silhouetto of a man, Scaramouche! Scaramouche! Will you do the Fandango? Thunderbolt and lightning, very very frightening me! Galileo, Galileo, Galileo Figaro - Magnifico

Di sini, peguam Meursault menyuruhnya menunjukkan sikap kesal atas kesalahannya dan berlakon seolah-olah dia melakukan pembunuhan itu akibat tertekan dengan kematian ibunya. Mungkin hukumannya akan diringankan.

Namun, Meursault merasakan bahawa tiada guna dia memalsukan perasaannya dan berpura-pura seperti seorang badut (dalam satu sastera lama, satu watak badut telah diberi nama Scaramouche).

filem bohemian rhapsody

Dia juga merasakan peguamnya melihat dirinya sebagai silhouette (bayang-bayang) tanpa perasaan yang akan mengikut sahaja arahan yang telah diberikan. Sekiranya dia melakukan apa yang disuruh peguamnya, dia merasakan dirinya seolah-olah berdosa dan mempersendakan hukuman tuhan.

Kisah ini sama seperti Galileo Galilei yang merupakan seorang saintis terkenal pada zaman dahulu. Galileo yang ditentang oleh pihak gereja kerana kepercayaan sainsnya dan dipaksa mengaku kewujudan tuhan agar tidak dihukum.

Bismillah! No, we will not let you go , (Let him go!) Bismillah! We will not let you go, No, no, no, no, no, no, no, 

Disebabkan dia telah membunuh seorang lelaki Arab, para hadirin berbangsa Arab yang hadir di mahkamah telah mengatakan "Dengan nama Allah, kami tidak akan melepaskanmu." 

Beelzebub has a devil put aside for me, for me, for me!

Meursault tidak hairan dengan apa yang diperkatakan mereka, malah dengan bangganya mengatakan, Neraka telah menyediakan tempat khas buatnya.

img 20181116 190448

Itu adalah sebahagian daripada persamaan yang dikaitkan antara novel The Stranger dengan lirik lagu Bohemian Rhapsody yang ditulis oleh Freedie Mercury. Sebenarnya, lirik yang selebihnya juga mempunyai kaitan dengan The Stranger tetapi disebabkan Freddie tidak pernah mendedahkan perkara ini sehingga dia mati, peminat di seluruh dunia dibiarkan menterjemahkan maksudnya mengikut imaginasi sendiri.

Rujukan:

1. Reddit

2. Song Facts

4. Just Random Thing

5. Two Plus Two




Hakcipta iluminasi.com (2017)