Pada hari ini, perlumbaan untuk menjadi orang paling kaya di dunia biasanya berlaku antara CEO syarikat gergasi dan selebriti. Jutawan moden seperti Jeff Bezos, Warren Buffet dan Bill Gates semuanya mempunyai tahap kekayaan sekitar RM 400 billion.
Akan tetapi, tidak seorang daripada mereka yang pernah mencapai kekayaan dengan nilai bersih seperti yang dikumpul John D. Rockefeller sebanyak RM 1.39 trillion (mengikut nilai hari ini) ketika dia meninggal dunia pada tahun 1937.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, satu tokoh dalam sejarah ini telah mengalahkan mereka semua termasuk Rockefeller sendiri. Kekayaan yang dimiliki oleh lelaki ini sememangnya sukar untuk ditandingi oleh sesiapa sahaja walaupun dalam masa yang akan datang.
John D. Rockefeller
Selain daripada kekayaan yang dimiliki Qarun dan Nabi Sulaiman AS seperti yang disebut dalam al-Quran, kekayaan yang tercatat dalam sejarah secara rasmi adalah dimiliki oleh Mansa Musa I yang merupakan Mansa (maharaja) Empayar Mali yang ke-10.
Empayar Mali adalah empayar yang terbesar dan terkaya dalam sejarah kerajaan Afrika Barat. Kekayaan yang dimiliki oleh Mansa Musa I dianggarkan bernilai lebih daripada RM 1.635 trillion (mengikut nilai hari ini).
Mansa Musa I mula menjadi pemerintah pada tahun 1312 Masihi apabila mengambil alih takhta daripada Maharaja Abu Bakr II. Maharaja Abu Bakr II telah melantik musa menjadi timbalannya sebelum berangkat pergi untuk menjelajahi Lautan Atlantik dan bahagian-bahagian lain di dunia.
Apabila Maharaja Abu Bakr II tidak pulang daripada pengembaraannya, Musa adalah orang yang mewarisi takhta dan terus memerintah rakyat Kerajaan Mali. Musa ketika itu juga merupakan salah satu keturunan yang penting di sana kerana bapa saudaranya, Sundiata Kieta, adalah pengasas kepada Empayar Mali itu sendiri.
Ketika di bawah pimpinan Sundiata Kieta, rakyatnya mula mengumpulkan kekayaan dengan bertindak sebagai orang tengah yang menguasai banyak perdagangan emas di kawasan itu.
Kieta dan maharaja-maharaja selepasnya berjaya memperluaskan kekuasaan dan wilayah mereka dengan menakluk tanah yang dipenuhi emas di bahagian selatan.
Semasa pemerintahan Mansa Musa I pula, Empayar Mali telah berada pada kemuncak dengan kekuasaannya merangkumi arah barat sepanjang Niger dan berjaya mengawal pusat perdagangan penting di Timbuktu dan Gao.
Empayar itu sangat kaya dengan sumber bumi dan berkembang maju di bawah pemerintahannya. Rakyat Empayar Mali juga menjadi semakin kaya dengan kemajuan dan perkembangan kuasa yang diterajui oleh Musa I.
Ketika itu, dua daripada sumber paling penting adalah emas dan garam. Adalah dipercayai bahawa emas yang berada di wilayah jajahan Mansa Musa I ketika itu sebanyak separuh daripada rizab emas dunia.
Ketika negara-negara Eropah sedang berperang antara satu sama lain dan memerlukan sumber kewangan yang banyak, Musa I telah menggunakan peluang ini untuk berdagang dengan bijak dan mengumpulkan kekayaan yang lebih banyak lagi.
Selain perdagangan, dia juga menggunakan sumber emas untuk mengukuhkan hab budaya seperti Timbuktu. Kisah legenda mengenai Mansa Musa I ialah dia akan membina satu masjid pada setiap hari Jumaat semasa pemerintahannya.
Perkara ini menyebabkan dia telah meninggalkan banyak warisan masjid yang indah dan sebahagiannya masih lagi wujud pada hari ini. Selain masjid, dia juga membiayai banyak pembinaan pusat pembelajaran dan universiti di seluruh negara.
Masjid Besar di Djenne, Mali. Salah satu masjid binaan Mansa Musa I
Pada tahun 1324, dunia luar menyaksikan betapa kayanya Empayar Mali dan orang-orang di bawah pemerintahannya. Sebagai seorang Muslim yang taat, Musa telah memutuskan untuk menunaikan Haji di Mekah. Musa tidak menempuh perjalanan yang melebihi 6000 km itu bersendirian sebaliknya membawa rakyatnya untuk menunaikan Haji bersama.
Rombongan Musa I itu terdiri daripada 60,000 orang lelaki, berpuluh-puluh haiwan ternakan di samping unta-unta yang mereka naiki dan sejumlah emas yang tidak dapat dibayangkan banyaknya.
Musa I juga adalah seorang dermawan yang mahu berkongsi kekayaannya bersama dengan orang lain. Dia dan rombongannya itu akan mendermakan emas yang dibawa kepada sesiapa yang mereka jumpai sepanjang perjalanan mereka ke Mekah untuk menunaikan Haji.
Di samping itu juga, rombongannya membeli begitu banyak barangan dan telah menyebabkan sejumlah besar emas yang mereka bawa berada dalam pasaran. Perjalanan Haji itu telah mengubah keseluruhan ekonomi global. Memandangkan begitu banyak emas telah beredar dalam pasaran, nilainya telah turun dengan mendadak.
Walau bagaimanapun, hal itu tidak menjejaskan kekayaan Mansa Musa I dan Empayar Mali ketika itu. Kekayaan yang dimilikinya tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana jutawan pada masa kini.
Menurut seorang wartawan yang menulis untuk majalah Time iaitu Jacob Davidson, tidak ada cara yang tepat bagaimana untuk mengukur kekayaan sebenar Mansa Musa I.
Walaupun kekayaan Musa I tiada tandingannya pada zaman ini, namun segalanya berakhir hanya dalam dua generasi sahaja akibat keborosan dan belanjawan yang tidak terurus. Apa yang tinggal hanyalah legasi Mansa Musa I.
Akhir sekali, nilai kekayaan Musa I tidak terletak pada wang dan emas yang dimilikinya tetapi bagaimana cara dia membelanjakannya. Beliau telah menjadikan rakyatnya lebih stabil dan meninggalkan warisan budaya yang sangat penting selepas pemerintahannya.
Rujukan:
1. The Sun
2. Today In GH