Kredit foto: Instagram PASKAL The Movie
Kehangatan sambutan penonton terhadap filem Malaysia berterusan apabila filem bercorak ketenteraan, PASKAL The Movie mencatat kutipan sebanyak RM16 juta hanya dalam 10 hari tayangan sahaja!
Berita tersebut dikongsikan menerusi entri Instagram rasmi filem aksi berkenaan.
"16 juta dalam 10 hari tayangan. Kamu semua memang menakjubkan.
"Kami seluruh warga kerja #PASKALTheMovie mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan anda semua!
"Ayuh! Sama-sama kita semua ke pawagam semarakkan semangat #PASKALTheMovie," tulisnya.
Kredit foto: Instagram PASKAL The Movie
Rata-rata netizen menerusi ruangan komen memberikan reaksi yang sangat positif kerana menyifatkan PASKAL sebuah karya yang bagus dan mempunyai jalan penceritaan yang menarik.
"Rugi siapa tak pergi tengok. Memang terbaik. Macam nak ulang tonton untuk kali ketiga saja ni.
"Tolong! Pecahkan rekod Munafik! Kamu rakyat Malaysia, ini merupakan filem yang paling berhak.
"Tahniah. Ya Allah, punya semangat kami tonton sampai ke penghujung. Tak sempat nak bosan ya.
"Perghhh! Lagi 10 hari 32 juta," komen beberapa pengikut.
Memulakan tayangan pada 27 September lalu, filem arahan Adrian Teh ini diterbitkan secara bersama oleh Asian Tropical Films, GSC, Multimedia Entertainment, Granatum Ventures dan Astro Shaw.
Dibintangi barisan pelakon hebat seperti Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Gambit Saifullah, Taufiq Hanafi, Theeban G, Henley Hii dan Jasmine Suraya Chin.
Ia mengetengahkan kisah benar operasi anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 serta misi merampas kapal dagang daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.