Kredit foto: Instagram @ctdk & Instagram @rozisangdewi

Menerusi Instagram, Rozi Abdul Razak iaitu pengurus kepada penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza baru-baru ini memberi ucapan bersempena ulangtahun ke-22 penyanyi itu dalam industri muzik.

"Hari ini, 1 April 2018, genap 22 tahun Dato' Sri Siti Nurhaliza membenarkan kehidupannya mengiringi kerjayanya sebagai figura awam. Mencapai lebih 200 anugerah di dalam dan di luar negara, memiliki lebih 30 buah album (solo, duet, pop, tradisional, raya, Inggeris dan konsert) dan itu belum lagi dicampur dengan album kompilasi, dan ini adalah terbitan Suria Records, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. , Universal Music Malaysia dan What's Up Entertainment.

"Mengadakan lebih 40 buah konsert di dalam dan di luar negara, menjadi penyanyi lagu-lagu kempen dan lagu-lagu tema drama serta filem, bertindak sebagai duta dan jurucakap pelbagai produk dan tidak ketinggalan turut mencipta lagu dan menghasilkan lirik di dalam album beliau," tulisnya.

Menurutnya lagi, penyanyi itu juga terus bertahan dalam kerjaya nyanyian, melebarkan sayap perniagaan di dalam perniagaan jenama pakaian Creacion By Siti Nurhaliza serta berkolaborasi bersama Ariani X Siti Nurhaliza serta perniagaan barangan kecantikan, SimplySiti. 

"Secara jujur, inilah yang saya simpulkan tentang Dato' Siti, beliau meletakkan di samping menjadi yang popular, beliau juga menjadi yang terbaik, caranya sederhana tetapi berjalan, merancang dan menentukan peluang mana yang didahulukan, rajin dan tidak duduk di tempat yang sama kerana selesa tetapi mencerna ilham dan menggerakkan minda untuk terus kekal diterima.

"Keseimbangan yang ada pada beliau, dalam sinis pandangan terhadap dunia seni, beliau memancarkan di mana permatanya digilap dengan hemah. Menukar persepsi, prejudis tentang apa yang dilakukan kerana beliau bukan sekadar menyongsong tetapi menambahbaik dan mencari sisi 'indah' apa yang boleh diketengah dan diterjemah," tulisnya lagi.

Rozi turut sempat mengucapkan tahniah kepada Siti Nurhaliza atas tempoh 22 tahun beliau memasuki dunia dewasa dan kematangan dalam kerjaya.

Tambahnya, Comel Pipi Merah adalah karya terbaru beliau yang kini menjadi siulan ramai dan merakyatkan masyarakat menjadi satu, tidak kira lapisan usia dan juga generasi.

Selain itu, Siti Nurhaliza juga sudah mempunyai aplikasi rasmi sendiri iaitu Siti Nurhaliza Official App sebagai salah satu cara untuk menghimpunkan semua aktiviti baik di media sosial ataupun secara eksklusif.

"Siti Aafiyah adalah pencapaian paling bermakna beliau kala ini," akhirinya.

Netizen rata-rata tersentuh dan mendoakan kejayaan serta kebahagiaan penyanyi kesayangan ramai itu.

Sumber berita: Instagram Rozi Abdul Razak




Hakcipta iluminasi.com (2017)