Melihat teknologi yang ada sekarang serta lambakan kemasukan bahan dan media daripada barat dalam bentuk fizikal serta digital, kadangkala membuat hati terasa sedih juga.
Apatah lagi apabila berkunjung ke kedai buku dan menelaah rak buku kanak-kanak, kebanyakannya lebih dipenuhi dengan buku bertema elemen barat seperti kartun-kartun Disney dan Nicklodeon, yang kini menjadi kegilaan kanak-kanak zaman sekarang.
BESARKAN TEKS A- A+
Satu masa dahulu, sebelum masuk media-media ini, kanak-kanak di Malaysia lebih gemar menghabiskan masa dengan membaca beberapa penerbitan berkonsepkan tempatan yang menampilkan karya artis tempatan dengan jalan cerita berlatar belakangkan Malaysia. Berikut adalah 5 karya tempatan yang menceriakan hidup kanak-kanak zaman tersebut.
1. BAMBINO
Diterbitkan pada awalnya oleh sebuah penerbitan bernama Penerbitan Suarasa pada tahun 1972 kemudian disambung oleh penerbit besar negara satu masa dahulu iaitu Creative Enterprise Sdn.Bhd., majalah Bambino cukup popular sebagai wadah bacaan kanak-kanak zaman 80 an dan 90 an. 'Bambino' memuatkan kisah komik, cerpen, cerita bersiri dan peraduan-peraduan melukis. Rekaan muka depannya pada waktu itu cukup indah dengan lukisan tangan pelukis-pelukis hebat zaman itu.
2. BUJAL
Menggunakan slogan 'berhibur sambil belajar' Bujal merupakan satu penerbitan yang popular di kalangan pelajar lelaki, menceritakan tentang seorang kanak-kanak bernama Bujal dan kawan-kawannya iaitu Dogol, Raju, Wak Segan dan CIkgu Markonah. 'Bujal' menampilkan kelainan apabila mempunyai beberapa segmen lain seperti segmen Bahasa Inggeris dan juga segmen tulisan jawi di dalam penerbitannya.
3. KUNTUM
Watak serangga yang riang bernama Kuntum ini menjadi maskot penting kepada dunia penerbitan satu masa dulu dan menjadi satu-satunya majalah dalam senarai ini yang masih diterbitkan sehingga sekarang. Berlaku perubahan pada rekaan watak Kuntum yang kini lebih moden seiring dengan zaman serta penyampaiannya pula sudah diolah untuk tampil lebih segar.
4. DEWAN PELAJAR
Menjadi majalah wajib para pelajar sekolah zaman dahulu apabila pihak sekolah kebanyakannya akan menyediakan satu naskhah untuk setiap pelajar, Dewan Pelajar diterbitkan khusus untuk memupuk minat membaca di kalangan para pelajar dengan isi kandungan berbentuk ilmiah dalam Bahasa Malaysia. Pelajar juga digalakkan untuk cuba menghantar karya asli mereka untuk diterbitkan.
5. KOMIK ISLAM TERBITAN AL-ARQAM
Satu-satunya bacaan komik berunsurkan Islam untuk kanak-kanak zaman dahulu, penerbitan Al-Arqam sebenarnya banyak menghasilkan komik untuk bacaan kanak-kanak dahulu, sebelum Al-Arqam diwartakan haram oleh kerajaan Malaysia. Banyak komik pengajaran diterbitkan sama ada dalam bentuk bulanan atau siri komik one-shot dengan illustrasi yang cantik-cantik. Sayang tidak ada usaha daripada mana-mana pihak untuk meneruskan bentuk penerbitan seperti ini di Malaysia.