Selama tiga dekad lamanya, bandar Christchurch yang terletak di New Zealand telah melantik seorang lelaki bernama Ian Brackenbury Channell sebagai ahli sihir rasmi mereka.
Ian yang dilantik di bawah kontrak kerajaan sejak tahun 1998 ditugaskan untuk melakukan "upacara, perkhidmatan dan apa sahaja yang berkaitan sihir dan ahli sihir. Dia turut menerima gaji tanpa cukai sebanyak $16,000 setahun.
BESARKAN TEKS A- A+
Malah, Perdana Menteri New Zealand ke-39 sendiri yang menawarkan jawatan ini kepada Brackenbury pada tahun 1990. Pada tahun 2009, Brackenbury telah dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Ratu.
Dilantik oleh Perdana Menteri
Suatu masa dahulu, nama Brackenbury sebagai seorang ahli sihir rasmi begitu dikenali dan disukai ramai. Malah, dia sudah terkenal sebelum dilantik secara rasmi lagi.
Brackenbury pernah menjadi tokoh penting di Christchurch sehingga Pengarah Galeri Seni New Zealand menamakannya sebagai "karya hidup" pada tahun 1982. Pada tahun 1990, Perdana Menteri Mike Moore telah memujuk agar Brackenbury menjadi ahli sihir rasmi negara itu.
Pada mulanya, Brackenbury menawarkan perkhidmatannya secara percuma. Namun, dia bersetuju untuk menerima gaji dan kontrak kerja pada tahun 1998.
Sejak menjadi ahli sihir negara, Brackenbury menghadiri pelbagai upacara kebudayaan, demonstrasi dan perhimpunan. Malah, dia turut melantik perantisnya sendiri.
Nama Brackenbury sebagai ahli sihir semakin dikenali apabila filem trilogi Lord of the Rings memilih New Zealand sebagai lokasi penggambaran mereka.
Penghujung karier ahli sihir rasmi
Kini, perkhidmatan ahli sihir rasmi itu sudah hampir sampai ke penghujungnya. Mungkin penduduk New Zealand tidak lagi kagum dengan lagak sihirnya seperti dahulu. Mungkin juga kerana Brackenbury sering mengeluarkan kenyataan kontroversi terhadap wanita di beberapa rancangan TV.
Kempen pelancongan baru Christchurch menyasarkan untuk menjadikan bandar itu sebagai sebuah kota moden yang bertenaga, elegan serta mampu menarik pelancong dari luar dan dalam negara. Bandar itu turut merancang untuk mengembangkan perniagaan baru dan membawa masuk pekerja asing yang mahir.
Brackenbury di tapak peringatan mangsa tembakan masjid di Christchurch
Hala tuju baharu itu menjadikan perkhidmatan "ajaib" Brackenbury sebagai sesuatu yang sudah lapuk ditelan zaman. Ahli sihir yang menjadi tarikan suatu masa dahulu kini menjadi sesuatu yang tidak diingini.
Brackenbury mengetahui mengenai pemecatan itu melalui surat daripada Pihak Pengurusan Bandar Christchurch. Jurucakap bandar itu, Lynn McClelland, berkata bahawa Brackenbury sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah Christchurch.
Menjawab pemecatan itu, Brackenbury mendakwa dia mungkin sudah tua dan bosan tetapi tiada siapa di Christchurch sepertinya. Dia turut mendakwa semua orang masih sukakannya dan tiada siapa suka kepada birokrat seperti pengurusan bandar Christchurch.
Tidak bersedia untuk bersara
Ahli sihir yang kini berusia 88 tahun itu sebenarnya mempunyai latar belakang yang mengagumkan. Dia dilahirkan di England dan seorang lulusan bidang psikologi dari University of Leeds. Dia kemudian mengajar sosiologi di University of New South Wales sebelum berpindah ke New Zealand pada 1974.
Backenbury ketika muda
Brackenbury mula melakukan upacaranya secara percuma di pusat bandar Christchurch pada tahun 1976. Dia sering membuat pertunjukan dengan memanjat tangga, memakai pakaian ahli sihir dan membaca manteranya di tengah-tengah khayalak ramai.
Dia beberapa kali cuba ditahan pihak berkuasa tetapi orang awam membantah kerana ia merupakan hak kebebasan bersuara Brackenbury di tempat awam.
Brackenbury sebenarnya hampir bersara selepas gempa bumi yang menimpa Christchurch pada tahun 2011. Dia mengatakan bahawa "tanda" untuk dia bersara telah tiba. Namun, dia kembali menyarung pakaian ahli sihirnya.
Kontroversi Brackenbury
Tidak semua orang senang dengan Brackenbury. Lelaki itu beberapa kali melakukan jenaka kontroversi ke atas wanita ketika menjadi jemputan rancangan TV tempatan.
Antara komen kontroversi yang pernah dikeluarkannya ialah seperti "wanita menggunakan cara halus untuk mendapatkan lelaki kaya" dan "jangan pukul wanita kerana mereka sangat senang lebam dan mengadu kepada jiran".
Brackenbury dan anak didiknya
Walaupun menerima surat pemecatan secara rasmi, Brackenbury tidak bersedia untuk menggantung "uniform" ahli sihirnya lagi. Dia percaya pemecatan itu memberikannya lebih banyak semangat dan tenaga. Dia tahu bahawa dia membuatkan orang ramai terutamanya kanak-kanak gembira.
Brackenbury berkata "Jika mereka (pihak pengurusan Christchurch) mahukan saya berhenti, mereka terpaksa bunuh saya terlebih dahulu."