Datuk Seri Anwar Ibrahim baru sahaja mengumumkan senarai Menteri-menteri yang bakal menerajui kementerian masing-masing untuk tempoh 5 tahun yang akan datang.
Antara jawatan yang hangat diperkatakan ketika ini adalah Timbalan Perdana Menteri (TPM). Namun begitu, ramai sebenarnya yang kurang tahu apa sebenarnya tugas TPM di Malaysia.
Kewujudan jawatan TPM sangat penting bagi kesinambungan kuasa walaupun ia hanya satu jawatan protokol. Ia juga penting bagi penggantian jawatan Perdana Menteri (PM).
BESARKAN TEKS A- A+
Sebagai contoh, kekosongan jawatan PM Tun Abdul Razak yang meninggal dunia pada 14 Januari 1976 digantikan oleh TPM iaitu Tun Hussein Onn sebagai PM ke-3 dengan lancar.
Sehingga kini, jumlah TPM adalah 15 orang, termasuk yang terbaharu dilantik iaitu YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof pada Disember 2022.
Di Malaysia, jawatan TPM adalah kedua yang tertinggi dalam kerajaan. Hak dan kuasa melantik anggota Jemaah Menteri termasuk TPM adalah kuasa PM.
Jawatan ini tidak terkandung dalam Bab 3 Badan Eksekutif Perkara 43 Jemaah Menteri dalam Perlembagaan Malaysia dan dilantik secara konvensyen sahaja.
Terdapat syarat yang perlu dituruti untuk seseorang itu dilantik jawatan TPM ini, iaitu individu tersebut diwajibkan untuk memegang jawatan Menteri dalam Jemaah Menteri.
Individu yang memegang jawatan ini biasanya bakal PM yang seterusnya dan merupakan Ahli Dewan Rakyat.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Ahli Dewan Negara Malaysia juga layak dilantik sebagai Menteri dan juga TPM.
Namun mereka dilihatkan sebagai kurang sesuai dilantik untuk jawatan-jawatan ini adalah kerana tempoh maksimum seseorang individu boleh memegang jawatan Alhi Dewan Negara Malaysia adalah 6 tahun.
Gagal naik pangkat Perdana Menteri
Walaupun secara kebiasaannya TPM merupakan pengganti PM, namun ada TPM yang tidak berjaya "naik pangkat" disebabkan oleh pelbagai faktor.
Antaranya adalah Tun Musa Hitam yang merupakan TPM Malaysia ke-5, individu pertama meletakkan jawatan disebabkan tekanan politik.
TPM ke-6 Tun Ghaffar Baba meninggal dunia pada 23 April 2006 manakala TPM ke-7 dan yang paling kontroversi iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat.
Selepas pemecatan ini, Tun Abdullah bin Ahmad Badawi menggantikan tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Isteri beliau, Dato Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga tidak berjaya "naik pangkat" kerana Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir jatuh.
Kemudahan Timbalan Perdana Menteri
Seperti kebanyakan Jemaah Menteri, TPM juga menerima kemudahan yang telah diperuntukkan untuknya.
Antaranya seperti kediaman rasmi iaitu Sri Satria. Sri Satria dibina setelah pentadbiran Malaysia dipindahkan ke Putrajaya.
Sebelum ini, kediaman rasmi bagi TPM Malaysia ialah Seri Taman.
TPM juga boleh menggunakan pesawat rasmi kerajaan yang digunakan oleh YDPA Agong dan PM Malaysia.
Selain itu, TPM juga diiringi oleh motor pengiring Unit Tindakan Khas ketika perjalanan ke suatu tempat bagi tujuan rasmi.