Keprihatinan dan sikap Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern terhadap mangsa-mangsa dan tragedi tembakan masjid di Christchurch telah mendapat pujian daripada netizen di seluruh dunia.

Dalam satu ucapan baru-baru ini, Jacinda memberitahu beliau tidak akan menyebut langsung nama pengganas yang melakukan serangan tersebut kerana itu adalah antara agenda pelaku, iaitu mendapat tempat di media.

BESARKAN TEKS     A-  A+

orang new zeland jfif 110

Selain itu, Jacinda juga berjanji bahawa kerajaan New Zealand akan menanggung segala kos dalam pengebumian dan menjamin bantuan kewangan kepada semua keluarga 51 mangsa terbabit.

Jacinda juga dilihat mengenakan selendang di kepalanya untuk menunjukkan rasa hormat kepada agama Islam.

Beliau menunjukkan kepada dunia tentang kepimpinan sebenar melalui kasih sayang, simpati dan integriti.

iluminasi.com kongsikan 8 fakta mengenai Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang anda patut tahu.

1. Pemimpin wanita ketiga New Zealand

jacinda ardern

Jenny Shipley adalah wanita pertama yang naik ke kedudukan tertinggi pentadbiran, dari 8 Disember 1997 hingga 5 Disember 1999, selepas mengadakan rampasan kuasa yang berjaya menentang pendahulunya, Jim Bolger.

Helen Clark menjadi wanita pertama yang dipilih sebagai Perdana Menteri pada tahun 1999, berkuasa sehingga 2008 apabila Parti Kebangsaan memenangi pilihan raya.

Dan Jacinda Ardern mengambil alih tampuk pentadbiran New Zealand pada 26 Oktober 2017 sebagai Perdana Menteri ke-40.

2. Pemimpin New Zealand termuda dalam tempoh 150 tahun

jacinda ardern beri perhatian kepada belia new zealand

Lahir pada 26 Julai 1980, Jacinda Ardern yang berusia 39 tahun adalah antara pemimpin termuda di dunia, selain menjadi yang pemimpin kedua termuda dalam sejarah New Zealand. 

Secara kebetulan, beliau hanya lebih tua 18 hari berbanding Edward Stafford yang merupakan Perdana Menteri New Zealand antara tahun 1856 hingga 1872.

3. ‘Jacindamania’ merupakan pengaruh besar bagi Parti Buruh New Zealand 

perdana menteri new zealand jacinda ardern 94

Sebelum Jacinda mengambil tampuk pemerintahan, Parti Buruh yang diwakili beliau agak goyah dengan bekas pemimpin parti Andrew Little melepaskan jawatannya hanya 7 minggu sebelum pilihan raya.

Sebaik sahaja Jacinda dipilih oleh rakan-rakannya untuk mengambil tempat Andrew Little, pasukan Jacinda mula bekerja keras dalam apa yang dikenali sebagai 'kempen kehidupan kita' dan istilah 'Jacindamania' dengan cepat mendapat tarikan baik di New Zealand serta di luar negara.

4. Memiliki latar belakang politik yang dihormati

jacinda ardern jfif

Parti Buruh mengundi sebulat suara untuk Jacinda mengambil alih tempat Andrew Little, walaupun pada hakikatnya beliau percaya bahawa beliau orang yang terakhir akan ditugaskan menggalas tanggungjawab tersebut.

Apa yang menyatukan keyakinan anggota parti terhadap Jacinda adalah karisma dan kelayakan politik yang kuat di mana beliau telah menjadi anggota Parti Buruh sejak berusia 17 tahun.

Jacinda juga mula bekerja dalam politik sebagai seorang penyelidik untuk Perdana Menteri Helen Clark, telah berkhidmat sebagai penasihat dasar untuk Tony Blair di United Kingdom, menjadi senarai Ahli Parlimen (iaitu seseorang yang mendapat tempat duduk di Parlimen dengan dipilih dari senarai parti, bukannya kawasan geografi) pada tahun 2008.

5. Tidak gentar bercakap tentang "double standard"

jacinda ardern lahirkan anak ketika bertugas sebagai perdana menteri

Beberapa jam selepas dipilih sebagai pemimpin Parti Buruh pada Ogos 2017, Jacinda Ardern dihadapkan dengan topik yang mana tidak akan ditanyakan kepada calon Perdana Menteri lelaki, iaitu topik keibuan dan potensi memulakan sebuah keluarga.

Jacinda selalu terbuka tentang hasratnya untuk mempunyai anak, tetapi hakikat bahawa beliau ditanyakan soalan tersebut selepas 7 jam mengambil alih kepimpinan Parti Buruh membuatkan beliau agak tidak senang.

Jacinda Ardern mengambil kesempatan tersebut untuk mempertahankan hak-hak wanita agar menyimpan rancangan untuk mendapatkan anak kepada diri sendiri, tidak peduli apa kedudukan mereka di tempat kerja, sambil menambah "adalah tidak boleh diterima pada tahun 2017 untuk mengatakan bahawa wanita harus menjawab soalan itu di tempat kerja'.

Jacinda melahirkan anak pertamanya pada 21 Jun 2018 dan menjadi pemimpin negara kedua yang dilantik yang melahirkan anak ketika sedang bertugas.

6. Agenda Jacinda Ardern jadikan New Zealand lebih aman untuk didiami

jacinda ardern dan penyokongnya 44

Semasa mengangkat sumpah, Jacinda Ardern memberitahu kerajaan barunya sekali lagi tentang objektif dan tanggungjawab utama mereka kepada orang awam iaitu menjadi aktif, beri perhatian, empati, dan kuat.

Fokus yang menjadi keutamaan Parti Buruh termasuklah akses kepada perumahan, pengurangan kemiskinan kanak-kanak, menangani perubahan iklim dan meningkatkan gaji minimum.

7. Memberi tumpuan kepada golongan belia 

jacinda ardern berkempen 378

Kempen pilihan raya Jacinda Ardern memberikan penekanan yang kuat terhadap isu-isu belia, daripada akses pendidikan tinggi kepada halangan mendapatkan pekerjaan oleh golongan muda.

Kerajaannya telah mula menyampaikan janji-janji mereka untuk mengutamakan demografi yang lebih muda dan ini mengumumkan bahawa pelajar domestik kemungkinan akan dikecualikan bayaran yuran untuk tahun pertama.

Jacinda juga berjanji untuk meningkatkan elaun pelajar serta memberikan semula kelayakan untuk sokongan kewangan bagi pelajar pascasiswazah.

8. Berani bercakap tentang kesihatan mental secara terbuka

jacinda ardern 2

Kesihatan mental adalah isu utama di New Zealand, dengan peningkatan kadar bunuh diri dan kekurangan sumber yang mencukupi menjadi antara kebimbangan utama.

Kerajaan Jacinda Ardern berjanji untuk melakukan kajian penuh terhadap sistem kesihatan mental negara dan beliau sendiri secara terbuka bercakap tentang masalah kebimbangan yang dihadapinya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)