Situasi politik negara kita untuk beberapa tahun kebelakangan ini, asyik berkisar kepada pertelagahan dan perebutan 'siapa nak jadi Perdana Menteri.'
Perdebatan yang nampaknya semakin kerap dan belum ada nampak tanda akan berhenti, sudah mula membuatkan orang ramai merasa jemu dengan apa yang berlaku - sehinggakan ada di kalangan ahli masyarakat jelak melihat sikap gila kuasa baik di mana-mana pihak sekalipun.
BESARKAN TEKS A- A+
Sudahlah balik-balik muka-muka itu juga yang dijulang sebagai 'calon Perdana Menteri.' Tak ada alternatif lain ke yang mampu membawa kita ke landasan baru? Ada.
1. Khairy Jamaluddin
Karier politik Khairy Jamaluddin bermula dengan banyak dakwaan kotor. Dia didakwa tidak pernah faham realiti hidup Malaysia disebabkan oleh latar belakangnya yang kerap berada di luar negara.
Lebih malang, dia juga didakwa memilih untuk menjadi menantu kepada Perdana Menteri ke 5 kita, Tun Abdullah Ahmad Badawi hanya untuk mempercepatkan karier politik beliau.
Seterusnya menggunakan kedudukannya itu untuk mengawal kerajaan menerusi 'kumpulan tingkat 4' - didakwa pembuat keputusan kerajaan utama bagi pihak bapa mertuanya.
Seorang lulusan Oxford University, Khairy sekarang menampakkan perwatakan berbeza, lebih terbuka, membawa cara berfikir yang agak progresif dan dilihat mampu merapatkan hubungan kerjasama antara parti-parti politik, berikutan keterbukaan beliau menerima ideologi yang berbeza.
Namun halangan utama beliau sudah tentulah usaha untuk meraih sokongan dalaman partinya sendiri, kerana pembawaan ideologi yang cuba dicetuskan Khairy mampu menimbulkan rasa kurang senang akar umbi parti dan pemimpin lebih veteran.
2. Ahmad Samsuri Mokhtar
Nama Ahmad Samsuri Mokhtar mula diangkat sebagai salah seorang individu paling berketrampilan dalam pelapis baru partinya, ketika gerak kerja kempen pilihanraya 2018 mula kedengaran.
Seorang jurutera bertauliah dalam bidang aeronautikal, karier politik Ahmad Samsuri dalam parti bermula dari bawah sebagai salah seorang penggerak akar umbi, yang ditugaskan menampal poster atau menjadi tukang bancuh air semasa mesyuarat bahagian diadakan.
Beliau disebut sebagai salah seorang wakil paling berpotensi selepas dilantik menjadi setiausaha kepada presiden parti, memberikan beliau laluan untuk mula melebarkan pengaruh sebelum menang dalam pilihanraya peringkat negeri, seterusnya dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu.
3. Nurul Izzah Anwar
Banyak pihak menamakan Nurul Izzah Anwar sebagai salah seorang calon paling berketrampilan mereka bagi mengisi jawatan Perdana Menteri, namun karier politiknya ketika ini nampak malap disebabkan oleh pergeseran yang berlaku dalam parti serta sesama parti sendiri - disebabkan oleh beberapa isu yang timbul.
Namun kredibiliti Nurul Izzah Anwar sebagai satu alternatif yang berbeza sangat menarik untuk diperkatakan. Dia mempunyai latar belakang politik yang berbeza, bermula di jalanan sebelum mula melakar kerjaya sebagai Ahli Parlimen.
Bagaimanapun karier politik beliau senantiasa dibayangi pengaruh ayahnya yang sedikit sebanyak menenggelamkan reputasi dirinya sendiri.
Sama ada Nurul Izzah mampu keluar daripada bayang-bayang ayahnya bagi melonjakkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri yang diyakini serta kembali aktif dalam politik negara seperti sebelumnya, sama-samalah kita tunggu dan lihat.
4. Wan Ahmad Fayshal
Nama beliau kurang dikenali di kalangan pengikut politik negara kita, sebelum beliau diangkat sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan hasil lantikan sebagai seorang senator dalam Kabinet Muhyiddin Yassin.
Seorang yang terkenal sebagai pemikir, karier politik Wan Ahmad bermula agak lambat lebih aktif sebagai seorang ahli akademik yang seringkali berkongsikan pandangannya menerusi acara-acara ilmuan mahupun media sosial, seiring dengan kerjayanya sebagai felo di UPM serta salah seorang pengasas Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun - penghalang utama beliau ketika ini adalah status beliau sebagai seorang senator, menunjukkan beliau belum benar-benar membuktikan dirinya mampu bertarung dalam pilihanraya sebenar bagi memenangi kerusi.
Hanya dengan membuktikan beliau layak dan telah dipilih oleh pengundi dalam pilihanraya, barulah sentimen negatif yang selama ini membelenggu beliau mampu dipecahkan yang diharap dapat mengangkat beliau sebagai seorang calon PM berwibawa di masa hadapan.
5. Mohamad Hasan
Nama paling berusia dalam senarai ini, Mohamad bin Hasan atau lebih mesra dengan panggilan 'Tok Mat' memang sudah disebut-sebut beberapa pihak, sebagai calon paling unggul untuk menjadi Presiden partinya serta diangkat sebagai calon Perdana Menteri.
Namun tuan punya badan sendiri nampak enggan serta merendah diri daripada meletakkan dirinya ke dalam kelompok tersebut, berbeza dengan beberapa individu lain yang tidak pernah henti-henti menjadikan kerusi Perdana Menteri sebagai hak mereka.
Mungkin sikap tersebutlah yang membuatkan ramai orang tertarik dengan ketokohan beliau, kerana dia memang antara tokoh paling kanan yang diakui lebih dekat dengan orang ramai serta mempunyai pemikiran yang lebih tunduk, tidak mendabik dada menjulang diri sendiri.
Sedangkan latar belakangnya cukup hebat sebagai seorang tokoh korporat yang sangat disegani, bermula dalam sektor perbankan sebelum mula mencorakkan jenama-jenama besar perniagaan membuktikan kemampuannya mampu mentadbir dengan baik.
Setakat ini beliau belum pernah bertanding dalam peringkat parlimen, menumpukan fokusnya kepada pilihanraya peringkat negeri.
Tidak jelas adakah beliau berminat dengan jawatan Perdana Menteri dan misteri itu, meletakkan beliau dalam kategori berbeza berbanding calon PM lain seusianya.