Ketika Lee Hadwin sedang berjaga, dia hanyalah seorang jururawat lelaki yang tidak mempunyai apa-apa bakat seni langsung. Apabila dia tidur, keadaan berubah sama sekali.
Dalam tidurnya, Lee mampu melukis potret, pemandangan dan abstrak yang unik seolah-olah dia adalah seorang artis yang mempunyai bakat dan pengalaman yang lama. Namun, dia tidak akan mengingati apa-apa setelah terjaga dan tidak mampu melukis seperti yang dilakukannya ketika tidur.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimana ia bermula
Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Kita pernah mendengar orang bercakap atau berjalan ketika tidur tetapi bukannya melukis. Apa yang lebih membingungkan, ia bukanlah lukisan merapu sebaliknya lukisan yang cantik dan sukar dilakukan orang yang tidak mempunyai bakat atau latihan.
Lee menjelaskan, perkara ini bermula sejak dia berusia empat tahun lagi. Dia kerap bangun dan berjalan di dalam rumah tanpa sedar. Dia akan mengambil krayon daripada beg sekolahnya dan menconteng dinding biliknya, tangga, meja dan apa sahaja yang boleh.
Lukisan Marylin Monroe yang dihasilkan Lee
Ibu bapanya yang risau telah membawa Lee berjumpa doktor. Doktor mengatakan ia adalah simptom biasa bagi seorang sleepwalker dan keadaan itu akan hilang apabila semakin membesar.
Namun, Lee tidak berubah malah lukisannya menjadi bertambah baik. Ketika berusia 15 tahun, Lee menghasilkan tiga lukisan pensel Marilyn Monroe. Walaupun tidak sempurna, lukisan itu kelihatan seperti lukisan seorang artis yang mempunyai pengalaman sedangkan Lee tidak pandai melukis ketika dia terjaga.
Ketika itulah Lee sedar bahawa dia sebenarnya memiliki kelebihan. Sejak itu, Lee menghasilkan ratusan lukisan ketika dia sedang tidur. Dia yang dilahirkan di Australia kini menetap di London, United Kingdom.
Kejadian yang tidak menentu
Menurut Lee, lukisan yang dihasilkan ketika tidur tidak menentu. Ada kalanya, DIa akan menghasilkan satu karya yang dilukisnya selama beberapa malam dalam seminggu. Ada masanya pula, dia hanya mampu menghasilkan satu lukisan dalam masa dua bulan.
Abstrak yang dilukis oleh Lee dalam tidurnya
Ketika berusia awal 20-an, dia tidak menghasilkan apa-apa lukisan langsung. Ketika itu Lee menyangkakan kebolehannya itu sudah hilang. Namun, ia kembali semula selepas beberapa tahun.
Dia juga menyediakan alatan melukis berhampiran sekiranya dia terbangun dan melukis tanpa sedar. Menurut Lee, lukisan yang dihasilkannya itu biasanya bermula sebagai mimpi. Ketika dia melukis gambar Marilyn Monroe, dia tertidur ketika menonton filem lakonan wanita itu dan bermimpi mengenainya.
Lee yang merupakan seorang spiritual (bersifat kerohanian) tidak menolak ada kuasa lain yang memainkan peranan dalam lukisan tidurnya. Pada suatu malam sebelum berjumpa dengan pakar tidur di London, dia telah menghasilkan satu lukisan angka 23.
Ketika ditanya pakar tidur mengenai lukisan terakhir yang dihasilkannya, Lee menunjukkan lukisan angka 23. Doktor itu terkejut kerana 23 adalah "nombor bertuahnya" dan dia sedang memakai kalung dengan ukiran nombor 23 ketika itu.
Menjadikan kelebihannya sebagai karier
Menurut Lee, dia tidak pernah menginginkan untuk menjadi seorang artis atau pelukis. Ketika di sekolah, dia sering mendapat keputusan kurang baik dalam pendidikan seni.
Namun, dia mula menggelarkan dirinya sebagai seorang artis pada 2015 dan berhenti kerja sebagai seorang jururawat untuk menumpukan sepenuhnya kepada menghasilkan "karya tidurnya". Dia menjual hasil lukisannya dengan harga antara USD 1,500 hingga 10,000.
Dia kini menjadi jutawan dengan hanya menjual hasil lukisan tidurnya. Malah, salah satu lukisannya pernah dibeli oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, lebih daripada USD 100,000.
Kini, banyak hasil lukisannya dipamerkan di pameran seni seperti di Albury, Australia. Lee juga sedang menghasilkan bukunya sendiri mengenai lukisan, kehidupan dan inspirasinya berjudul The Awakening.
Lee sedar bahawa ada segelintir artis terlatih yang profesional tidak menganggap lukisannya sebagai sesuatu yang serius tetapi dia tidak pernah terasa. Menurutnya, seni itu sesuatu yang subjektif. Tidak kira sama ada anda belajar seni selama setahun atau 40 tahun, apa yang penting adalah karya anda disukai dan dihargai atau tidak.
Melakukan kajian terhadap keadaannya
Ramai juga yang mempersoalkan kebenaran mengenai kisah Lee Hadwin ini. Maka, Lee sendiri telah membuat merakamkan mengenai keadaan bagaimana dia melukis ketika tidur.
Selain rakaman, dia juga telah melakukan beberapa ujian tidur. Lee sering menghadiri Sleep Center di Edinburgh, Scotland untuk dianalisa oleh saintis. Dia juga pernah diuji oleh saintis yang datang dari Jepun semata-mata untuk bertemu dengannya.
Lee kini mempunyai ramai peminat setia yang sering menghantar surat kepadanya. Dia juga sering dihubungi pihak media dan stesen TV untuk ditemuramah. Kehidupannya berbeza sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kini, Lee banyak bekerja dengan beberapa badan amal berbeza untuk memberi kesedaran mengenai sleepwalking. Dia tahu bahawa ramai lagi orang yang mempunyai masalah sama dan melakukan pelbagai perkara ketika mereka tidur.