Apakah perkara pertama yang anda fikirkan apabila mendengar perkataan 'mimpi'? Anda mungkin membayangkan diri anda sedang terbang, jatuh dari tempat tinggi, bertemu rakan jauh atau mungkin dikejar makhluk menakutkan.

Imej memainkan peranan yang penting dalam mimpi sebahagian besar manusia dan biasanya dicerminkan oleh apa yang dilihat mereka semasa sedang berjaga. Akan tetapi, bagaimanakah mimpi bagi mereka tidak mempunyai kelebihan melihat seperti orang buta atau cacat penglihatan? 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mimpi

Mimpi merupakan bahagian penting dalam 'waktu tidur' kita. Anda mungkin bermimpi beberapa kali dalam tidur anda, sama ada anda ingat apa yang anda mimpikan atau tidak. Jika dilihat pada takrif mimpi itu, ia adalah pengganti idea, emosi dan imej paling menonjol yang berlaku dengan sendirinya dalam fikiran kita semasa fasa tidur tertentu.

apa yang dimimpikan orang cacat penglihatan

Walaupun manusia dilengkapi dengan lima deria asas yang berfungsi untuk membantu kita mengamati keadaan dunia di sekeliling, namun jumlah maklumat yang diperolehi melalui deria penglihatan kita setiap hari melebihi beberapa deria yang lain.

Bagi kebanyakan orang yang mampu melihat, deria penglihatan lebih kerap digunakan berbanding deria lain seperti deria sentuhan, bau dan pendengaran. Boleh dikatakan deria penglihatan digunakan hampir keseluruhan waktu ketika kita sedang berjaga.

Setiap hari, mata kita melihat hampir beratus-ratus ribu perkara yang sama atau baru. Sama ada otak kita memproses imej itu atau tidak adalah perkara yang berbeza tetapi kita menggunakan mata dalam jumlah masa yang begitu banyak sepanjang hidup kita. Pada asasnya, penglihatan itulah yang memainkan peranan penting untuk membentuk mimpi yang kita alami ketika tidur.

Kajian mengenai mimpi

golongan cacat penglihatan

Bagi orang yang mempunyai penglihatan yang sihat, mereka sudah terbiasa dengan 'mimpi' yang didorong oleh apa yang pernah dilihat sebelum ini. Adalah sukar untuk kebanyakan orang sekiranya mengalami mimpi yang minimum atau mimpi yang tiada visual sama sekali. 

Sekumpulan penyelidik di Denmark telah melakukan satu kajian untuk menganalisa tentang bagaimana keadaan mimpi yang dialami oleh orang buta atau cacat penglihatan.

Kajian itu melibatkan 50 orang peserta dewasa. 11 orang daripadanya buta sejak lahir, 14 orang lagi pula menjadi buta selepas usia 1 tahun ke atas manakala 25 orang lagi adalah mereka yang mempunyai penglihatan yang sihat.

adakah orang buta bermimpi

Dalam kajian itu, setiap peserta perlu mengisi borang soal selidik mengenai mimpi yang mereka alami ketika tidur atau selepas terjaga (peserta yang buta menggunakan mengisi borang menggunakan perisian pertuturan ke teks).

Selepas 4 minggu, kajian yang dilakukan telah dikumpulkan dan keputusannya diperolehi. Mereka mendapat bahawa orang yang buta sejak lahir tidak mempunyai pengalaman visual dalam mimpi mereka. 

Bagi mereka yang menjadi buta pada usia tertentu pula, mimpi mereka mempunyai visual yang terhad bergantung kepada tempoh masa mereka dapat melihat sebelum menjadi buta. Secara ringkasnya, semakin lama mereka dapat melihat semakin banyak imej akan terpancar dalam mimpi mereka. 

Apakah yang dimimpi oleh orang buta sejak lahir?

deria sentuhan orang buta

Golongan orang yang buta sejak dilahirkan juga bermimpi ketika tidur tetapi ia berbeza dengan peserta lain yang tidak buta. Mimpi orang yang buta sejak lahir ini mempunyai banyak campuran maklumat deria lain selain deria penglihatan.

Menurut kajian yang dilakukan, sebanyak 18% orang buta melaporkan mempunyai pengalaman menggunakan deria rasa dalam mimpi mereka berbanding hanya 7% sahaja orang yang mempunyai deria penglihatan normal.

Kira-kira sebanyak 30% orang buta melaporkan mempunyai pengalaman menggunakan deria bau dalam mimpi mereka berbanding 15% orang yang mempunyai penglihatan normal. 

Hampir 70% orang buta melaporkan mempunyai pengalaman berkaitan deria sentuhan dalam mimpi mereka berbanding 45% peserta tidak buta. Bagi deria pendengaran pula, sebanyak 86% orang buta yang mengalami pengalaman berkaitan deria bunyi berbanding 64% peserta normal.

Apa kesimpulan daripada kajian ini?

mimpi

Kesimpulan daripada kajian yang dilakukan ini menunjukkan bahawa buta itu banyak mengubah komposisi deria yang digunakan ketika bermimpi. Tempoh seseorang itu menjadi buta juga memainkan peranan yang sangat penting.

Sama seperti orang yang memiliki penglihatan sempurna, orang buta juga bermimpi. Cuma, mimpi yang dialami orang buta banyak dipengaruhi deria lain berbanding deria penglihatan.

Walau apapun kandungan dan kualiti mimpi orang buta, ia agak serupa dengan orang yang tidak cacat penglihatan. Menurut kajian yang dilakukan, semua peserta melaporkan bermimpi tentang masa lampau, perasaan, hubungan, kejayaan dan kegagalan mereka.

Malah, orang buta mengalami pengalaman yang lebih dari segi deria lain berbanding orang biasa yang sebahagian besarnya bergantung pada deria penglihatan. Ia mungkin kelebihan yang tidak dapat dirasai oleh mereka yang normal.

Rujukan:

1. Kajian mimpi yang dialami golongan cacat penglihatan

2. Bagaimana orang buta bermimpi

3. Beza mimpi orang buta dan orang normal




Hakcipta iluminasi.com (2017)