Roy Sullivan dilahirkan di Green County, Virginia pada tahun 1912. Diamerupakan anak keempat daripada 11 orang adik-beradik. Disebabkan beliau membesar di Blue Ridge Mountains, Sullivan sangat biasa dengan alam semula jadi dan persekitaran luar.
Pendidikan bukanlah suatu keutamaan semasa zaman kanak-kanaknya. Sullivan juga tidak pernah habis sekolah menengah namun dia sentiasa menggunakan ilmu pengetahuan tentang persekitaran luarnya sebagai manfaat. Dia menyertai Civilian Conservation Corps dan bertugas membina Taman Negara Shenandoah di mana dia menjadi renjer taman dari tahun 1936 hingga bersara.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun tugas renjer memerlukan seseorang memerah keringat dan menggunakan tulang empat kerat, Sullivan mempunyai tugas yang lebih memenatkan tubuh badan berbanding orang lain. Ini disebabkan antara tahun 1942 hingga 1977, dia telah dipanah petir sebanyak tujuh kali.
Tidak dinafikan, tugas renjer mempunyai banyak risiko yang sangat tinggi. Risiko dibaham binatang buas, disengat haiwan berbisa, sesat di dalam hutan dan sudah tentu sekali - risiko dipanah petir.
Tahukah anda, kebarangkalian seseorang disambar kilat adalah sekali dalam 280,000,000. Namun, kebarangkalian seorang manusia terselamat selepas tujuh kali dipanah petir adalah hanya 4.15 dalam 100,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000.
Sullivan masih dipanjangkan nyawa dan meneruskan hidup untuk bercerita tentang kisahnya.
Panahan pertama
Sullivan mula disambar petir pada tahun 1942 ketika dia ditugaskan menjaga menara api di Millers Head di Taman Negara Shenandoah. Semasa bertugas, berlaku hujan ribut dan kilat telah menyambar menara api berkali-kali sehingga terbakar.
Sullivan cuba melarikan diri namun disambar petir hanya beberapa kaki dari menara itu. Panahan itu telah menyebabkan kasutnya berlubang, kaki kanannya melecur hingga kehilangan ibu jari kakinya. Menurut Sullivan, kejadian pertama itu adalah yang paling teruk terjadi kepadanya sehingga dia kehilangan banyak darah.
Panahan kedua
27 tahun kemudian iaitu pada bulan Julai 1969, Sullivan lagi sekali disambar kilat ketika sedang bertugas. Kali ini, dia sedang memandu trak sambil membuka tingkap di kawasan pergunungan. Rambutnya terbakar dan Sullivan terus tidak sedarkan diri. Trak yang dipandu terbabas dan terhenti di tepi sebuah tebing. Sullivan kehilangan kedua-dua bulu keningnya selepas kejadian ini.
Panahan ketiga
Tahun berikutnya, Sullivan hanya sedang berdiri di taman rumahnya ketika kilat tiba-tiba menyambar sebuah transformer kuasa berhampiran dan mengenainya. Sullivan tercampak dan melecur sedikit di bahagian kiri bahunya.
Panahan keempat dan kelima
Kedua-dua panahan empat dan lima juga terjadi ketika Sullivan sedang bertugas.
Pada tahun 1972, Sullivan sedang bekerja di stesen renjer apabila berlaku hujan ribut dan menyebabkan rambutnya terbakar sekali lagi sehingga dia terpaksa meletakkan tuala basah untuk memadam api.
Pada bulan Ogos 1973 pula, Sullivan berada di tempat kerja ketika ternampak awan ribut mula membentuk. Sullivan cuba melarikan diri dari kawasan itu namun kilat tiba-tiba menyambarnya.
Kejadian itu membuatkan Sullivan mula terfikir ada sesuatu dalam dirinya yang membuatkan mudah disambar kilat. Sullivan tidak pernah berasa gentar menjalankan tugas sebagai renjer. Walau bagaimanapun, setiap kali dia terdengar bunyi guruh, seluruh badannya akan menggigil ketakutan.
Panahan keenam
Apa yang disangka Sullivan bukanlah tidak berasas sama sekali. Ini disebabkan dia disambar kilat dua kali lagi selepas itu.
Pada 5 Jun 1976, Sullivan sekali lagi cuba melarikan diri dari awan ribut. Walau bagaimanapun awan itu kelihatan seperti mengikut Sullivan dan menyebabkan dia disambar petir hingga mencederakan buku lalinya.
Panahan ketujuh (terakhir)
Panahan terakhirnya berlaku pada 25 Jun 1977 ketika Sullivan sedang memancing di sebuah tasik. Kilat menyambar Sullivan dan menyebabkan rambut, dada dan perutnya terbakar.
Tidak cukup dengan itu, sejurus disambar kilat, seekor beruang tiba-tiba muncul dan cuba mencuri ikan trout yang ditangkap Sullivan. Sullivan yang sudahpun berada dalam kesakitan perlu berjuang pula mempertahankan diri dan menghalau beruang itu menggunakan sebatang kayu.
Kisah dan nasib Roy Sullivan bergantung kepada bagaimana anda melihatnya. Boleh jadi dia adalah orang yang paling bernasib baik dan boleh jadi juga dia adalah orang yang paling malang di dunia. Walaupun tujuh kali disambar kilat dan melawan maut, Sullivan hidup sehingga berusia 72 tahun.
Roy Sullivan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 28 September 1983. Anda pasti menyangka Sullivan mati akibat dipanah petir, bukan?
Apa yang menyedihkan, walaupun terselamat selepas tujuh kali ditimpa malang, Sullivan akhirnya mati dengan menembak dirinya sendiri kerana kemurungan akibat cinta bertepuk sebelah tangan.
Sehingga ke hari ini Roy Sullivan kekal dalam Rekod Dunia Guinness sebagai manusia paling banyak dipanah petir.
Sumber: