Permulaan abad ke-20 merupakan fasa bagi eksperimen untuk era perubatan moden. Doktor pada waktu itu biasanya menggunakan bahan yang kuat dalam ubat-ubatan seperti kokain dan heroin untuk pelbagai jenis penyakit.
Malah, mereka juga menggunakan bahan radioaktif yang berbahaya. Pesakit pada waktu itu mengubati diri mereka dengan ubat-ubatan yang kita kategorikan hari ini sebagai beracun untuk tubuh manusia.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada 1 Mac 1896, seorang ahli fizik Perancis bernama Henri Becquerel telah menemui sifat radioaktif dalam uranium. Tidak lama kemudian, saintis mengetahui pula bahawa polonium, thorium dan radium juga bersifat radioaktif.
Sebelum ujian rapi dilakukan terhadap kesan bahan radioaktif ke atas manusia, sebilangan orang telah menghasilkan produk berasaskan bahan radioaktif seperti Ubat Gigi Radioaktif Doramad, Gincu Tho-Radia atau kad radioaktif pada bungkusan rokok bagi "meningkatkan lagi rasa merokok" sambil mengurangkan tar dan nikotin.
Minuman Radithor
Salah satu produk radioaktif ini telah menjadi kegemaran seorang atlet Amerika bernama Eben Byers. Byers mula terkenal apabila memenangi Kejohanan Golf Amatur Amerika Syarikat pada 1906.
Eben Byers
Pada 1927, dia telah terjatuh sehingga menyebabkan tangannya cedera. Ini membuatkan dia tidak dapat bermain golf buat sementara waktu.
Doktornya telah menasihati Byers untuk mengambil minuman yang dipanggil Radithor bagi merawat kesakitannya. Minuman Radithor itu sebenarnya dihasilkan oleh William J.A. Bailey, seorang doktor tidak bertauliah (tidak menghabiskan pengajiannya di Kolej Perubatan Harvard).
Bailey dan pasukannya cuma melakukan sedikit kajian mengenai radium dan menemui beberapa faedah "hipotesis" terhadap organisma manusia. Pada waktu itu, radioaktiviti bukanlah subjek yang dikaji dengan meluas terutamanya kesan terhadap tubuh manusia.
Mereka tahu bahawa radioaktif dalam dos yang tinggi boleh membunuh. Namun, mereka percaya jika dos yang sangat kecil disuling dengan air, ia boleh memberikan manfaat.
Kesan plasebo
Bailey sebenarnya menawarkan ganjaran wang kepada doktor-doktor bagi setiap minuman Radithor yang dipromisikan mereka kepada pesakit.
William Bailey, pengasas Radithor
Pada mulanya, Byers hanya mengambil beberapa sudu Radithor dalam sehari. Setelah beberapa hari menggunakan Radithor, kesakitan pada tangan Byers hilang.
Pakar hari ini berpendapat ia mungkin secara kebetulan atau kesan plasebo (kesan ubat yang membuatkan minda pesakit percaya tetapi tidak menyembuhkan).
Sejak dari itu, Byers yakin keberkesanan minuman Radithor. Dia mengirimkan minuman itu kepada rakan-rakannya, teman wanita dan bahkan memberikannya kepada kuda peliharannya. Buat dirinya sendiri, Byers telah menggunakan sebanyak 1,400 botol Radithor.
Kesan radioaktif terhadap tubuh manusia
Pada waktu itu, Byers dan kebanyakan orang tidak tahu kesan buruk bahan radioaktif. Malah, satu pengeluar "ubat" radioaktif telah dikenakan tindakan kerana tidak memasukkan bahan berbahaya itu seberapa banyak seperti yang mereka janjikan.
Setelah beberapa tahun mengambil minuman Radithor, Byers mula mengalami penurunan berat badan, sakit kepala dan kebanyakan giginya telah luruh.
Dia memberitahu doktor bahawa tubuhnya tidak lagi berasa segar atau sihat walaupun sering mengambil minuman Radithor. Hakikatnya, tulang di dalam tubuhnya sudah mulai rapuh dan terhakis akibat bahan radioaktif itu.
Pada 1931, Byers mendapat kejutan apabila bahagian bawah rahang mulutnya luruh. Penggunaan Radithor telah menyebabkan tisu dan tulangnya hancur dari dalam. Dia tidak merasa sakit kerana semua sarafnya juga telah rosak akibat kesan ubat itu.
Bukan sahaja rahangnya tetapi hampir sebahagian besar tulang di dalam tubuhnya mulai mereput. Menurut pemeriksaan doktor, terdapat sebuah lubang mulai terbentuk di bahagian tengkoraknya.
Diharamkan pihak berkuasa
Ketika inilah, pihak berkuasa mula menyedari kesan buruk radiasi terhadap manusia. Mereka meminta jika Byers sudi memberikan keterangan dalam kes mahkamah terhadap pengeluar Radithor. Namun, Byers terlalu sakit untuk hadir dan hanya mewakilkan peguamnya sahaja.
Beberapa minggu selepas itu, Byers meninggal dunia pada usia 51 tahun. Berikutan kematiannya, ramai doktor lain yang tampil mendedahkan kesan buruk akibat terdedah kepada radiasi.
Akibat pendedahan itu, pihak berkuasa mula mengharamkan penggunaan bahan radiasi sekali gus menguburkan industri produk berasaskan bahan radioaktif.
Sementara itu, pengasas produk Radithor iaitu William J.A. Bailey masih menegaskan bahawa minumannya selamat sehinggalah dia meninggal dunia akibat barah pundi kencing pada 1949.
Ketika para penyelidik perubatan menggali semula kuburnya 20 tahun kemudian, bahagian dalam tubuh Bailey "dihancurkan" oleh kesan radiasi dan mayatnya masih terasa hangat.