Kredit foto: Instagram Datuk Seri Vida
Jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida kembali merancakkan kerjayanya sebagai penyanyi menerusi penerbitan single kedua selepas 'I Am Me', berjudul 'Lavida Raya'.
Single bersempena Aidilfitri yang mengenengahkan genre rancak dan 'catchy' itu merupakan hasil ciptaan komposer berpengalaman yang tidak asing lagi, Cat Farish, manakala senikata tulisan Mohd Hilmi.
Memetik laporan BH Online, Vida berkata, video muzik single yang mula dimuatnaik di laman Youtube sejak 1 Jun itu menelan kos pembikinan yang sederhana serta tidak semahal 'I Am Me'.
Menariknya, katanya, ia hanya dirakam di kediaman beliau serta dijayakan oleh kenalan termasuk dua anak Vida yang dikenali umum, Cik B dan Kacak, selaku teraju utama.
Kredit foto: Instagram Datuk Seri Vida
"Saya memilih genre yang lebih 'catchy' supaya lagu ini akan menceriakan suasana Hari Raya semua peminat saya di seluruh negara dan semua peminat serta orang ramai boleh menari bersama selepas melihat muzik video lagu itu.
"Pembikinan muzik video itu dibuat di rumah saya sehari sebelum 1 Ramadan dan kebanyakan gaya tarian dalam muzik video itu adalah hasil idea Cik B dan saya sendiri," katanya.
Sehingga kini, single itu nyata bagai mengulangi kegemilangan lagu fenomena 'I Am Me' kerana telah menduduki kedudukan pertama carta trending Youtube dengan catatan sebanyak lebih 320,000 tontonan.
Vida berkata, pelancaran muzik video itu bakal disusuli dengan Cabaran Lavida Raya yang menawarkan duit raya serta barangan peribadi miliknya kepada pemenang yang bertuah.
"Saya akan memberikan hadiah RM100 serta barangan peribadi saya seperti kasut, beg tangan dan pakaian setiap hari selama seminggu kepada peminat-peminat saya.
"Pemenang yang share (kongsi) muzik video single itu dengan #lavidaraya di akaun media sosial mereka serta memberikan komen terbaik akan dipilih sebagai pemenang," katanya.