Dalam sistem undang-undang di kebanyakan negara yang kerajaannya stabil, setiap satu kesalahan jenayah atau kesalahan yang dilakukan sekiranya berjaya dibuktikan berlaku - akan diadili melalui sistem mahkamah sebelum hukuman ke atas kesalahan itu dijatuhkan.

Bagaimanapun, ada beberapa pihak yang cuba melakukan eksperimentasi, menggubal undang-undang tempatan mereka khasnya melibatkan jenayah kecil sebagai usaha untuk memudahkan perjalanan sistem undang-undang dilakukan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu usaha paling aneh dilakukan adalah bagaimana rakyat California di Amerika Syarikat, meluluskan referendum yang dinamakan sebagai 'Proposition 47' bagi mengurangkan kadar jenayah berat yang berlaku, menjadi kesalahan kecil dari segi undang-undang. Walaupun niatnya pada atas kertas kelihatan baik - kesannya pula di luar jangkaan mereka.

Apa itu 'Proposition 47' California?

statistik perubahan selepas proposition 47

'Proposition 47' melibatkan negeri California merupakan sebuah pindaan undang-undang yang dilakukan oleh kerajaan California, bagi menggubal undang-undang jenayah mereka selepas 200,000 petisyen permintaan itu diterima kerajaan.

Pindaan itu memperkenalkan tiga perubahan besar pada sistem hukuman jenayah feloni, dengan menjadikan kes-kes kecurian tertentu serta pemilikan dadah berdasarkan syarat yang ditentukan hanya akan dihukum sebagai kesalahan ringan atau feloni, bukan lagi satu bentuk jenayah.

Perubahan kedua adalah untuk membenarkan mana-mana pesalah yang telah dijatuhkan hukuman sebelum 'Proposition 47' diperkenalkan, melakukan rayuan bagi mengurangkan tempoh hukuman atau dilepaskan daripada hukuman sepenuhnya.

Yang ketiga adalah untuk membenarkan mana-mana pesalah yang sudah selesai menjalani hukuman mereka, menukarkan pendaftaran rekod mereka, daripada 'pernah melakukan jenayah' kepada 'pernah melakukan kesalahan kecil.'

Atas kertas, bunyinya cantik kerana niatnya kelihatan baik serta akan membantu masa depan banyak pihak yang pernah berdepan tindakan undang-undang; tetapi manusia akan senantiasa mencari lompong-lompong atau 'loophole' dalam undang-undang yang ada. Itulah yang berlaku. Bagaimana?

Perubahan kecil, impak besar pada masyarakat

polis arah pencuri tinggal barangan

Pindaan yang dilakukan kerajaan California lebih menumpukan kepada dua kesalahan utama iaitu pemilikan dadah dan kes-kes kecurian kecil. Bagi meringankan tahap kesalahan yang dilakukan khasnya melibatkan kes-kes kecurian, California meminda akta mereka berkenaan kes kecurian dengan memperkenalkan satu undang-undang yang agak lucu bunyinya.

Sekiranya mana-mana individu di California didapati melakukan kesalahan mencuri contohnya di kedai atau di pasaraya dan nilai barangan yang dicurinya berada di bawah nilai $950 (RM3975), kesalahan itu akan dikategorikan sebagai kes kecurian kecil. Pada anda kecil ke amaun tu?

Pada logiknya undang-undang itu tidak nampak sebarang cacat cela, namun apabila diperkenalkan - pihak polis tidak lagi mengambil kisah sekiranya berlaku kecurian di bawah paras $950 kerana akta kerajaan mereka tidak akan menghukum kesalahan itu, sebaliknya pesalah hanya akan diberikan amaran semata-mata.

Itu kesannya pada pihak polis. Kesannya pada masyarakat California sendiri pula lain ceritanya. Oleh kerana kini mereka tahu kes-kes kecurian mempunyai had maksima kesalahan $950 sebelum dinaik taraf menjadi kesalahan jenayah - ramai mula mengambil kesempatan mencuri. Statistik kes-kes kecurian mula menjadi-jadi khasnya di San Fransisco dan pihak berkuasa pula tidak mempunyai cara untuk menanganinya.

Pencuri mula bergerak sewenang-wenangnya

rompakan kedai barang kemas

Berikutan tidak lagi takut dengan undang-undang yang tidak lagi mampu menghukum mereka, pencuri mula aktif mencuri tanpa segan. Taktiknya mudah - curi sahaja apa-apa dan pastikan nilai curian tidak melebihi $950. Ambil barang dan lari.

Ada juga banyak kes yang berlaku di mana pencuri akan membawa kalkulator, memastikan jumlah barangan yang mereka ambil tidak melebihi angka yang ditetapkan - sebelum cuba melarikan diri. Sekiranya ditangkap, mereka tahu undang-undang sedia ada tidak boleh menghukum mereka.

Dan perkara ini sangat kerap berlaku sehingga memberikan kesan pada golongan peniaga, khasnya peniaga kecil. Seorang peniaga yang menjual dron udara kerap kali menjadi mangsa golongan remaja yang tahu dron yang beliau jual berharga $800, mengambilnya sebelum pantas melarikan diri. Banyak pekedai khasnya peniaga kedai runcit mengalami kerugian kerana pencuri tidak lagi takut untuk mencuri.

Golongan berpendapatan rendah juga turut sama mengambil peluang kelonggaran undang-undang yang ada. Seorang ibu di San Fransisco mengaku seandainya dia kehabisan wang bagi perbelanjaan keluarga, dia tidak lagi segan untuk mencuri di kedai kerana tahu seandainya ditangkap sekalipun, dia akan dilepaskan dan boleh mencuba lagi di kedai lain.

California tumpuan sindiket jenayah terancang

kes curi di kedai pakaian

Sekiranya orang kebanyakan tidak lagi takut untuk mencuri, peluang itu turut sama dipergunakan sebaik mungkin oleh sindiket-sindiket jenayah dari luar negeri California dalam mendapatkan barangan percuma. Sindiket ini mula mengupah golongan berpendapatan rendah khasnya daripada kalangan penagih dadah, bagi bekerja untuk mencuri - dengan setiap kecurian dijalankan secara sistematik.

Barangan yang dicuri pula akan dikumpulkan sebelum dijual kepada negara bersempadan dengan Amerika Syarikat.

Apa yang lebih membimbangkan, walaupun pihak polis tahu individu-individu yang terbabit bekerja dengan sindiket untuk mencuri - mereka sedar tangkapan seandainya dilakukan sekalipun, tidak membawa sebarang hasil yang berpanjangan. Pencuri yang ditangkap walaupun dikenalpasti bekerja dengan sindiket tidak boleh didakwa, kerana barangan curiannya tidak melebihi $950.

Golongan peniaga di California pada ketika ini berada dalam situasi sangat tertekan, kerana senantiasa berdepan risiko kecurian yang dilakukan secara terbuka. Kadar kecurian di San Fransisco meningkat mendadak, dengan beberapa laporan menyebut pekedai melaporkan kes kecurian hampir setiap jam.

Selain penagih dadah, orang gelandangan dan kanak-kanak dilaporkan menjadi pilihan utama sindiket dalam mendapatkan barangan percuma tanpa perlu berhadapan risiko besar.

Jadi seandainya anda tertanya adakah undang-undang berkesan mengawal keamanan orang ramai? Jawapannya ya. Bagaimanapun ada juga masanya, undang-undang yang diperkenalkan mampu membuat yang tak pernah mencuri, mula memberanikan diri untuk mencuri demi kelangsungan hidup.




Hakcipta iluminasi.com (2017)