Oleh pada 26 Jun 2018 kategori

Filem 'Braveheart' lakonan Mel Gibson mempopularkan nama William Wallace kepada seluruh masyarakat dunia.

Paparan dalam filem tersebut memaparkan peribadi Wallace yang tragik serta terlalu banyak ditokok tambah dengan nilai fiksyen sehinggakan kisah sebenar yang terjadi dalam hidup Wallace dicampur adukkan dengan realiti.

Hakikat sebenarnya, tidak ada banyak rekod yang tepat dalam menerangkan kisah sebenar William dalam membantu perjuangan kemerdekataan Scotland. Apa yang menariknya, tidak ada bukti tepat yang dapat menerangkan mengapa William Wallace bertindak bangkit berjuang demi negaranya kerana semuanya kabur. Kekaburan inilah yang menjadikan kisah Wallace lebih menarik untuk diketahui kerana tidak diketahui dengan jelas apakah asal-usul sebenar legenda Scotland ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Permulaan legenda William Wallace

raja alexander iii scotland

Kemangkatan Raja Alexander III di Scotland pada tahun 1286 menyebabkan iklim politik Scotland berubah kerana ketiadaan waris, selepas putera beliau yang juga pewaris sebenar takhta Scotland, Putera Alexander meninggal dua tahun sebelum ayahnya mangkat pada tahun 1284.

Kematian Raja Scotland akibat terjatuh daripada kuda semasa dalam perjalanan ke Kinghorn itu menyebabkan pergelutan timbul bagi menentukan siapakah pemegang takhta berikutnya. Ini menyebabkan perang saudara di antara puak-puak yang mahukan kuasa berlaku.

Golongan bangsawan Scotland memohon bantuan Raja Edward, pemerintah England ketika itu bagi merungkaikan masalah mereka. Setelah perbincangan dilakukan di antara semua golongan bangsawan Scotland dengan Raja Edward menjadi orang tengah, mereka bersetuju untuk melantik John Balliol, anak kepada Baron Balliol pemilik Istana Barnard sebagai Raja baru Scotland berdasarkan faktor keturunan.

John Balliol adalah keturunan lebih tua dalam senarai pewaris kepada David I yang memerintah Scotland pada tahun 1124 sehinggalah 1153. Oleh kerana faktor keturunan ini, John dilihat lebih layak memegang takhta berbanding Robert the Bruce, salah seorang lagi pewaris yang turut sama menuntut kuasa berdasarkan susur galur keturunannya.

Helah jahat England meluaskan kuasanya

king edward penjajah scotland

Bagaimanapun Raja Edward tidaklah mahu menghulurkan bantuan semudah itu. Sebagai balasan menyelesaikan pertelingkahan, dia meminta untuk diberikan pangkat di Scotland dengan gelaran Lord Paramount of Scotland. Bukan setakat itu, Raja Edward juga meminta Scotland membayar wang cukai, sumbangan tahunan serta mewajibkan Scotland membantu England menentang Perancis, yang ketika itu sedang berperang dengan England.

Marah dengan permintaan melampau itu, John Belliol berhubung meminta bantuan dengan Perancis bagi menghalang ancaman England. Marah atas pembelotan dan tindakan Scotland itu, Raja Edward bertindak menceroboh Scotland dan menjatuhkan Raja Balliol yang dinaikkannya sendiri.

Tentera Scotland tewas teruk dalam peperangan yang dinamakan Peperangan Dunbar ini. England akhirnya berjaya menjajah Scotland.

Setahun selepas dijajah England

perjuangan kemerdekaan scotland

William Wallace muncul pada tahun 1297, setahun selepas England menceroboh dan menjajah tanah orang Scotland secara keji.

Tidak ada siapa tahu dari mana datangnya Wallace, dengan latar belakangnya dikatakan berasal daripada sebuah keluarga bangsawan kecil. Tindakan pertama yang dilakukan oleh Wallace adalah mengumpulkan beberapa orang pengikut bagi menyerbu sebuah kubu England yang terletak di kawasan bernama Lanark.

Lanark adalah tempat seorang pegawai berstatus sheriff England bernama William de Heselrig berkuasa. Tidak diketahui dengan jelas mengapa Heselrig menjadi sasaran Wallace. Ada pendapat mengatakan Heselrig telah membunuh isteri Wallace dan tindakan itu adalah satu balas dendam Wallace terhadap Heselrig.

Serangan itu berhasil dan kisah pembunuhan Heselrig mula tersebar membuktikan masih ada pihak di Scotland yang berani menentang penjajahan England, walaupun Raja Scotland, John Balliol sendiri dilihat tidak mahu melakukan apa-apa bagi merampas kembali kuasa yang hilang.

Mulanya bertindak sendirian, pasukan Wallace lama kelamaan semakin terkenal dan bertambah ahlinya. Sebuah lagi pasukan pemberontak diketuai oleh Andrew Moray turut sama berkongsi agenda kemerdekaan Wallace. Muncul gerakan pemberontakan besar-besaran selepas itu dimulakan di kawasan lain melibatkan kumpulan pemberontak yang diketuai oleh adik beradik Mac Ruaidhri dan beberapa pemimpin lain di seluruh Scotland.

Kejayaan mereka menentang penjajahan England menyebabkan sedikit demi sedikit kawasan di Scotland dapat dikembalikan kepada orang-orang tempatan, dengan Andrew Moray berjaya menguasai bahagian utara sementara Wallace pula di bahagian barat Scotland.

Risau melihat pemberontakan yang semakin hebat, Raja Edward I mengarahkan tenteranya untuk memperkuatkan pertahanan mereka di satu-satunya kawasan yang masih mereka takluki di utara Scotland, iaitu Dundee. Menyedari tindakan itu, Wallace dan Moray bersetuju untuk bekerjasama bagi memasang perangkap menewaskan tentera England.

Peperangan Jambatan Stirling

battle of stirling bridge william wallace

Sebelum tiba ke Dundee, pasukan tentera England yang diketuai oleh Earl of Surrey perlu melalui sebuah jambatan yang dinamakan jambatan Stirling bagi melintasi sebuah sungai yang agak luas kelebarannya.

Pasukan Wallace dan Moray menunggu di seberang sungai, bersembunyi lalu membiarkan saja pasukan tentera England yang beratur menunggu giliran masing-masing untuk melintas, sebelum menyerang mereka yang sudah melintasi jambatan itu. Kegagalan mememcah masuk barisan pertahanan yang dibuat pasukan Wallace dan Moray menyebabkan tentera England terpaksa berpatah balik cuba mencari jalan lain bagi kembali ke Dundee.

Walaupun mencapai kejayaan besar menewaskan angkatan perang yang jauh lebih besar daripada mereka, malangnya Andrew Moray terkorban dalam peperangan itu. Wallace kini kehilangan seorang sahabat yang juga komander perang yang bersama-sama memikul beban mengembalikan maruah orang Scotland.

Kejayaan menghalang kemaraan tentera England menyebabkan jasa Wallace mula dihargai golongan istana. Raja Balliol menganugerahkan William Wallace gelaran 'Penjaga Scotland' atas kemahiran beliau mengemudi peperangan kemerdekaan Scotland. Bagaimanapun, Raja Edward I yang dimalukan mula mengatur kembali strategi bagi merampas kembali Scotland - dengan Sir William Wallace, Guardian of Scotland menjadi sasaran terbaru yang perlu ditumpaskan.

Pencerobohan kedua England

pertempuran falkirk william wallace

Tidak berpuas hati, Raja Edward I mengarahkan puluhan ribu askar England kembali bagi merampas semula kawasan yang telah mereka kuasai.

Bagaimanapun, untuk menguruskan jumlah tentera sebesar itu memerlukan perancangan yang teliti dan itu tidak dapat dilakukan dengan baik oleh England. Walaupun kembali berjaya merampas beberapa kawasan di Scotland, kehabisan bahan makanan menyebabkan tentera England mula keletihan.

Mereka bernasib baik kerana maklumat siasatan membongkarkan tempat persembunyian Wallace di Falkirk dan ini memberikan peluang besar pada tentera England. Mengetahui maklumat itu, seluruh tentera England di Scotland diarahkan ke Falkirk pada Julai 1928.

Pada mulanya Wallace dan pasukannya dapat bertahan dalam perang yang dinamakan Peperangan Falkirk , namun lama kelamaan jumlah pasukan Wallace yang lebih kecil serta taktik lebih cekap yang digunakan England di bawah arahan Raja Edward sendiri, menyebabkan kekalahan teruk pada pasukan Wallace.

Wallace terpaksa melarikan diri ke Perancis bagi mendapatkan bantuan Raja Perancis ketika itu, Raja Philip IV untuk membantu Scotland menentang England. Bagaimanapun usahanya tidak berhasil. Terus diburu, William Wallace menyembunyikan diri selama beberapa tahun sebelum ditemui semula di Scotland pada tahun 1304, cuba memulakan kembali pemberontakan di kawasan Happrew dan Earnside.

Pada ketika itu, seluruh negara Scotland sudah menerima hakikat penentangan terhadap England hanya akan merugikan mereka. Tinggal William Wallace dan pasukannya sendirian cuba membangkitkan semangat rakyat Scotland untuk berusaha membebaskan diri dari penjajahan England.

Kematian penuh seksa William Wallace

william wallace perjuangan kemerdekaan scotland

Hampir setahun Wallace berjaya melakukan serangan berskala kecil sambil mengelakkan tangkapan tentera England ketika itu. Semuanya berakhir setelah salah seorang jeneral perang Scotland bernama John de Menteith yang setia kepada England, berjaya menangkap Wallace dan menyerahkannya kepada Raja Edward I.

Pada 23 Ogos 1305, Wallace dibawa ke London untuk dibicarakan atas tuduhan melakukan pemberontakan ke atas pemerintahan serta mengkhianati kedudukan pemerintah. Wallace menafikan semua tuduhan yang didakwa ke atasnya dengan mengatakan Raja Scotland yang sah ketika itu adalah Raja Balliol dan bukannya Raja Edward I.

Dia tetap didapati bersalah lalu dijatuhkan hukuman bunuh yang amat luar biasa caranya. Wallace dibogelkan lalu diseret dengan kuda di sepanjang bandar sebelum digantung dengan tangga. Lehernya diikat dan digantung tanpa dibiarkan hingga dia mati, lalu perutnya dikelar dengan organ dalamannya dikeluarkan dari badan. William dapat melihat sendiri isi perutnya dikeluarkan sebelum dia meninggal dunia akibat dipancung.

Kepalanya dipacakkan pada sebatang kayu untuk menjadi tontonan orang ramai sementara tubuhnya pula dibahagikan kepada empat bahagian lalu dipisahkan dan dipamerkan di empat tempat berbeza.

England akhirnya menguasai Scotland tanpa ada tentangan

plak peringatan william wallace

Kerajaan Scotland akhirnya menyerah kepada England dengan membenarkan Parlimen England menentukan sistem pemerintahan di Scotland, sementara sepupu kepada Raja Edward I, Earl of Richmond dilantik sebagai penasihat England di Scotland bagi memudahkan pengurusan kerajaan.

Selepas pelbagai peristiwa dan perbincangan berlaku, atas restu Raja Edward I - Robert the Bruce naik memegang takhta Scotland dengan gelaran Robert I tujuh bulan selepas kematian William Wallace, pada 25 Mac 1306. Sehingga kini Scotland masih lagi belum benar-benar merdeka, seperti apa yang diperjuangkan dengan sepenuh hati oleh William Wallace, yang tidak jelas siapa dia sebenarnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)