Setiap tahun, tersangat banyak kes rompakan yang dilaporkan berlaku di seluruh dunia, namun kebanyakannya adalah pada skala yang kecil dan tidak cukup untuk melenyapkan bekalan wang tunai untuk seluruh bandar.

Cuba bayangkan dalam masa beberapa minit sahaja sekumpulan perompak berjaya merompak hampir kesemua wang tunai yang ada di Shah Alam, kerana kes seperti ini pernah berlaku tetapi bukanlah di Malaysia tetapi di Stockholm, Sweden.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak jelas siapa sebenarnya yang terlibat dalam rompakan ini tetapi apa yang diketahui adalah ia berlaku lebih 10 tahun yang lalu iaitu pada 23 September 2009.

Pada jam 5.15 petang ketika bandar Stockholm sedang menikmati hari yang tenang, dengan tiba-tiba sebuah helikopter penuh dengan penyamun mendarat di atas bangunan perkhidmatan wang tunai G4S. 

bangunan wang tunai g4s 2 654

(Bangunan G4S di Stockholm, Sweden)

Sebab mengapa bangunan ini menjadi sasaran adalah kerana ia merupakan tempat simpanan wang tunai bagi mesin ATM di bandar Stockholm.

Malah, aksi rompakan ini dirakam oleh kamera CCTV. 

Tiga hingga empat orang daripada mereka kemudiannya keluar daripada helikopter dan memecahkan bumbung kaca menggunakan tukul lalu menggunakan tali untuk turun.

Bom bersaiz kecil yang diletupkan di dalam bangunan tersebut menyebabkan pintu keselamatan terbuka.

Beberapa daripada perompak itu kemudiannya menggunakan mesin gergaji untuk membuka peti simpanan wang tunai sebelum mengisi beg-beg yang dibawa dengan wang tersebut. 

Tanpa membuang masa, mereka memanjat semula bangunan tersebut melalui bumbung kaca dan 20 minit selepas mereka mendarat di atas bumbung bangunan itu, para perompak ini berjaya melarikan diri menggunakan helikopter yang sama.

Helikopter yang digunakan mereka adalah helikopter yang dicuri.

Tindakan ini sudah semestinya akan membuatkan anda menerima lima bintang dalam permainan video GTA, namun para perompak sudah tahu dan telah bersedia lebih awal.

Jadi, sebelum melakukan rompakan tersebut, para perompak ini terlebih dahulu menaburkan paku caltrop di atas kesemua jalan yang bersambung dengan bangunan tersebut yang menghalang kereta polis untuk mendekati mereka.

Namun persoalannya adalah mengapa polis tidak menggunakan helikopter mereka untuk memintas helikopter perompak ketika mereka melarikan diri?

paku ditaburkan di atas jalan untuk mengelakkan polis sampai ke bangunan tersebut

(Paku caltrop yang ditaburkan di atas jalan yang berhubung dengan bangunan G4S)

Jawapannya adalah perompak tersebut berada selangkah di hadapan pihak polis.

Mereka mencuri helikopter yang digunakan dalam rompakan itu dari pangkalan polis dan kemudiannya meletakkan beg kosong di pintu masuk tempat simpanan helikopter yang tertera perkataan "bom".

Pihak polis percaya bahawa itu adalah bom membuatkan mereka tidak dapat menggunakan helikopter untuk memintas atau mengejar para perompak tesebut.

Kerajaan Sweden tidak pernah mengesahkan secara terbuka berapa jumlah wang yang dirompak tetapi spekulasi menganggarkan sekitar $5 juta (RM20 juta) hingga $100 juta (RM400 juta).

2 jam 40 minit selepas rompakan tersebut, helikopter tersebut ditemui dalam hutan 30 kilometer dari utara Stockholm.

kisah rompakan wang tunai stockholm 683

2 hari kemudian, salah seorang daripada perompak tersebut dikesan cuba melarikan diri ke Republik Dominika di mana dia ditangkap oleh polis tempatan dan diekstradisi dengan serta-merta untuk dibicarakan.

Seorang lagi yang cuba untuk melarikan ke Kepulauan Canary tetapi berjaya dipintas oleh pasukan bersenjata khas Sweden.

Dalam tempoh setahun, seramai 7 orang berjaya ditangkap dan dijatuhkan hukuman oleh kerajaan Sweden atas peranan mereka dalam rompakan tersebut.

Walaupun tiada siapa yang cedera secara fizikal, namun mereka telah merompak wang tunai dalam jumlah yang tersangat banyak menggunakan keganasan.

Juruterbang helikopter dan salah seorang yang memasuki peti besi juga dijatuhkan 7 tahun penjara.

2 individu yang membantu para perompak tersebut mendapatkan bahan letupan dan kad SIM masing-masing menerima hukuman 5 tahun penjara.

Seorang warga Serbia yang didakwa sebagai dalam rompakan ini menerima hukuman 3 tahun penjara, seorang lelaki yang memalsukan alibinya ke atas helikopter yang hilang menerima 2 tahun penjara dan lelaki yang bertanggungjawab mengupah juruterbang hanya dijatuhkan setahun penjara.

Walaupun sebahagian besar daripada mereka telah diberkas, namun terdapat sekurang-kurangnya 2 lagi perompak yang berjaya melarikan diri.

helikopter yang digunakan dalam rompakan wang tunai stockholm 2 162

(Helikopter yang digunakan dalam rompakan wang tunai Stockholm)

Dan sebahagian besar daripada wang yang dirompak itu tidak berjaya ditemui, bermakna wang tersebut berada dalam tangan 2 perompak yang bebas.

Kini, kesemua penjenayah ini telah menjalani hukuman penjara dan dibebaskan kembali ke masyarakat.

Jadi, jika 2 orang lagi daripada mereka yang tidak berjaya dikesan ini menyimpan wang dan menunggu yang lain untuk dibebaskan, adakah berbaloi untuk meringkuk dalam penjara untuk tempoh 5 hingga 10 tahun dan kemudiannya dibebaskan sebagai jutawan?

Walaupun jumlah rompakan tidak diketahui, namun kerajaan Sweden mengumumkan amaran bahawa mesin ATM di Stockholm kemungkinan kehabisan wang tunai untuk beberapa hari selepas rompakan tersebut.

Jadi, kita boleh anggarkan bahawa wang yang dirompak tersebut adalah cukup banyak untuk membuatkan keseluruhan bandar besar di Eropah ketiadaan wang tunai untuk beberapa hari.

Rujukan:

1. The Local

2. QZ

3. Life Lore

4. Guardian




Hakcipta iluminasi.com (2017)