Bagi seorang pemimpin tertinggi seperti Perdana Menteri, Presiden, Sultan atau Raja, mereka sentiasa mempunyai risiko untuk diserang oleh pelbagai individu atas banyak sebab. Ia adalah alasan mengapa mereka perlukan pengawal dan pengiring bagi menjamin keselamatan nyawa mereka.
Namun, terdapat beberapa pemimpin tertinggi dalam sejarah yang sering menjadi sasaran bunuh berbanding yang lain. Salah seorangnya ialah Raja Zog I dari Albania. Dia telah menerima sekitar 55 percubaan bunuh ke atas dirinya sepanjang hidup. Berikut adalah kisah mengenai Raja Albania ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Kehidupan awal Raja Zog I
Raja Zog I dilahirkan dengan nama Ahmet Muhtar Zogolli pada tahun 1895. Ketika muda, dia telah membantu negaranya dalam peperangan untuk memperolehi kemerdekaan daripada Empayar Uthmaniyyah.
Sebagai seorang kolonel dalam pasukan revolusioner, dia telah mengumpulkan sebanyak 2,000 orang tentera untuk menentang tentera Turki di daerah pendalaman di Albania. Ketika itu, Ahmet Muhtar hanya berusia 17 tahun.
Kisah tentang keberaniannya telah tersebar di kalangan tentera dan rakyat Albania dan kolonel muda itu mula terlibat dalam kancah politik tempatan. Ahmet Muhtar Zogolli kemudiannya menukar namanya kepada nama keluarganya iaitu Zogu agar mudah diingati dan kedengaran seperti nama asli orang Albania.
Negara yang sering dijajah
Setelah pemergian Turki Uthmaniyyah, pasukan tentera Austria dan Hungary membuat percubaan menjajag negara itu tetapi terpaksa meninggalkannya kerana perlu mempertahankan negara masing-masing dalam peperangan yang berlaku.
Tentera Albania semasa WW1
Selepas berakhirnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1918, Albania tidak mempunyai kerajaan yang memerintah. Tidak lama selepas itu, Itali telah menjajah Albania tetapi kerajaan sementara yang dilaksanakan mereka tidak menggembirakan rakyat negara itu.
Albania adalah sebuah negara kecil yang terletak di antara beberapa negara kuasa perang dunia. Selama beratus-ratus tahun sebelumnya, kaum etnik di Albania tidak pernah hidup dalam sebuah negara yang merdeka.
Disebabkan dijajah terlalu lama, revolusi yang dibawa Zog menjadi kebangkitan rakyat Albania. Pada awal tahun 1920-an, Zog telah dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan baharu dan kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri Albania pada tahun 1922.
Permulaan cubaan bunuh
Tidak lama selepas Zog dilantik sebagai Perdana Menteri Albania, percubaan bunuh ke atas dirinya bermula. Masalah cubaan bunuh ini sebenarnya berpunca daripada bagaimana cara raja itu menangani lawan politiknya.
Bagi sesiapa yang tidak bersetuju dengan dasar yang dibentangkan Perdana Menteri Albania ini, mereka biasanya akan menghilang tanpa jejak atau dibuang daerah. Mungkin disebabkan ini, perdana menteri itu mempunyai ramai musuh dalam selimut.
Pada 23 Februari 1924, perdana menteri itu telah ditembak ketika memasuki parlimen Albania. Seorang lelaki bernama Beqir Valteri telah menembak pemimpin itu sebanyak dua kali iaitu di tangan dan pinggul.
Ketika keadaan dalam parlimen menjadi kecoh, Zog dengan tenang duduk di mejanya untuk meneruskan kerja. Dia juga berkata bahawa perkara seperti ini adalah dijangka dan perlulah ditangani dengan tenang. Dengan kata lain, dia tidak mahu berita cubaan bunuh ke atasnya tersebar ke pengetahuan rakyat.
Namun, berita cubaan bunuh itu tetap tersebar dan menjadi kebangkitan golongan pembangkang. Pihak tentera yang setia kepada Perdana Menteri Albania itu kemudiannya telah membunuh Avni Rustemi, seorang ahli politik terkenal yang disyaki terlibat dengan plot pembunuhan itu.
Pembunuhan berprofil tinggi itu menunjukkan bahawa kerajaan pusat menggunakan kekerasan untuk kekal berkuasa, bukannya sokongan rakyat. Kumpulan pembangkang yang semakin kuat mula memaksa perdana menteri itu dan para pengikutnya untuk berundur dan meninggalkan Albania.
Raja Albania - Raja Zog I
Namun, ia bukanlah pengakhiran kerjaya politik bagi pemimpin itu. Zog dan para pengikutnya kembali berkuasa apabila berjaya melakukan rampasan kuasa pada awal tahun 1925.
Raja Zog I dan Benito Mussolini
Parlimen kemudian memutuskan untuk melantiknya semula sebagai Perdana Menteri Albania untuk tempoh tujuh tahun. Pada tahun 1928, Zog telah melantik dirinya sendiri menjadi Raja Albania dengan sokongan daripada Itali.
Dia juga menerima banyak pinjaman wang daripada Perdana Menteri Itali, Benito Mussolini, bernilai berpuluh-puluh juta untuk membina dua istana mewah. Semasa upacara pertabalannya, Raja Zog I hanya menjemput sebilangan kecil sahaja rakyatnya kerana takut ada sebarang cubaan bunuh lain ke atas dirinya.
Kehidupan Raja Zog I dipenuhi dengan segala kemewahan tetapi rakyatnya hidup dalam keadaan miskin. Pada awal tahun 1930-an, Raja Zog I menjadi taksub dengan keselamatan peribadinya sendiri. Para pengawalnya mestilah dari suku kaum Mati yang sudah mempunyai pertalian sejarah lebih 400 tahun bersama dengan keturunan keluarga Zog.
Raja paranoia
Pada awal tahun 1931, Raja Zog I telah bertolak ke Vienna, Austria, untuk mendapatkan rawatan perubatan. Namun, salah satu daripada "sesi perubatan" raja itu adalah menyaksikan persembahan di salah sebuah panggung opera terkenal dunia di Vienna.
Selepas habis menyaksikan persembahan, dua orang bekas anggota tentera Albania telah menembak Raja Zog I dan para pengikutnya yang baru sahaja memasuki kereta. Kedua-dua penembak itu gagal menyasarkan Raja Zog I tetapi berjaya membunuh salah seorang penasihat rapatnya dan mencederakan yang lain.
Kedua-dua penembak itu melarikan diri tetapi berjaya ditahan oleh polis Austria. Banyak lagi cubaan bunuh yang dilakukan ke atas Raja Zog I tetapi semuanya gagal menamatkan riwayat pemimpin itu.
Raja Zog I juga jarang membuat penampilan awam selepas itu. Dia hanya mempercayai ibunya sahaja dalam penyediaan makanan kerana takut akan diracuni. Raja yang paranoid ini juga hanya dikelilingi oleh anggota keluarga dan pengawal-pengawalnya yang paling setia sahaja.
Mati dalam buangan
Selain cubaan bunuh yang banyak, pinjaman wang yang banyak daripada Mussolini juga mengundang padah kepada Raja Albania itu. Raja Zog I cuba sedaya upaya mengelak daripada diganggu pihak Itali. Akhirnya, Itali telah menyerang Albania pada tahun 1939 dan menjajah semula negara itu.
Ini menyebabkan Raja Zog I terpaksa melarikan diri ke Britain dengan wang sebanyak USD 2 juta bersamanya. Dia menggunakan wang yang banyak itu untuk kehidupannya di sana, termasuk membeli ladang seluas 150 ekar di Long Island.
Raja Zog I akhirnya meninggal dunia akibat tua ketika dalam buangan di Paris pada tahun 1961. Dia berjaya selamat daripada 55 cubaan bunuh yang dilakukan ke atas dirinya.
Rujukan:
1. Kisah Raja Zog I dari Albania