Pada bulan Ogos 2018, saham Apple melonjak dan mencipta sejarah dengan nilai USD 1 trilion sekali gus menjadi syarikat AS pertama yang pernah mencapai kejayaan seumpama itu.

Buat seketika, nilai saham Apple telah mencecah $207.05 (RM847.04) setiap unit bagi membawa syarikat tersebut ke paras USD 1 trilion di pasaran saham sebelum menyusut kembali selepas itu.

Ketika ini, mungkin ramai yang memasang angan-angan untuk memiliki saham dalam syarikat teknologi gergasi tersebut. "Tak banyak pun tak apa, 10% cukuplah," fikir anda. Namun, tahukah anda, seorang lelaki pernah mempunyai pegangan saham tersebut dalam Apple? Akan tetapi, ia hanya dibiarkan berlalu pergi begitu sahaja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain Steve Jobs dan Steve Wozniak, nama lelaki ini mungkin kurang dikenali. Walau bagaimanapun, Ronald Wayne merupakan salah seorang daripada tiga pengasas Apple yang asal.

Wayne mengenali Jobs ketika bekerja bersama di Atari dan Jobs kemudian memohon nasihatnya setelah mengalami sedikit 'perbezaan falsafah yang biasa' dengan Wozniak.

Salah satu episod "The Filthy Rich Guide" menjelaskan bahawa Wayne menyertai Wozniak dan Jobs yang hanya berusia awal 20-an ketika itu untuk memberikan "pengawasan orang dewasa" dengan memantau kejuruteraan mekanikal serta memastikan kesemua dokumentasi lengkap. Sebagai balasan, dia menerima 10% pegangan saham dalam syarikat.

Pada 1 April 1976, Wayne duduk di hadapan mesin taipnya dan mula menyiapkan satu perjanjian dengan menggariskan tanggungjawab setiap orang. Ini juga bermakna dengan rasminya mereka memulakan peranan masing-masing dalam penubuhan Apple.

Wayne juga telah melakarkan logo pertama syarikat yang akhirnya digunakan tidak sampai setahun sebelum digantikan dengan simbol buah epal yang kita lebih kenali kini.

logo pertama apple rekaan ron wayne

Lama-kelamaan, Wayne mula risau jika mana-mana hutang syarikat perlu ditanggung olehnya secara peribadi. Semasa permulaan perniagaan, Jobs telah membuat satu pinjaman sebanyak USD15,000 untuk membeli kelengkapan bagi memenuhi kontrak pertama Apple dengan sebuah kedai komputer di Bay Area iaitu The Byte Shop.

Menurut Wayne, The Byte Shop telah membuat pesanan sebanyak 100 buah komputer namun kedai itu dikenali kerana sering lewat serta gagal melunaskan bayaran. Wayne berasa khuatir jika Apple tidak mampu mendapatkan wang mereka kembali. 

Pada masa itu, Jobs dan Wozniak masih setahun jagung serta tidak mempunyai sebarang harta manakala Wayne yang sudah berusia 40 tahun pula sudah memiliki beberapa aset termasuklah sebuah rumah. Oleh itu, dia takut jika bebanan kewangan syarikat akan turut memberi kesan kepada harta peribadinya sekiranya perniagaan merudum.

Selepas 12 hari bersama Jobs dan Wozniak, Wayne mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Apple dan menjual kembali pegangan saham 10% tersebut kepada kedua-dua pengasas muda itu dengan harga USD800.

ron wayne pengasas ketiga apple yang menarik diri lebih awal

Keputusan Wayne meninggalkan Apple itu merupakan suatu kerugian yang amat besar. Kini, pegangan 10% saham yang sama dalam Apple mempunyai nilai lebih daripada USD95 bilion. Jika Wayne masih bersama Apple, dia mungkin menjadi salah seorang manusia terkaya di dunia.

Namun begitu, Wayne tidak pernah kesal dengan keputusan yang dibuat kerana dia tahu bahawa dia tidak akan mampu berjaya di Apple. Dia pernah memberitahu Business Insider, jika dia kekal berada di syarikat itu, dia mungkin akan berada di jabatan dokumentasi menyemak kertas secara rutin sahaja selama 20 tahun. Ini disebabkan selama bekerja dengan Jobs dan Wozniak, Wayne sering berasa janggal seolah-olah seorang kerdil yang duduk di antara bayang-bayang gergasi intelektual.

lelongan christie apple

Christie melelong komputer Apple-1 asli yang dimiliki Ted Perry.

Pada tahun 2012, melalui satu hantaran Facebook, Wayne menjelaskan sendiri mengapa dia memilih untuk meninggalkan Apple begitu awal. Menurutnya, dia bukan tidak percayakan konsep dan produk Apple namun merasakan persekitaran kerja di situ tidak sesuai dengan dirinya untuk jangka panjang.

Jika dia tahu lebih awal bahawa Apple akan berjaya menghasilkan jutawan seramai 300 orang dalam masa hanya empat tahun, dia mungkin akan kekal sepanjang empat tahun tersebut namun akan tetap meninggalkan syarikat itu juga. Wozniak dan Jobs kedua-duanya ingin mengubah dunia dengan cara masing-masing, begitu juga dengan Wayne.

perjanjian apple antara wayne wozniak dan jobs 465

Sumber foto: TIME

Walaupun tidak pernah menyesal meninggalkan Apple, Wayne masih berdukacita kerana telah menjual kontrak asalnya bersama Apple yang disimpan dari tahun 1976 itu selama bertahun-tahun. Sekitar awal 90-an, dia menjumpai semula perjanjian tersebut dalam sebuah kabinet yang telah dipenuhi debu dan sawang. Fikirnya, untuk apa lagi disimpan dokumen sedemikian. Lalu, dia pun menjualnya pada harga USD500.

Menurut "The Filthy Rich Guide," kontraknya itu telah berjaya dilelongkan pada tahun 2011 dengan harga USD1.59 juta. Itulah antara penyesalan terbesar yang tidak akan dapat dilupakan bagi Wayne sepanjang hayatnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)