Apple Iphone merupakan salah satu jenama telefon pintar paling popular yang ada di negara kita. Berjalan ke mana-mana, nampak agak mudah untuk kita menjumpai pemilik Iphone tak kiralah versi mana sekalipun. Adakah anda salah seorang pemilik produk revolusi Apple ini? Tahukah anda mengapa Iphone sangat dipandang tinggi oleh penggemar teknologi? Sebab sebenar produk dari Apple itu menjadi kegilaan ramai adalah kerana Iphone adalah contoh bagaimana peranti telefon dapat dimajukan selepas zaman millenia di mana teknologi terhadap telefon lebih kepada bagaimana hendak menterjemahkan komputer ke dalam bentuk telefon.
BESARKAN TEKS A- A+
Apa yang berjaya ditonjolkan oleh Apple adalah bagaimana mereka menukar perspektif yang telah sekian lama dipegang di mana komputer pula dapat digantikan dengan sebuah peranti telefon mudah alih. Dengan rekaan paparan antara muka yang menarik (pada ketika itu) Iphone telah merevolusikan bagaimana pengguna mengakses internet dalam bentuk mudah alih.
Mari kita belajar sedikit sebanyak sejarah Apple Iphone supaya kita mengetahui serba sedikit kenapa Iphone menjadi trendsetter sekian lama semenjak pengenalannya.
1. Motorola ROKR
Jangan terkejut pula jika sejarah Iphone bermula daripada peranti telefon berjenama Motorola. ROKR diasaskan daripada telefon model E398 milik Motorola di mana ROKR dibangunkan dengan kerjasama Apple yang memerlukan satu peranti khas untuk orang ramai melanggan pakej Itunes mereka. ROKR dibangunkan untuk tujuan itu tetapi tidak mendapat sambutan yang diharapkan.
Belajar daripada kesilapan, Apple memilih untuk mengeluarkan sendiri telefon mereka.
2. Iphone - Iphone 3G - Iphone 3GS
Pada tahun 2007, Steve Jobs membuat pengumuman yang bakal menukar trend dunia dan bagaimana dunia melihat telefon. Jika sebelum itu pelbagai percubaan Microsoft dan Palm cuba mengecilkan komputer ke dalam bentuk mudah alih, Iphone membuktikan perkara yang sebaliknya perlu dilakukan. Iphone mempunyai rekaan antara muka yang berbeza dan capaian ke atas internet pula diakses dengan laman web yang mempunyai rekaan sesuai untuk bentuk mobil. Ramai menyangka Iphone adalah Ipod + Telefon tetapi lama kelamaan Iphone yang menggantikan Ipod sebagai alat main muzik kerana ia datang lengkap satu pakej.
Iphone 3G pula diperkenalkan dengan menambahbaik keupayaan capaian internet kepada kelajuan 3G dan juga keupayaan menggunakan teknologi GPS. Buat pertama kalinya menerusi Iphone 3G, Apple memperkenalkan kepada pengguna mereka App Store dimana pengguna dapat memuat turun aplikasi untuk dipasang dalam Iphone mereka. 3GS pula menambahbaik kepada versi 3G dengan meningkatkan kelajuan 3G kepada kelajuan HSDPA, menambah baik kualiti kamera dan video serta yang paling penting, membolehkan penggunaan copy and paste dalam sistem.
3. Iphone 4 dan 4S
Iphone 4 keluar pada tahun 2010 ketika pengguna menantikan sesuatu yang unik pada produk Apple itu. Walau bagaimanapun, Iphone 4 terpalit dengan kontroversi apabila ramai pengguna mendapati mereka perlu memegang telefon mereka pada cara yang kurang selesa kerana signal telefon akan terputus jika tangan mereka melindungi bahagian yang diperlukan untuk antenna berfungsi.
Iphone 4S yang keluar pada 2011 pula memperkenalkan teknologi Siri kepada orang ramai yang menjadi pembantu dalam bentuk digital. Walaupun begitu, kematian Steve Jobs sehari selepas Iphone 4S dilancarkan menjadi tragedi yang membayangi model tersebut.
4. Iphone 5
Diperkenalkan pada tahun 2011, Iphone 5 hadir dengan pelbagai penambahbaikan. Begitupun, segala-gala seolah ditenggelami kontroversi seperti isu Apple Maps yang separa siap, kes pecah badan telefon dan kualiti kamera yang bermasalah. Walaupun begitu, model Iphone 5 adalah mula-mula sekali memperkenalkan port penghubung Lightning, sesuatu yang dipersoalkan kerana standard peranti lebih banyak menggunakan kabel USB dan juga pengenalan kepada kad sim bersaiz nano yang memerlukan telco di negara kita menukar banyak kad sim pengguna. Pengguna juga mendapati ada masalah berkaitan tempat letak penyambung earphone yang diletakkan di bahagian bawah buat pertama kalinya.
Iphone 5S pula diperkenalkan serentak dengan Iphone 5C pada tahun 2013. Iphone 5S pada ketika itu adalah telefon pertama yang menggunakan teknologi prosesor 64 bit, mempunyai sensor yang membantu mengira pergerakan dan inovasi yang masih menjadi buruan ramai ketika ini, pengimbas cap jari pada butang home untuk memudahkan proses keluar masuk pengguna ke telefon.
5. Iphone 6,6 Plus, 6S dan 6S Plus
Pada tahun 2014, selepas sekian lama mengelakkan diri, Apple akhirnya mula mengalah dan memasukkan teknologi NFC atau Near Field Communications yang sudah menjadi de fact standard kebanyakan pengeluar peranti lain untuk memudahkan urusan perbankan mobil. Serentak dengan itu Apple memperkenalkan Apple Pay untuk urusan-urusan pembayaran pengguna. Buat pertama kalinya kamera video Iphone mampu menangkap imej video bersaiz 1080p dan mampu melakukan video gerak perlahan yang lancar. Apple juga memperkenalkan model 6 Plus untuk memenuhi permintaan mereka yang mahukan peranti bersaiz phablet.
6S dan 6S Plus pula tidak mengalami banyak perubahan. Inovasi terbaru yang didatangkan hanya dalam bentuk Touch 3D di mana pengguna mempunyai pilihan untuk membezakan sensitiviti sentuhan skrin untuk berinteraksi dengan telefon mereka.
6. Iphone SE
Pada Mac 2016, Apple memperkenalkan Iphone SE di mana Apple cuba memenuhi kehendak mereka yang mahukan Iphone bersaiz kecil tetapi mempunyai kuasa pemprosesan yang terbaru. Dicipta sebagai pengganti kepada Iphone 5S yang masih dijual pada ketika itu, Iphone SE mendapat pujian banyak pihak kerana melawan trend peranti telefon pintar yang semakin ke arah membesarkan saiz skrin dan saiz telefon mereka.
7. Iphone 7
Tidak banyak inovasi dapat diperkenalkan oleh Apple dalam versi Iphone 7. Tetapi akhirnya Iphone 7 menjadi versi pertama mendapat pengiktirafan mampu menyelam di dalam air dalam waktu yang ditetapkan. Versi ke 7 ini juga dilengkapi dengan skrin yang lebih baik dan penambahbaikan ke atas kamera yang menggunakan sistem dua lensa untuk mengambil gambar dan video. Home button untuk Iphone 7 pula kini mampu memberikan taptic feedback atau getaran pada jari.
Walau demikian, versi ke 7 ini dilanda kontroversi apabila Apple mengambil keputusan membuang port headphone 3.5mm yang sekian lama ada dan digantikan dengan penyambung Bluetooth secara tanpa wayar sahaja untuk mendengar lagu. Keputusan ini membuatkan ramai pihak menjadikan versi ini bahan jenaka apatah lagi selepas Apple mengumumkan pelancaran earphone Airpod yang harganya mencecah ratusan ringgit.
Begitulah sedikit sebanyak kisah berkenaan sejarah Iphone. Walaupun anda bukan seorang fanboy atau fangirl Apple, kita tak dapat nafikan Iphone adalah pemangkin kepada apa saja jenis peranti telefon pintar yang mungkin anda sedang pegang sekarang. Cuma, apabila berbicara berkenaan produk Apple, satu sahaja persoalan akan terlintas; berbaloikah anda membayar berkali ganda?
Nyatakan pandangan anda dalam ruangan komen di bawah.