Kita jarang mendengar tentang kisah orang-orang yang menjalani kehidupan menyendiri dan jauh daripada dunia luar. Namun, apabila cerita-cerita sebegini dilaporkan, ramai yang terpesona dan berminat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Bagi kebanyakan orang, konsep kehidupan sedemikan adalah jauh daripada kehidupan normal seorang manusia. Akan tetapi, begitulah keadaan mengenai seorang rahib yang memilih untuk hidup bersendirian di atas sebuah batu gergasi di Georgia.
BESARKAN TEKS A- A+
Di wilayah Imereti, barat Georgia, terletaknya Katskhi iaitu sebuah perkampungan kecil yang menjadi rumah kepada Tiang Katskhi. Tiang Katskhi adalah gelaran kepada sebuah batu kapur semula jadi yang besar dan menegak setinggi 40 meter di udara.
Di atas batu kapur ini terletaknya sebuah gereja dan hanya boleh diakses dengan menaiki tangga keluli yang tidak stabil. Pada zaman dahulu, Tiang Katskhi yang terletak kira-kira 10 km dari bandar perlombongan Chiatura ini dianggap wakil kepada tuhan kesuburan.
Apabila agama Kristian tiba di Georgia pada abad ke-4, batu kapur ini tidak lagi dianggap sebagai wakil kepada tuhan pagan. Sebuah gereja mula-mula dibina di atas batu ini antara abad ke-6 dan ke-8.
Ia digunakan oleh "Stylites", iaitu sekelompok ahli agama Kristian yang memilih untuk mengikuti Saint Simeon Stylites the Elder yang menghabiskan kehidupan bersendirian di atas tiang supaya menjadi lebih dekat secara rohani kepada tuhan.
Stylites
Tiang Katskhi digunakan oleh Stylites sekurang-kurangnya pada abad ke-9 selama beberapa waktu sehinggalah pencerobohan Georgia oleh Turki Uthmaniyyah pada abad ke-15.
Setelah ditinggalkan selama lebih 500 tahun, batu kapur itu diterokai semula pada tahun 1944 oleh seorang pendaki Georgia bernama Alexander Japaridze. Ketika sampai di puncak, Japaridze menemui tengkorak manusia dan gereja usang yang sudah sekian lama ditinggalkan.
Japaridze juga menemui beberapa struktur lain termasuk ruang wain bawah tanah dan beberapa bilik batu. Gereja lama itu dibina untuk menghormati Maximus the Confessor, seorang biarawan Kristian yang terkenal. Apabila penggalian dilakukan, mereka menjumpai lapan bekas besar yang dikenali sebagai kvevris yang digunakan untuk menyimpan wain tradisional Georgia.
Maxime Qavtaradze
Pada tahun 1995, tradisi Stylite ini dihidupkan semula oleh seorang paderi bernama Maxime Qavtaradze. Dia yang mengangkat sumpah menjadi paderi pada tahun 1993 sememangnya ingin hidup sebagai seorang Stylite sejak kecil lagi. Dua tahun kemudian dia berpindah ke Tiang Katskhi.
Setelah menghabiskan satu musim sejuk di sebuah gua di bawah Tiang Katskhi, Qavtaradze menerima wang dari seorang "rakan dari Tbilisi" untuk membina gereja baru di atasnya. Gereja Ortodoks tempatan juga telah memberi kebenaran untuk Qavtaradze meneruskan hasratnya itu.
Misi Qavtaradze berjalan dengan mudah apabila dia juga menerima sokongan daripada orang ramai. Semakin banyak orang datang ke Katskhi untuk mendermakan wang atau bahan binaan gereja. Penduduk tempatan juga bekerja secara sukarela membina gereja untuknya.
Penduduk tempatan memanjat Tiang Katskhi
Dalam satu temubual pada 2013, Qavtaradze memberitahu bahawa keputusan untuk hidup di Tiang Katskhi adalah perubahan yang ketara berlaku dalam hidupnya. Selepas dibebaskan dari penjara atas tuduhan berkaitan dadah, dia merasakan cara terbaik untuk membersihkan diri dan lebih dekat dengan tuhan adalah dengan bermeditasi di situ.
Ketenangan hidup secara berasingan di sini membuatkan Qavtaradze dapat merasakan kehadiran tuhan tanpa sebarang gangguan. Dia akan turun dari Tiang Katskhi secara berkala untuk menyertai upacara ibadat bersama paderi lain yang tinggal di bahagian bawah batu kapur itu. Pendakiannya mengambil masa selama 20 minit.
Qavtaradze bersama tengkoran dan tulang sami terdahulu berusia 500 tahun
Pihak biara juga menyokong usaha Qavtaradze dan menghantar makanan dan bekalan lain melalui pengangkut. Qavtaradze tidak menyesal menjalani kehidupannya sedemikian. Walaupun pendakian tangga setinggi 40 meter itu memberikan cabaran hebat baginya yang berusia separuh abad, dia tetap akan meneruskannya sehingga tubuhnya menyerah.
Terdapat juga penganut Kristian lain mengunjungi dan memanjat tangga untuk ke gerejanya bagi mendekatkan diri mereka dengan tuhan tetapi Qavtaradze melarang daripada wanita untuk mengunjungi tempat itu.
1. Huff Post
2. Daily Mail