Joseph Stalin yang dilahirkan sebagai Ioseb Dzhugashvili (dalam bahasa Georgia), adalah salah seorang diktator yang paling digeruni pada abad ke-20 kerana menyebabkan kematian berjuta-juta rakyat Kesatuan Soviet.

Nasib malang ini tidak hanya menimpa rakyat-rakyatnya sahaja tetapi juga keluarganya sendiri. Kisah tragis ketiga-tiga anaknya yang sah adalah contoh betapa porak-perandanya keluarga itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Yakov Dzhugashvili - Anak pertama Stalin

Yakov Dzhugashvili adalah anak sulung Stalin dengan isteri pertamanya, Kato Svanidze dan mempunyai nama belakang asal yang sama dengan bapanya. Menurut majalah Foreign Policy, Stalin sangat mengagumi isteri pertamanya tetapi wanita itu telah meninggal dunia kerana tifus (sejenis demam) ketika Yakov masih bayi. Selepas itu Stalin tidak begitu mengendahkan tentang anak sulungnya itu.

yakov dzhugashvili

Yakov Dzhugashvili

Ketika Yakov cuba membunuh diri disebabkan putus cinta, niatnya itu tidak berjaya dan hanya menyebabkan dirinya cedera. Stalin seperti tidak menghiraukan kejadian itu dan memberikan komen "Nak tembak dengan betul pun dia gagal."

Tidak lama kemudian, Yakov telah berkahwin dengan seorang penari berbangsa Yahudi bernama Yulia Meltzer. Pada awalnya, ia menimbulkan kemarahan Stalin yang diketahui seorang tegas tentang polisi anti-Yahudinya. Stalin menganggap perkahwinan itu sengaja diadakan untuk membuatkannya marah. Namun, akhirnya Stalin menerima juga menantunya itu.

Apabila Perang Dunia Kedua bermula, Yakov telah ditugaskan sebagai leftenan artileri dan diperintahkan oleh bapanya untuk pergi berperang. Tidak sampai sebulan, Yakov telah ditangkap oleh tentera Jerman. Penahanan anak sulung Stalin itu digunakan untuk menyebarkan propaganda anti-Soviet.

Namun, ada beberapa bukti yang menunjukkan bahawa Yakov sebenarnya menyerah diri secara sukarela kepada tentera Jerman. Ketika Yukov dipenjara, isterinya Yulia pula diainaya dan mendapat layanan buruk. Perkara begitu sering berlaku kepada keluarga tentera yang ditahan musuh pada era Kesatuan Soviet.

yakov dzhugashvili ditahan nazi

Yukov ditahan tentera Nazi

Ini kerana Stalin pernah berkata bahawa sesiapa yang ditangkap musuh bukanlah tawanan tetapi pengkhianat negara. Oleh itu keluarga mereka diperlakukan sesuka hati. Anak-anaknya Yulia juga telah diambil daripadanya dan dia telah dipaksa bekerja buruh paksa selama dua tahun.

Apabila Kesatuan Soviet berjaya menangkap anak saudara Hitler, pemimpin Nazi itu ingin menukar anak saudaranya dengan Yakov. Akan tetapi, Stalin tidak mempedulikan anaknya sendiri dan enggan menukar seorang leftenan dengan marshal lapangan kerana pangkat tawanannya jauh lebih tinggi.

Pada tahun 1943, Yakov telah meninggal dunia di penjara Jerman pada usia 36 tahun. Secara rasminya dia dilaporkan mati ketika cuba untuk meloloskan diri tetapi ada yang mengatakan dia membunuh diri dengan sukarela memegang pagar elektrik penjara. Ia mungkin reaksi Yakov terhadap salah satu kekejaman bapanya yang mengarahkan pembunuhan beramai-ramai di Katyn.

Vasily Dzhugashvili - Anak kedua Stalin

vasily dzhugashvili

Vasily Dzhugashvili dan Joseph Stalin

Vasily Dzhugashvili adalah anak lelaki kedua Stalin bersama isteri keduanya Nadezhda Alliluyeva. Walaupun dia tidak dibenci oleh bapanya, Vasily juga melalui pelbagai nasib malang. Ibunya membunuh diri ketika Vasily berumur 11 tahun dan Stalin pernah menyatakan anaknya itu adalah seorang budak yang manja, tidak berbakat, ganas dan tidak jujur.

Walaupun tidak cemerlang dalam pelajaran, Vasily berjaya masuk ke sekolah penerbangan menggunakan kedudukan bapanya ketika berusia 17 tahun. Ketika itu juga Vasily dikenali sebagai seorang kaki botol dan gemar berfoya-foya dengan wanita.

Vasily telah menukar namanya kepada Vasily Stalin dan telah dinaikkan pangkat kepada Mejar Jeneral. Namun, dia tidaklah begitu popular kerana kenaikan pangkatnya bukanlah berdasarkan kebolehan atau hasil usahanya sendiri. Dia kekal menjadi seorang pemabuk.

vasily stalin

Vasily Stalin

Apabila bapanya meninggal dunia, pemimpin-pemimpin Kesatuan Soviet yang seterusnya seperti Nikita Khrushchev dan Georgy Malenkov menganggap Vasily adalah ancaman kerana warisannya.

Selepas itu Vasily menghabiskan sepanjang hayatnya keluar dan masuk penjara atas pelbagai kesalahan. Dia akhirnya dibebaskan dan dibuang ke Kazan kerana keadaan kesihatannya yang teruk. Beberapa hari sebelum ulang tahun ke-41 pada tahun 1962, Vasily telah meninggal dunia kesan daripada alkohol.

Svetlana Alliluyeva - Anak perempuan bongsu Stalin

svetlana alliluyeva

Satu-satunya anak perempuan dan anak bongsu Stalin adalah Svetlana Alliluyeva. Stalin menyayangi Svetlana dan memangilnya "si pipit kecil". Svatlana adalah seorang selebriti kanak-kanak di Kesatuan Soviet.

Dia hanya berusia enam tahun ketika ibunya yang juga ibu Vasily membunuh diri. Dia tidak mengetahui ibunya membunuh diri sehinggalah meningkat remaja kerana sering diberitahu ibunya mati disebabkan barah usus.

Anak perempuan Stalin ini dilahirkan sebagai Svetlana Stalina tetapi telah dia telah mengambil nama belakang ibunya. Beberapa sumber mengatakan bahawa Stalin mengongkong Svetlana dengan ketat.

Apabila Stalin mengetahui bahawa kekasih pertama anak perempuannya itu adalah seorang pembikin filem berbangsa Yahudi berusia 36 tahun iaitu Aleksei Kapler, Stalin menentang dan dia telah menghantar lelaki itu ke kem buruh di Siberia selama 10 tahun.

svetlana alliluyeva 2

Ketika belajar di Moscow University, Svetlana dipaksa oleh bapanya untuk mengambil jurusan sejarah dan politik walaupun gadis itu sebenarnya berminat dalam sastera dan penulisan.

Svetlana memilih untuk berkahwin dengan rakan universitinya yang juga seorang berbangsa Yahudi. Apabila Svetlana memberitahu bapanya mengenai perkara itu, Stalin telah menampar anaknya itu dan enggan bertemu dengannya lagi. Pasangan itu akhirnya bercerai pada tahun 1947 dan dikurniakan seorang anak lelaki.

Perkahwinan kedua Svetlana telah diaturkan dengan Yuri Zhdanov, anak kepada pegawai kanan Stalin iaitu Andrei Zhdanov. Mereka berkahwin pada tahun 1949 dan telah dikurnaikan seorang bayi perempuan setahun kemudian iaitu Yekaterina. Perkahwinannya dengan Yuri juga berakhir tidak lama selepas itu.

Setelah Stalin meninggal dunia pada tahun 1953, Svetlana tidak lagi memiliki banyak keistimewaan seperti sebelumnya. Ini kerana Kesatuan Soviet ingin menjauhkan diri daripada sejarah kekejaman pemerintahan Stalin.

svetlana alliluyeva 3

Pada tahun 1962, Svetlana telah berkahwin pula dengan Ivan Svanidze, anak saudara kepada isteri pertama Stalin. Ia merupakan perkahwinan yang singkat kerana mereka bercerai setahun selepas itu.

Pada tahun 1963, Svetlana telah bertemu dengan Kunwar Brajesh Singh, seorang Komunis dari keluarga Kalakankar Rajput Zamindar yang melawat Moscow. Mereka telah jatuh cinta tetapi dihalang untuk berkahwin oleh pegawai-pegawai Kesatuan Soviet yang lain.

Apabila Singh meninggal dunia akibat batuk kering pada tahun 1967, pihak kerajaan Kesatuan Soviet membenarkan Svetlana membawa abu mayatnya pulang ke India untuk disempurnakan dalam Sungai Gangga.

Ketika berada di India, Svetlana telah pergi ke Kedutaan Amerika di sana untuk berpaling tadah. Duta Amerika Syarikat iaitu Chester Bowles telah menawarkan Svetlana suaka politik jika dia bersetuju berbuat demikian. Svetlana bersetuju.

svetlana alliluyeva di amerika

Svetlana di Amerika Syarikat

Kerajaan India takut menerima tindak balas Kesatuan Soviet telah menghantar Svetlana ke Rome. Dia kemudian pergi ke Geneva, Switzerland, di mana dia memohon untuk mendapatkan visa ke Amerika.

Pada tahun 1970, dia berkahwin pula dengan seorang arkitek Amerika bernama William Wesley Peter dan menukar namanya kepada Lana Peters. Dia dikurniakan seorang anak perempuan, Olga. Perkahwinan itu hanya bertahan selama tiga tahun sahaja.

Dia kemudian berpindah ke beberapa tempat di Amerika hinggalah ke England. Pada tahun 1984, dia telah kembali ke tanah airnya namun tidak lama dan berpindah balik semula ke England dua tahun kemudian untuk menghabiskan sisa hidupnya.

svetlana alliluyeva 4

Svetlana Alliluyeva atau Lana Peters meninggal dunia pada tahun 1991 akibat kanser kolon di Wisconsin, England ketika berusia 85 tahun. Walaupun wanita itu hidup lebih lama berbanding kedua-dua abangnya, tetapi dia tidak bahagia dan sering sengsara.

Walaupun pengaruh dan kuasa Stalin begitu besar, namun dia tidak dapat menolong kehidupan anak-anaknya yang tragis. Malah, Stalin mungkin adalah punca kepada nasib malang yang menimpa anak-anaknya itu.

Rujukan:

1. RBTH

2. The Epoch Times

3. The Vintage News

4. Listverse




Hakcipta iluminasi.com (2017)