Dalam satu persidangan Parti Komunis Kesatuan Soviet pada tahun 1937, ribuan para hadirin memberikan satu tepukan yang sangat gemuruh. Setiap orang di dalam dewan itu seolah-olah berlumba antara satu sama lain untuk melihat siapa yang paling cepat berdiri dan memberi tepukan.
Tepukan gemuruh itu ditujukan kepada diktator Joseph Stalin yang baru sahaja selesai memberi ucapan. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu tepukan biasa seperti yang anda bayangkan.
BESARKAN TEKS A- A+
Tepukan gemuruh itu mungkin merupakan tepukan beramai-ramai paling lama dalam sejarah. Semua hadirin dilihat seperti tidak mahu menjadi orang pertama yang berhenti bertepuk.
Persoalannya, siapakah yang berani melakukannya dahulu. Disebabkan tiada seorangpun yang berani, maka tepukan itu berterusan seolah-olah tiada hentinya.
Hormat atau takut?
Anda mungkin tertanya-tanya mengapa perlu begitu takut untuk berhenti bertepuk tangan walaupun kepada seorang pemimpin? Untuk memahami perkara ini, anda perlu mengenali Joseph Stalin terlebih dahulu.
Joseph Stalin adalah seorang diktator yang memerintah Kesatuan Soviet dari 1927 sehingga kematiannya pada 1953. Ketika berkuasa, Joseph Stalin dikenali sebagai seorang pemerintah yang sangat kejam.
Demi menjadikan Kesatuan Soviet sebagai negara industri maju, Stalin memperkenalkan pelbagai polisi kejam. Dia takut jika Kesatuan Soviet tidak dimodenkan, maka Komunisme akan gagal dan dihancurkan oleh pesaing.
Joseph Stalin
Puluhan juta rakyat terkorban dalam pelan memajukan Kesatuan Soviet. Stalin mengerah rakyatnya supaya bekerja seperti robot. Dia turut memperkenalkan sistem Penjara Gulag di mana tahanan akan dipaksa menjadi buruh percuma sehingga mati.
Rejimnya telah merampas semua ladang persendirian sehingga jutaan penduduk luar bandar mati kebuluran. Hasil pertanian akan dikawal selia sepenuhnya oleh kerajaan.
Mereka yang mempunyai kedudukan juga tidak dijamin selamat apabila Stalin melaksanakan kempen "Pembersihan Besar" di mana para cendiakawan, kakitangan kerajaan dan tentera yang menolak komunisme ditahan.
Menurut sejarawan, Roy Aleksandrovich Medvedev, dianggarkan sekitar satu juta tahanan politik dihukum mati antara tahun 1937-1938 sahaja.
Takut menjadi yang pertama
Maka, tidak hairanlah mengapa para hadirin persidangan Parti Komunis Kesatuan Soviet 1937 tidak berhenti memberikan tepukan. Mereka mempunyai alasan kukuh untuk tidak berbuat demikian.
Seorang pemenang Hadiah Nobel, Aleksandr Solzhenitsyn, menulis di dalam bukunya mengenai suasana sebenar di dalam dewan persidangan itu.
Solzhenitsyn berkata, para hadirin memberikan tepukan yang kuat dan pantas. Ia berlarutan selama enam, tujuh hingga lapan minit tetapi seolah-olah tidak akan berhenti.
Contoh salah satu ucapan Stalin
Bagi hadirin yang duduk di bahagian belakang dewan yang penuh sesak itu, mereka sedikit menipu dengan menepuk lebih perlahan dan kurang kerana tidak begitu kelihatan.
Menurut Solzhenitsyn lagi, ada yang rebah kerana keletihan dan terpaksa diusung keluar dari dewan. Hadirin lain terus memberikan tepukan melepasi minit ke-9 dan ke-10 sambil memandang sesama sendiri.
Akhirnya, tepukan panjang itu berhenti pada minit ke-11. Seorang pengarah kilang kertas akhirnya membuat keputusan untuk berhenti bertepuk dan duduk.
Selepas melihat pengarah kilang itu menjadi orang pertama, para hadirin lain mengikuti jejak langkahnya dengan segera.
Mimpi ngeri menjadi kenyataan
Perasaan takut para hadirin pada rejim Stalin itu terbukti benar. Pada malam yang sama, pengarah kilang kertas itu ditangkap dan dihantar ke penjara selama 10 tahun.
Tahanan dalam Penjara Gulag
Pihak berkuasa memberikan beberapa alasan mengapa dia ditahan tetapi ketika disoal siasat, pengarah kilang kertas itu diberitahu bahawa "Jangan menjadi orang pertama yang berhenti bertepuk tangan dan duduk."
Solzhenitsyn sendiri pernah menjadi mangsa Stalin. Dia dihantar ke kem buruh Gulag selama lapan tahun kerana mengkritik Stalin dalam surat kepada rakannya.
Salah satu matlamat Penjara Gulag adalah untuk "mencuci otak" tahanan supaya menjadi seorang Komunis yang taat. Namun, apabila Solzhenitsyn dibebaskan dia menjadi seorang penganut Kristian (kebanyakan Komunis adalah Atheis).
Di dalam bukunya berjudul Gulag Archipelago, Solzhenitsyn memberitahu bagaimana dia memeluk Kristian. Ketika dirawat di hospital penjara, seorang doktor duduk di sisi katilnya sambil menceritakan bagaimana dia menjadi pengikut Kristian.
Pada malam yang sama, doktor itu telah dipukul sehingga mati kerana rahsianya sebagai penganut Kristian terbongkar dan dia tetap dengan kepercayaannya.
Berani melawan kuasa besar
Solzhenitsyn tidak pernah melupakan doktor itu dan terus mengabdikan hidupnya sebagai penganut Kristian yang taat. Dia berjanji untuk mendedahkan kebenaran tentang apa yang berlaku di Kesatuan Soviet.
Buku-buku yang ditulisnya menjadi antara buku paling berpengaruh pada abad ke-20 dan sedikit sebanyak membantu menjatuhkan kerajaan Komunis Kesatuan Soviet.
Aleksandr Solzhenitsyn
Salah satu bukunya bertajuk "Pokok Oak dan Anak Lembu" adalah inspirasi dari kisah rakyat Rusia. Kisah rakyat itu menceritakan tentang seekor anak lembu menanduk sebatang pokok oak yang besar dan gagah. Kerana tidak berputus asa menanduknya setiap hari, anak lembu akhirnya berjaya menumbangkan pokok oak.
Menurut Solzhenitsyn, pokok oak itu umpama Kesatuan Soviet yang gah. Anak lembu pula adalah dirinya dan mereka yang berani melawan kuasa besar termasuklah pengarah kilang kertas yang menjadi orang pertama berhenti memberikan tepukan palsu kepada diktator kejam.