Bagi kebanyakan tentera, sekiranya kehilangan sebelah mata dan juga sebelah tangan sudah cukup untuk membuatkan mereka bersara. Akan tetapi tidak bagi Tentera British kelahiran Belgium iaitu Sir Adrian Carton de Wiart. Terlibat dalam 4 perperangan, dia telah mengalami 11 kecederaan serius termasuk ditembak di muka, kepala, tangan, perut, kaki dan banyak lagi.
Jika itu belum lagi mencukupi, Carton de Wiart juga pernah terselamat beberapa nahas pesawat, beberapa kali meloloskan diri dari kem tahanan Itali dan juga patah tulang belakangnya. Walaupun mengalami pelbagai kecederaan, dia tetap berdedikasi terhadap tugas ketenteraannya.
BESARKAN TEKS A- A+
Kerjaya awal sebagai tentera
Carton de Wiart sewaktu muda
Dia telah berkahwin dengan seorang wanita bangsawan Austria dan mempunyai dua orang anak perempuan namun tidak pernah menyebut tentang mereka di dalam biografinya. Sebaliknya, peringatannya dikhaskan semata-mata untuk pengalaman perangnya. Biografinya yang berjudul Happy Odyssey, menjelaskan Adrian Carton de Wiart sememangnya hidup untuk berperang.
Di dalam biografinya lagi, dia menceritakan pengalamannya ketika Perang Boer Kedua yang berlaku antara Britan dan dua negara Boer iaitu Afrika dan Afrika Selatan pada tahun 1899. Pada saat itu dia mengetahui bahawa darah berperang mengalir dalam tubuhnya. Jika pihak British tidak memilihnya, dia akan menawarkan diri untuk berperang bagi pihak Boer.
Pada waktu itu dia masih lagi seorang remaja namun Adrian Carton de Wiart sememangnya seorang yang sangat berani. Dia dilahirkan pada tahun 1880 dalam keluarga bangsawan. Ada khabar angin mengatakan bapa sebenarnya adalah Leopold II yang merupakan Raja Belgium.
Pengalaman Carton de Wiart berhadapan dengan kematian bermula selepas dia meninggalkan Universiti Oxford untuk menyertai Tentera British pada tahun 1899. Dia memalsukan nama dan umurnya bagi melayakkan diri dan telah dihantar ke Afrika Selatan untuk menyertai Perang Boer Kedua. Di sana, dia telah ditembak di perut dan pangkal paha dan dihantar pulang untuk menjalani rawatan di England.
Pada tahun 1901, dia telah kembali ke Afrika Selatan untuk bertugas. Kali ini dia menggunakan identiti sebenarnya dan berkhidmat sebagai pegawai bertauliah sehingga perang berakhir pada 1902.
Pada 1907, dia telah diberi kerakyatan British dan untuk beberapa tahun, dia menjalani hidup sebagai seorang bangsawan, memburu, berkahwin dan memulakan keluarga.
Kehilangan sebelah mata sebagai satu rahmat
Carton de Wiart memakai penutup mata
Kemudian pada tahun 1914, Perang Dunia Pertama meletus dan Carton de Wiart telah kembali berkhidmat. Kempen pertamanya adalah untuk menghapuskan pemberontakan yang berlaku di Somaliland. Di sana dia telah berperang menentang tentera Somali yang diketuai oleh Mohammed Abdullah Hassan atau lebih dikenali sebagai "Mad Mullah" oleh tentera British.
Di sebalik kejayaan tentera British dalam menyerang kubu Somali, namun nasib Carton de Wiart tidaklah begitu baik kerana dia ditembak dua kali pada bahagian muka, menyebabkan dia kehilangan mata kiri dan sebahagian telinga kirinya.
Walaupun begitu, dia telah dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Cemerlang dan juga sebiji mata palsu yang diperbuat daripada gelas. Akan tetapi selepas seketika menggunakan mata palsu itu, dia berasa tidak selesa dan membuangnya keluar dari tingkap teksi dan mula memakai penutup mata.
Salah seorang rakan yang bertempur bersamanya di Somaliland berkata, Carton de Wiart menganggap kehilangan mata di Somaliland sebagai satu rahmat apabila dipanggil pulang dan berkhidmat di Eropah, di mana dia percaya aksi peperangan sebenar berlaku.
Pada awal tahun 1915, ketika Pertempuran Kedua Ypres, tangan kiri Carton de Wiart telah setelah dibom oleh altileri Jerman. Di dalam biografinya, dia telah mencabut dua jarinya sendiri selepas doktor di medan perang tidak dapat mahu memotongnya. Selepas pertempuran itu barulah dia menjalani pembedahan yang lebih teratur.
Carton de Wrait yang seolah-olah tidak langsung kelihatan terjejas, terus bertempur di Pertempuran Somme, di mana pasukannya melihat lelaki berani itu menarik pin dari bom menggunakan giginya dan melemparkan bom itu ke dalam kawasan musuh.
Tidak mengejar glamor
Dia meneruskan kecermelangannya di medan pertempuran semasa menghadapi serangan di kampung La Boisselle, Perancis pada tahun 1916. Ketika itu ketiga-tiga komandan unit daripada Batalion ke-8 Rejimen Gloucestershire telah terbunuh. Carton de Wiart telah mengambil alih tugas membimbing ketiga-tiga unit itu dan berjaya menahan musuh daripada terus mara.
Kerana keberaniannya, tentera berusia 36 tahun itu telah dianugerahkan dengan pingat Victoria Cross. Namun, dia tidak menyatakan penghargaan itu di dalam biografinya. Dia berkata bahawa pertempuran itu dimenangi oleh semua ahli pasukan Batalion ke-8 dan semua anggota telah bertempur sama sepertinya juga.
Sama seperti di La Boissele, keupayaan Carton de Wiart untuk memimpin di barisan hadapan dalam beberapa pertempuran besar ketika Perang Dunia Pertama menyumbang kepada kecederaan kritikal yang dialaminya. Sebagai contoh ketika bertempur di Devil's Wood, dia telah ditembak di belakang kepalanya, sesuatu yang boleh dianggap sebagai penamat nyawa tetapi dia berjaya selamat.
Tiga lagi pertempuran yang berikutnya, dia ditembak di buku lali, pinggul dan kaki tetapi masih lagi dapat bergerak walaupun dengan bersusah payah. Luka peluru yang terakhirnya adalah berhampiran telinganya.
Di mana sahaja ada perperangan, Adrian Carton de Wiart pasti akan menyertainya. Antara tahun 1919 hingga 1921, dia telah membimbing tentera British dalam misi membantu Poland yang terlibat dengan beberapa konflik antara Bolshevik, Ukrain, Lithuania dan Czech Republik dalam perebutan wilayah.
Pada tahun 1919, dia telah terselamat dua nahas pesawat di mana salah satunya telah mengakibatkan dia ditahan tentera Lithuania buat sementara waktu. Pada Ogos 1920 pula, sekumpulan tentera Ukrain membuat percubaan untuk merampas keretapi pemantaunya. Dia telah melawan mereka dengan sebelah tangan menggunakan sepucuk revolver. Semasa pertempuran, dia telah terjatuh ke landasan keretapi namun terus mengejar dan melompat naik keretapi yang bergerak itu sebelum menewaskan semua musuh.
Keamanan sementara sebelum Perang Dunia Kedua
Carton de Wiart semasa di Poland
Semasa ditempatkan di Poland, Carton de Wiart telah bercadang untuk terus tinggal di sana selepas Poland memenangi perperangan pada tahun 1921. dia telah bersara dengan pangkat kehormatan jeneral pada tahun 1923 dan menghabiskan masa 15 tahun berlatih menembak di kediamannya di Poland.
Malangnya, keamanan yang dikecapi Poland hanyalah seketika apabila dihancurkan oleh serangan dari Nazi Jerman dan Kesatuan Soviet ketika awal Perang Dunia Kedua. Carton de Wiart terpaksa meninggalkan Poland dan kembali ke Britain dan masuk semula dalam perkhidmatan tentera.
Dia telah dihanter ke Norway untuk mengetuai tentera Anglo-Perancis pada 1940 tetapi kedatangannya disambut dengan bencana apabila pesawatnya terpaksa melakukan pendaratan cemas akibat ditembak pesawat tempur Jerman.
Setelah terhempas, dia tidak keluar menaiki bot kecemasan kerana akan menjadi sasaran mudah sebaliknya menunggu dalam bangkai pesawat sehingga musuh kehabisan peluru dan berlalu pergi. Kemudian sebuah kapal tentera laut dihantar untuk menyelamatkannya dan dia berjaya dibawa ke pantai dengan selamat.
Namun, Carton de Wiart tidak bertahan lama di Norway. Pasukan tenteranya kekurangan bekalan dan musuh pula terlalu ramai. Akan tetapi, di bawah pimpinannya, pasukannya berjaya merentasi kawasan pergunungan dan sampai ke Trondheim Fjord walaupun dihujani oleh bom pesawat, ditembak oleh tentera laut dan mengelak diburu tentera ski Jerman. Dia berjaya membawa pasukannya keluar menaiki feri dan Carton de Wiart sendiri tiba di Britain semasa harijadinya yang ke-60.
Menjadi tahanan perang
Pada April 1941, Carton de Wiart telah dilantik oleh Perdana menteri Winston Churchill untuk mengetuai misi British di Yugoslavia namun dia tidak berjaya sampai.
Dalam perjalanan ke Yugoslavia melalui Malta, pesawat Wellington yang dinaikinya tiba-tiba menjunam jatuh ke dalam lautan Mediterranean. Dia dan anak kapal pesawat cuba untuk berlindung di bahagian sayap sehinggalah pesawat itu mula tenggelam. Carton de Wiart yang berusia 61 tahun ketika itu membantu rakannya yang tercedera untuk berenang ke tepi pantai.
Sebaik sahaja tiba di pantai, mereka ditangkap pula oleh tentera Itali. Carton de Wiart telah dihantar ke Istana Vincigliata di luar Florence. Dia adalah salah seorang daripada 13 pegawai atasan yang dijadikan tawanan di sana.
Para tahanan ketika itu cuba untuk melarikan diri. Bahkan, mereka dengan nekadnya menggali terowong sepanjang 60 kaki melalui kawasan berbatu selama 7 bulan di samping dikerahkan untuk menjadi buruh kasar sehinggalah berjaya lolos pada Mac 1943.
Mereka berpakaian seperti para petani Itali tetapi seorang yang kudung tangannya dan memakai penutup mata sudah semestinya mencurigakan. Setelah 8 hari, Carton de Wiart telah kembali menjadi tahanan. Namun begitu, ia belum berakhir bagi lelaki berjiwa kental ini.
Pihak Itali bercadang mereka ingin bertukar pihak dan membawa Carton de Wiart ke Rome untuk membantu berunding dengan pihak tentera Bersekutu.
Pegawai Khas di China
Carton de Wiart di Persidagan Kaherah
Pada 28 Ogos 1943, dia telah kembali ke Britain tetapi hanya untuk sebulan sahaja sebelum diberikan tugasan baru. Kali ini sebagai wakil khas Churchill untuk bertemu pemimpin China iaitu Chiang Kai-Shek. Sebelum ke China, Carton de Wiart telah mengiringi Chiang Kai-Shek ke Persidangan Kaherah, di mana Tentera Bersekutu membincangkan masa depan Jepun selepas Perang.
Selepas persidangan itu, dia pergi ke China dan kekal tinggal di sana selama hampir 4 tahun. Di sana dia telah mengalami satu lagi pengalaman nahas pesawat dan terselamat.
Akhirnya pada tahun 1947, dia telah bersara. Walaupun begitu, dia kemudiannya mengalami satu lagi kecederaan serius. Dalam perjalanan pulang ke England, dia telah berhenti di Yangon, Burma dan telah terjatuh dari tangga. Akibat daripada itu tulang belakangnya patah dan dia pengsan. Semasa menerima rawatan, doktor telah mengeluarkan sejumlah serpihan tulang dari badannya.
Bergantung kepada perspektif anda, sama ada Adrian Carton de Wiart adalah tentera paling beruntung atau paling malang pernah hidup. Setelah kehidupan tenteranya berakhir, dia telah menerbitkan sebuah biografi dan menghabiskan masa tuanya dengan memancing sebelum meninggal dunia pada tahun 1963 di usia 83 tahun.