Oleh pada 30 Aug 2018 kategori

Sewaktu Nabi Musa AS ditugaskan sebagai seorang rasul untuk menyebarkan agama Allah dan diturunkan suhuf kepadanya (lembaran kitab-kitab kecil) berupa Taurat, baginda juga sentiasa ditemani oleh seorang murid iaitu Yusya' Bin Nun yang juga merupakan seorang nabi.

Setelah Nabi Musa AS wafat, kepimpinan Bani Isra'il telah diserahkan kepada Nabi Yusya' untuk diambil alih. Walaupun nama Yusya Bin Nun ini tidak dinyatakan di dalam Al-Qur'an secara langsung, namun kisahnya sebagai murid atau pembantu kepada Nabi Musa AS disebut oleh Allah SWT di dalam ayat Qur'an yang berikut:

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: "Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun".

[Surah Al-Kahfi Ayat 60]

Nabi Muhammad SAW juga telah menyebut nama Nabi Yusya AS sebagai murid atau pembantu kepada Nabi Musa AS di dalam Sahih Al-Bukhari 3/124 dan juga 55/613.

makan nabi yusya 2

Di bawah pimpinan Nabi Yusya, Bani Isra'il telah berjaya mencapai kemenangan dan kembali ke tanah suci (Baitulmuqaddis). Hal ini tidak terjadi semasa waktu Nabi Musa AS atau Nabi Harun AS. Nabi Muhammad SAW telah memberitahu bayangan mengapa kemenangan ini ditangguh dengan bersabda :

"Tiada seorang pun dari penyembah anak lembu akan memasuki Baitulmuqaddis"

Keturunan Bani Isra'il ketika itu keluar dari Mesir sebagai hamba dan tidak mempunyai kekuatan untuk berperang. Allah menjadikan mereka sebagai pelarian selama 40 tahun sehinggalah semua generasi penyembah berhala itu sudah tiada.

makam nabi yusya 3

Allah berfirman lagi:

"(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tiih) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu".

[Surah Al-Ma'idah ayat 26]

Walaupun Nabi Musa AS adalah seorang utusan yang hebat dan diturunkan kepada Bani Isra'il, baginda berusaha keras membimbing kaumnya tetapi Allah tidak memberikan Nabi Musa AS kemenangan sebaliknya diberikan kepada Nabi Yusya AS.

Di bawah pimpinannya, Nabi Yusya telah menghantar kaum Bani Isra'il untuk menyerang kota Baitulmuqaddis tetapi beliau tidak mementingkan jumlah pasukan yang besar dalam menghadapi musuh.

makam nabi yusya

Nabi Yusya lebih memberi perhatian terhadap kualiti pasukan perangnya. Beliau telah mengasingkan tenteranya dari mereka yang hatinya terikat dengan urusan dunia.

Perperangan yang berlaku itu jatuh pada hari Jumaat. Mereka berperang sehingga hari hampir petang dan belum juga selesai sedangkan Allah melarang berperang pada hari Sabtu.

Rasulullah SAW bersabda:

"Salah seorang Nabi telah berperang. Dia berkata kepada kaumnya, 'Jangan mengikutiku orang yang menikahi wanita sementara dia hendak membina rumah tangga dengannya namun belum sempat, dan tidak juga mereka yang membina rumah tapi belum siap atapnya, dan tidak pula mereka yang membeli kambing atau unta betina bunting sementara dia menunggu kelahirannya.""Lalu Nabi itu menuju ke sebuah perkampungan ketika hampir waktu Asar. Maka dia berkata kepada matahari, "Sesungguhnya kamu diperintahkan dan aku pun diperintahkan. Ya Allah, tahanlah matahari untuk kami." Maka Allah menahan matahari sehingga mereka menang.

[Sahih Muslim 19/4327]

matahari terbenam

Kita ketahui bahawa nabi yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW ialah Yusya Bin Nun seperti hadis yang berikut:

"Matahari tidak pernah berhenti untuk mana-mana manusia sekalipun kecuali Yusya ketika dia menakluki Baitulmuqaddis"

[HS Imam Ahmad]

Setelah berjaya menang, Nabi Yusya AS meminta agar semua harta rampasan perang dikumpulkan untuk dibakar oleh api dari langit. Ini kerana Allah SWT tidak menghalalkan harta rampasan perang bagi umat manapun sebelum Nabi Muhammad SAW.

Harta rampasan perang dikumpulkan, api pun turun dari langit tetapi tidak membakar apa pun. Ini bermakna Allah tidak redha dengan pengorbanan mereka.

rampasan perang

Maka Nabi Yusya AS berkata, "Di antara kalian ada yang mencuri harta rampasan perang." Untuk membongkarnya Nabi Yusya AS menyuruh setiap kabilah mewakilkan satu orang untuk membaiatnya (menyentuhnya).

Jika tangan Nabi Yusya melekat pada wakil kabilah itu, ini bermakna mereka telah mencuri harta rampasan perang itu tadi. Apabila dilakukan hal demikian maka terbongkarlah beberapa kabilah yang mengambil kesempatan.

Mereka akhirnya menyerahkan semula harta yang dicuri termasuk sebongkah emas berbentuk kepala lembu. Akhirnya turun api dari langit dan membakar kesemua harta rampasan perang itu.

[Kitab Sahih al-Qisas an-Nabawiy - Syeikh Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar]

Rujukan:

1. Sunnah Online

2. Muslimah Today

3. Unikversiti




Hakcipta iluminasi.com (2017)