Ketika kecil, kita mungkin pernah membaca buku The Jungle Book hasil tulisan Rudyard Kipling. Buku yang sangat popular ini mengisahkan mengenai seorang kanak-kanak bernama Mowgli yang dibesarkan oleh sekumpulan haiwan.

Sesetengah pihak mendakwa bahawa kisah yang dimuatkan dalam buku tersebut merupakan kisah yang diinspirasikan daripada kisah sebenar di dunia dunia nyata. Walau bagaimanapun, watak "Mowgli" di dunia sebenar cukup tragis.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penemuan kanak-kanak bersama serigala

mowgli dunia sebenar

Pada tahun 1867, sekumpulan pemburu telah berhenti di satu lokasi setelah menyaksikan satu peristiwa aneh dalam kawasan hutan tebal di Bulandshahr yang terletak di utara India. Dengan penuh kehairanan, mereka menyaksikan sekumpulan serigala berkeliaran dan diikuti oleh seorang kanak-kanak berjalan dengan keempat-keempat kakinya.

Tidak lama kemudian, kumpulan serigala itu hilang, dipercayai masuk ke dalam gua yang menjadi tempat tinggal mereka. Kumpulan pemburu kemudiannya menyalakan api di pintu gua untuk menghalau keluar serigala-serigala tersebut. Strategi ini nampaknya berjaya dan apabila serigala-serigala ini keluar, mereka berjaya membunuh kesemuanya.

Kemudian, kumpulan pemburu ini berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak itu kemudiannya diberi nama Dina Sanichar.

Kisah tragis Dina Sanichar

dina sanichar

Dina Sanichar, kanak-kanak yang umurnya dianggarkan sekitar 6 tahun ketika ditemui boleh dianggap sebagai "kanak-kanak liar" yang telah dibesarkan oleh sekumpulan serigala dalam kawasan hutan tebal Bulandshahr, kawasan utara India. 

Negara India sememangnya mempunyai sejarah panjang mengenai kanak-kanak liar seperti Dina Sanichar. Malah, ada kanak-kanak yang dibesarkan oleh harimau kumbang, ayam, anjing dan sebagainya. Bagaimana kanak-kanak ini boleh tinggal bersama haiwan-haiwan ini tidaklah diketahui tetapi besar kemungkinan telah dibuang oleh ibu bapa mereka yang tidak bertanggungjawab.

Dalam kisah-kisah rakyat yang sering dimuatkan dalam buku di seluruh dunia, kanak-kanak liar seperti Dina Sanichar dianggap satu kejaiban. Namun, dalam dunia realiti, kisah kanak-kanak seperti ini begitu tragis dan sering terpinggir. Kisah kembalinya mereka ke dunia manusia seringkali mendapat perhatian ramai pihak buat seketika sebelum nasib mereka kemudiannya dilupakan dan diabaikan.

Setelah Dina Sanichar diselamatkan, dia kemudiannya telah dibaptis dan diberi nama. Perkataan Sanichar merupakan perkataan daripada bahasa Urdu yang membawa maksud hari Sabtu. Nama ini diberi memandangkan dia telah dijumpai oleh kumpulan pemburu tersebut pada hari Sabtu.

Usaha pemulihan

kanak kanak liar india

Setelah diselamatkan, Dina Sanichar diletakkan di bawah jagaan pusat pemulihan. Salah seorang pakar psiklogi kanak-kanak, Wayne Dennis menyatakan beliau menemui beberapa ciri psikologi pelik pada kanak-kanak malang ini.

Laporannya dalam American Journal of Psycology yang diterbitkan pada 1941 bertajuk "The Significance of Feral Man" menyatakan bahawa Dina Sanichar sudah terbiasa memakan benda-benda yang kotor dan dianggap jijik oleh kebanyakan manusia. Selain itu, Dina Sanichar juga hanya mahu makan daging walaupun sudah diajar berpakaian seperti manusia.

Daripada segi pertuturan pula, kanak-kanak malang ini tidak menunjukkan kapasiti untuk bertutur. Dina Sanichar tidaklah bisu tetapi dia hanya mampu membuat runut-runut bunyi seperti haiwan. Seperti juga haiwan, Dina Sanichar tidak sensitif kepada haba dan kesejukan.

Usaha pemulihan keatasnya menjadi sukar memandangkan Dina Sanichar sudah biasa hidup seperti serigala. Uniknya, Dina Sanichar hanya menunjukkan minat untuk berinteraksi dengan seorang lagi kanak-kanak liar yang senasib dengannya. Hubungan kedua orang kanak-kanak ini mungkin wujud akibat perasaan simpati antara mereka yang mengalami nasib yang sama.

Kisah kanak-kanak liar di India

mowgli

Untuk berabad lamanya, sudah wujud kisah hikayat "kanak-kanak serigala" yang tinggal di dalam kawasan hutan tebal. Realitinya, ia bukan sekadar kisah lagenda sebaliknya kisah sebenar menerusi rekod-rekod penemuan kanak-kanak liar seperti Dina Sanichar. Ketika Dina Sanichar ditemui, 4 orang lagi kanak-kanak senasib dengannya ditemui kemudiannya .

Kisah mitos ini telah memberi insprasi kepada banyak penulis dan penyair untuk menghasilkan karya daripada kisah ini. Ini termasuklah Rudyard Kipling, seorang penulis British yang telah tinggal bertahun-tahun lamanya di India. Setelah penemuan Dina Sanichar, beliau telah menulis buku cerita kanak-kanak The Jungle Book yang popular sehingga kini.

Dina Sanichar walaupun diletakkan di pusat pemulihan dan dijaga rapi, gagal untuk hidup seperti manusia normal. Antara perkara yang mampu dilakukannya adalah berjalan tetapi dia menghadapi kesukaran untuk memakai pakaiannya sendiri dan makan dan minum daripada cawan.

Seperti haiwan, Dina Sanichar akan menghidu makanannya sebelum makan dan hanya makan daging mentah. Satu-satunya tabiat buruk manusia yang berjaya dipelajarinya adalah merokok dan dia dikatakan menjadi seorang perook tegar. Dina Sanichar akhirnya meninggal dunia pada tahun 1985 dipercayai akibat penyakit batuk kering.

Kredit:

  1. India Times
  2. Daily Mail
  3. Medium



Hakcipta iluminasi.com (2017)