rihanna artis cantik barbados

Robyn Rihanna Fentry, lebih dikenali dengan nama Rihanna, adalah seorang artis terkenal dunia ketika ini.

Lahir dalam keluarga yang dilanda kemiskinan, Rihanna menjual pakaian bersama ayahnya, yang mengalami masalah ketagihan dadah dan arak di gerai-gerai tepi jalan. Semenjak kecil, Rihanna disyaki menghadapi masalah tumor dalam kepalanya akibat kesakitan kepala yang kerap berlaku. Waktu kecilnya banyak dihabiskan di hospital, dengan menjalani operasi CT Scan untuk mengenalpasti masalah sakit dalam kepalanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

PERTEMUAN DENGAN EVAN ROGERS

rumah tempat rihanna membesar 725

Pada tahun 2002, Rihanna yang pada ketika itu baru 14 tahun usianya, berdepan dengan perpisahan ibu bapanya. Hubungan mereka berdua penuh pertengkaran, sehingga berlaku kekasaran berlaku terhadap ibunya. Rihanna memilih untuk tinggal dengan ibunya dengan ayahnya berpindah keluar.

Bagaimanapun, tahap kesihatannya yang semakin bertambah baik, membolehkan Rihanna mula meluangkan masa dengan mengasah bakat dan menubuhkan satu kumpulan trio dengan dua orang rakan karibnya.

Setahun kemudian, produser muzik berpengaruh bernama Evan Rogers ketika sedang bercuti di negara Barbados, membenarkan Rihanna serta dua rakannya menguji bakat mereka bersamanya. Ketiga-tiga mereka diberikan peluang untuk menguji bakat sebagai satu kumpulan, namun menurut Evan, sejenak saja dia melihat ketiga-tiga mereka masuk, dia hanya terpukau dengan karisma Rihanna.

Walaupun terpesona, Evan masih skeptikal. Pengalamannya kerap menunjukkan yang cantik itulah selalunya yang paling kurang menyerlah dalam nyanyian. Ternyata dia silap besar pada hari itu.

PENERBITAN DEMO DUA LAGU

rihanna di rumah

Menyanyikan lagu kumpulan Destiny's Child "Emotion" dan Mariah Carey "Hero", Evan terpukau dengan bakat Rihanna. Evan menawarkan tawaran menjemput keluarga Rihanna ke Amerika Syarikat bagi merakamkan demo lagu, agar dapat dijadikan promosi mendapatkan kontrak dengan studio rakaman.

Proses itu memakan masa yang agak panjang kerana Rihanna hanya boleh menyertai sesi rakaman studio ketika cuti sekolah. Semuanya berakhir dengan baik dan Rihanna berjaya merakamkan 2 buah lagu untuk dijadikan demo pertama beliau. Hasil rakaman tersebut diedarkan oleh Evan kepada kebanyakan syarikat rakaman yang dia kenali. Salah satunya sampai kepada tangan seorang eksekutif Def Jam Recordings, Jay Brown, penerbit kepada artis-artis besar seperti Kanye West, Ludacris dan Leona Lewis.

Menyedari apa yang sedang dia dengari itu mempunyai potensi yang besar, Jay tidak menunggu lama untuk menyampaikan berita tentang permata yang baru ditemui Evan Rogers di Barbados.

BERTEMU DENGAN JAY Z

rihanna bersama ayahnya

Jay Brown memainkan demo dua lagu Rihanna itu kepada CEO Def Jam yang baru saja dilantik ketika itu, penyanyi rap terkenal Jay Z.

Kagum dengan apa dia gemar, Jay Z masih menyimpan rasa kurang percaya dengan kebolehan Rihanna dan meminta Rihanna datang ke New York, untuk menjalani uji bakat. Jay Z ternyata skeptikal dengan kemampuan Rihanna untuk menyanyikan lagu-lagu yang telah dirakamkan itu secara langsung dan mahu mendengarnya sendiri.

Mendengar permintaan Jay Z, ibu Rihanna tidak menaruh harapan besar kerana dia lebih gemar supaya Rihanna menumpukan masanya pada pelajaran. Rihanna pula bersungguh-sungguh mahukan jalan keluar daripada hidupnya di Barbados, selepas menghadapi beberapa insiden dengan ayahnya. Cita-citanya untuk duduk dalam industri muzik, jauh dari kehidupan lamanya. Rihanna memberanikan diri ke Amerika Syarikat buat kali kedua.

Tiba di New York, Rihanna diberikan uji bakat oleh Jay Z dengan L.A. Reid, mogul muzik terkenal Amerika Syarikat dan pemilik Def Jam Recordings, berada di situ menilainya.

BERMALAM DI DEF JAM RECORDS

rihanna bersama rakannya 577

Menyanyikan lagu dendangan Whitney Houston "For the Love of You" serta dua lagu yang dirakamkan dalam demonya secara langsung, perasaan skeptikal Jay Z hilang dan dia mula menyedari kebolehan sebenar Rihanna.

L.A.Reid yang turut terpesona, mengeluarkan arahan supaya Rihanna tidak dibenarkan keluar dari bangunan di mana mereka berada, selagi kontrak untuk menandatangani Rihanna di bawah Def Jam Recordings belum termeterai. 

Hari itu, Rihanna menghabiskan masanya  di pejabat Jay Z untuk membolehkan peguam-peguam yang terpaksa bekerja lebih masa, menyiapkan kontrak tawaran Def Jam Records kepada Rihanna. Ini dilakukan tergesa-gesa bagi mengelakkan Rihanna dicuri penerbit lain, kerana pada ketika itu Rihanna sudah pun mempunyai beberapa temujanji sesi uji bakat lain, andai Def Jam tidak mengambilnya.

Pada sekitar jam 3 pagi, Rihanna dipelawa menjadi artis rakaman di bawah Def Jam Records dengan kontrak 6 album. Rihanna menerima tawaran tersebut dan menandatanganinya, sekaligus mencorakkan masa depan baru pada hidupnya.

PERMULAAN BARU

rihanna semasa kecil

Selepas bersetuju dengan tawaran Def Jam, Rihanna terpaksa berpindah dari Barbados ke Amerika Syarikat. Dia tinggal buat sementara di rumah Evan Rogers dengan isteri kepada Evan menjadi penjaganya buat sementara. 

Ibunya tinggal di Barbados dengan adiknya sambil Rihanna yang pada ketika itu baru menjejaki 16 tahun, memulakan hidup barunya sebagai artis rakaman. Lagu pertamanya dilancarkan pada Mei 2005 dengan album pertamanya "Music of the Sun" menyusuli tidak lama kemudian, pada Ogos 2005.

5 tahun kemudian, Rihanna berjaya memenangi anugerah berprestij Grammy Awards pertama pada tahun 2008 menerusi lagu 'Umbrella.' Selain itu, dia juga dinobatkan selaku artis wanita terbaik oleh Billboard Music Awards, menjadi pemegang rekod Guinness Book of Record sebagai artis wanita mempunyai lagu no.1 paling banyak dalam satu tahun serta memegang rekod jualan terlaris berbentuk digital pada tahun 2012.

Pada bulan April 2017, laporan media mengatakan nilai kekayaan Rihanna ketika ini berada pada paras $230 juta atau RM955 juta.

HADIAH RUMAH AGAM UNTUK IBU TERSAYANG

rumah baru untuk ibu rihanna di barbados

Walaupun sudah kaya raya dan terkenal di seluruh dunia, Rihanna tidak melupakan asal usul beliau.

Pada 2012, Rihanna menjemput ibunya untuk bersama-sama menyertai rakaman rancangan sensasi Oprah Winfrey di sebuah rumah mewah di Barbados. Ibunya, Monica langsung tidak menyangkakan rumah mewah yang menjadi latar belakang temubual mereka itu, sebenarnya adalah hadiah Rihanna kepada ibunya yang selama ini sabar menghadapi kerenah anak perempuannya.

Salah satu kisah yang kerap disebut berlaku pada tahun 2008, bagaimana Rihanna membantu seorang ibu bernama Lisa Gershowitz Flynn, mangsa penyakit leukimia mendapatkan penderma organ yang diperlukannya. Selepas Rihanna memohon bantuan orang ramai, seorang penderma berumur 32 tahun yang tidak mahu dikenali menghulurkan bantuan dan sudi menjadi penderma. Bagaimanapun, kisah ini berakhir dengan kesedihan selepas Lisa meninggal dunia 3 tahun selepas pembedahan dilakukan pada 1 November 2011.

rihanna terima anugerah harvard

Rihanna juga kerap menyumbang kembali kepada masyarakat melalui penubuhan badan kebajikan yang beliau gelarkan Believe Foundation pada tahun 2006, bagi membantu kanak-kanak yang mengidap sakit terminal. Beliau juga kerap mengadakan konsert bagi mengumpulkan dana untuk bermacam bentuk kebajikan serta menjadi duta kepada kempen LOVECHARITY.

Pada 28 Februari 2017, Rihanna menerima anugerah Humanitarian of the Year Award daripada Harvard Foundation for Intercultural and Race Relations, atas sumbangannya kepada masyarakat.

Begitulah serba sedikit kisah permulaan perjalanan hidup artis terkenal bernama Rihanna yang kini memegang gelaran sebagai artis termuda mempunyai lagu nombor 1 pada carta Billboard serta merekodkan 230 juta jualan album di seluruh dunia. Kehidupan susah dan kemiskinan bukan menjadi penghalang untuk seorang gadis dari Barbados yang nekad untuk mengubah hidup dia dan keluarganya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)