Hotel merupakan satu perniagaan yang menyediakan penginapan berbayar secara jangka pendek. Selain bilik tidur, beberapa kemudahan lain seperti spa, kolam renang, restoran, gimnasium juga turut disediakan bagi membuatkan pengunjung berasa selesa.
Pada zaman dahulu, hotel biasanya hanya dikunjungi oleh golongan bangsawan sahaja. Terdapat banyak hotel-hotel lama yang masih bertahan selepas beratus-ratus tahun ditubuhkan. Salah satu hotel paling tua ini dikatakan tidak pernah berhenti beroperasi sejak ia dibuka. Berikut adalah sejarah dan kisah hotel itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Hotel Nishiyama Onsen Keiunkan
Hotel musim panas Nishiyama Onsen Keiunkan di Jepun adalah hotel tertua di dunia dan telah beroperasi sejak tahun 705 Masihi lagi. Apa yang mengagumkan ialah ia tidak pernah berhenti beroperasi selama lebih daripada 1300 tahun.
Menurut JapanVisitor, para pengunjung dinasihatkan agar menyelidik mengenai kebudayaan kolam air panas di Onsen terlebih dahulu. Ia adalah untuk memahami bagaimana spa hotel yang terkenal itu masih beroperasi di tengah kawasan pergunungan di Jepun sehingga hari ini. Lebih menakjubkan ialah, Hotel Nishiyama Onsen Keiunkan ini adalah milik keluarga yang sama selama 52 generasi.
Salah satu kolam air panas Hotel Nishiyama Onsen Keiunkan
'Onsen' adalah kolam mata air yang dipanaskan oleh batu-batu panas dari dalam perut bumi. Negara Jepun mempunyai ribuan kolam air panas sebegini. Pada masa dahulu, para pahlawan sering datang ke kolam air panas semula jadi ini untuk berehat setelah tamat sesuatu pertempuran. Ia juga bertujuan bagi melahirkan rasa syukur kepada tuhan-tuhan mereka kerana masih hidup dan selamat.
Oleh kerana itu, Onsen mempunyai ikatan yang kuat dengan sejarah dan kepercayaan agama di Jepun. Ini mungkin salah satu sebab mengapa Hotel Nishiyama Onsen Keiunkan masih bertahan. Namun, mengapakah hotel ini tetapi tidak yang lain?
Lokasi stategik di kaki Gunung Fuji
Menurut National Geographic, Hotel Nishiyama Onsen Keiunkan yang merupakan hotel tertua di dunia ini berada pada salah satu laluan purba menuju ke Gunung Fuji, gunung yang menjadi ikon kepada kebudayaan Jepun.
Dalam kepercayaan agama Shinto yang dianuti oleh majoriti rakyat Jepun, Gunung Fuji dianggap sebagai "salah satu kelahiran tuhan ketika bumi dalam keadaan kacau-bilau". Sejak dari dahulu lagi, Gunung Fuji menjadi tempat maharaja Jepun beribadah dan para samurai mengadakan latihan pertempuran.
Para bangsawan Jepun yang kaya akan berkunjung ke Nishiyama Onsen Keiunkan sejak dari tahun 705 Masihi lagi. Hotel itu telah menganjurkan ramai tetamu ternama seperti pahlawan samurai elit dan maharaja. Walaupun bangunan hotel itu telah banyak kali dirobohkan dan dibina semula, lokasi dan pemandangannya tetap sama.
Menurut sejarah, pengasas hotel itu iaitu Fujiwara Mahito adalah anak kepada pembantu peribadi Maharaja Tenji pada kurun ke-7. Maharaja Tanji adalah seorang pahlawan yang hebat dan juga seorang penyair yang terkenal kerana mengenalkan undang-undang dan hukum yang pertama.
Tarikan pelancong sejak zaman Jepun purba
Bilik di Hotel Nishiyama
Mungkin kerana bantuan maharaja, ia merupakan batu loncatan bagi Fujiwara Mahito membina hotel di salah satu tempat terpencil di Jepun ini. Tidak hairanlah jika hotel ini sering dikunjungi oleh beberapa orang maharaja Jepun sejak ia ditubuhkan.
Kolam air panas di Jepun sememangnya digemari oleh tentera untuk melegakan otot yang sakit selepas latihan dan pertempuran ketenteraan. Ia menjadi tempat tumpuan terutamanya pada waktu malam musim sejuk apabila satu-satunya sumber memanaskan badan adalah unggun api.
Laman web hotel itu mendakwa bahawa mata air panas di situ telah mengalir tanpa gangguan sejak sekian lama dan menjadi kegemaran ramai penduduk bandar, komander tentera dan orang bangsawan sebagai tempat yang berehat yang terpencil di kawasan pergunungan Kai.
Tokugawa Ieyasu
Shogun pertama daripada kerajaan Tokugawa iaitu Tokugawa Ieyasu telah melawat hotel ini sebanyak dua kali semasa memerintahan Shogun di Jepun pada tahun 1600 hingga 1868.
Tetamu-tetamu berpengaruh seperti inilah yang memastikan Hotel Nishiyama Onsen Keiunkan terus berkembang menjadi hotel mewah dengan harga yang berpatutan dan bertahan sehingga hari ini.
Hotel itu kini mempunyai empat kolam air panas terbuka dan dua kolam air panas tertutup. Kolam air panas itu kaya dengan sodium, kalsium nitrat dan klorida yang dihasilkan oleh magma di dalam perut bumi. Kerja menaik taraf hotel ini yang terakhir siap pada tahun 1997 tetapi nilai tradisi masih banyak dikekalkan.
Hidangan di hotel ini berdasarkan makanan semula jadi kawasan sekeliling
Tetamu di sini tidur di atas tilam di dalam bilik yang luas kerana kekurangan perabot. Tetamu juga dijamukan dengan "minimalist banquet" bermusim daripada gunung dan sungai. Anda dinasihatkan membuka kasut terlebih dahulu sebelum memasuki bilik tetamu yang disediakan.
Hotel ini tidak menyediakan kemudahan Wi-Fi supaya pengunjung dapat menikmati keindahan alam tanpa gangguan serta mengekalkan keasliannya sebagai sebuah hotel yang klasik. Hotel ini pernah menjadi lokasi beberapa penggambaran filem seperti filem Lost In Translation lakonan Scarlett Johansson.
Rujukan:
1. Daily Mail
2. Gaijin Pot