Selepas pakatan pemerintahan menyerang Iraq pada bulan Mac 2003 dan berjaya menggulingkan kerajaan itu, tentera Amerika Syarikat melancarkan pemburuan besar-besaran mencari sasaran terbesar ketika itu iaitu diktatornya, Saddam Hussein yang melarikan diri dari Baghdad setelah ibu kota itu ditumpaskan.

Sembilan bulan kemudian, dalam sebuah operasi dengan nama kod "Red Dawn," tentera Amerika Syarikat akhirnya telah mengekstrak Saddam yang dijumpai dalam keadaan kusut-masai dan kekeliruan dari sebuah lubang bawah tanah berhampiran kampung halamannya yang terletak di Tikrit.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ketika penangkapan dibuat, dia memiliki sepucuk pistol Glock yang tidak berpeluru (yang kemudiannya disimpan sebagai sebuah trofi oleh Presiden George W. Bush) dan sebuah bagasi yang mengandungi wang tunai sebanyak $750,000.

Menurut para sejarawan ketenteraan AS, pasukan tentera yang dihantar untuk menangkap Saddam terdiri daripada 600 orang askar, 24 buah kereta kebal dan sebuah pasukan helikopter serangan Apache.

Walau bagaimanapun, pasukan tentera yang gah itu sebenarnya boleh menjadi sia-sia jika bukan kerana penyiasatan dan risikan terperinci selama berbulan-bulan mengumpulkan maklumat serta bertanya pelbagai soalan licik.

eric maddox

Eric Maddox

Risikan yang diketuai oleh Eric Maddox iaitu penyoal-siasat tentera di bawah pasukan Delta yang memburu Saddam dikatakan merupakan misi pencarian yang paling berjaya (dan kemenangan terbesar dalam Perang Iraq) kerana tidak ada berlaku sebarang tembakan, tiada serangan dron dan tidak menggunakan kaedah penyiasatan peringkat tinggi. 'Senjata' rahsianya untuk menentukan lokasi Saddam dengan tepat adalah hanya menggunakan empati.

Semasa tahun terakhirnya di University of Oklahoma dan mendaftarkan diri dengan Divisi Udara 82, Eric tidak menjangka akan menjadi mahir dalam seni komunikasi lisan dalam kehidupan ketenteraannya. Dari mula penglibatannya, Eric sentiasa sangat berani dan bekerja keras.

Dia bermula sebagai penerjun sebelum diangkat menjadi Ranger - iaitu lantikan yang sangat digeruni kerana latihannya yang sangat sukar dilepasi. Namun, nama Eric dikenali dalam sejarah dunia bukan kerana aksinya terjun dari udara.

Sebaliknya, sepanjang penyiasatan terhadap lebih 300 orang di Tikrit, dia menggunakan keupayaannya bercakap dan mendengar dengan empati, seterusnya mempengaruhi orang di situ untuk mempercayainya.

eric maddox saddam hussein

Disebabkan peranan utamanya dalam penangkapan Saddam Hussein, Staf Sarjan Eric Maddox telah menerima pelbagai anugerah ketenteraan seperti Legion of Merit, Pingat Pencapaian Risikan Kebangsaan, Anugerah Pengarah Agensi Risikan Pertahanan dan Pingat Bintang Gangsa.

Operasi Red Dawn

Sepanjang berjalannya Perang Iraq, tiada saat yang lebih gembira diraikan melainkan selepas Saddam Hussein berjaya diberkas.

Dari bermulanya serangan ke atas negara itu yang diketuai oleh Amerika Syarikat, ia tidak pernah menjadi pilihan popular masyarakat sedunia. Pelbagai dakwaan yang dibuat oleh pentadbiran Bush dengan mengatakan diktator ganas itu sedang membangunkan senjata pemusnah besar-besaran ternyata hanya merupakan tuduhan tidak berasas.

Tuduhan lain menyatakan Saddam menjalinkan hubungan rapat dengan pengganas al-Qaeda juga tidak mempunyai bukti kukuh. Ramai pengkritik mengesyaki terdapat motif tersembunyi di sebalik serangan ke atas Iraq seperti keinginan menguasai rizab minyak serta jumlah sokongan terhadap Bush yang semakin berkurangan.

Pada 1 Mei 2003, Presiden AS telah mengisytiharkan "misi berjaya" di Iraq. Namun, jelas bahawa serangan terhadap negara itu bukanlah untuk melawan aktiviti keganasan mahupun untuk membantu memulakan benteng kebebasan demokrasi di wilayah terbabit. Selepas pengisytiharan tersebut, Iraq mengalami lebih banyak ketidakstabilan, persengketaan dan keganasan sektarian selama bertahun-tahun lamanya.

Walaupun begitu, ramai rakyat Amerika dan sekutunya meraikan penggulingan rejim Saddam yang dikatakan bertanggungjawab kepada isu pencerobohan Kuwait dan Perang Teluk Parsi pada tahun 1990 dan 1991, cengkaman kepada puak Shia dan Kurdish, serangan gas kimia terhadap rakyatnya serta penindasan kepada mana-mana penentang politik di negara tersebut.

Untuk membantu para tentera bersekutu mengenal pasti para pemimpin tertinggi rejim Saddam yang majoritinya terus menyembunyikan diri selepas pencerobohan, pihak Tentera AS telah mengeluarkan set daun terup istimewa yang memaparkan gambar, nama dan pangkat sasaran bernilai tinggi. Sudah tentulah yang berada pada sat daun sped adalah Saddam Hussein sendiri.

Daripada ahli linguistik Cina kepada penyoal-siasat Timur Tengah

saddam hussien berjambang

Sepanjang latihan dan kerjayanya, Eric Maddox sebenarnya tidak pernah dipersiapkan untuk menjadi pemburu Saddam. Selepas berhenti daripada menjadi askar payung terjun pada tahun 1997, dia memilih untuk menjadi seorang ahli linguistik tentera dengan pengkhususan dalam Bahasa Mandarin. Pada tahun 1999, dia menjadi seorang penyoal-siasat namun kemahirannya dalam bidang risikan dan penyiasatan tidak banyak diasah selain melalui soal siasat yang sekali-sekala dilakukan terhadap warga China yang ditangkap di sempadan AS akibat terlibat dalam rangkaian pemerdagangan manusia.

Namun demikian, serangan 11 September dan perang Amerika terhadap keganasan telah mengubah laluan hidupnya. Selepas dua tahun bersama Agensi Risikan Pertahanan, Eric Maddox telah diarahkan bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada bulan Julai 2003. Secara kebetulan, dia telah ditugaskan dalam Pasukan Operasi Khas 121 di Tikrit, iaitu sebuah bandar di Sungai Tigris kira-kira 220km dari Baghdad. Walaupun Tikrit merupakan kampung halaman Saddam, majoriti pakar strategi mempercayai yang dia telah melarikan diri ke Syria.

Staf Sarjan Eric Maddox tiba-tiba mendapati dirinya turut terlibat dalam pemburuan sasaran bernilai tinggi (high-value targets, "HTV") yang diwakili oleh set daun terup tersebut. Dengan senarai sekitar 200 nama, dia mula menyoal tahanan di Tikrit. Berbekalkan kemahiran Rangernya, dia menyertai pasukan Delta Force membuat serbuan dan menangkap saspek pada tengah malam dan menyoal siasat mereka pada siang hari. Dia kemudian menyedari bahawa peperangan menentang keganasan telah mengubah taktik peperangan iaitu dengan menjadikan kerja risikan sebagai perkara paling utama.

Empati vs Simpati

Eric kemudian telah mengenal pasti bahawa ancaman dan intimidasi tidak lagi berupaya mendapatkan sebarang jawapan. Sebaliknya, dia memutuskan untuk memberikan insentif kepada para banduan dan menawarkan jalan keluar. Menurut Eric, apabila dalam keadaan terdesak, mereka hanya memikirkan dan mementingkan diri serta keluarga sendiri sahaja. Lama-kelamaan, Eric mula memperolehi kepercayaan dengan menunjukkan rasa empati. Namun begitu, Eric menegaskan bahawa rasa ini tidak boleh dicampur-aduk dengan simpati. Ini disebabkan empati tidak mempunyai sebarang emosi, ia hanyalah memahami apa yang dirasai orang lain.

Eric begitu mendalami karakternya sehinggakan pegawai-pegawai atasannya juga tertipu dengan muslihatnya. Ada beberapa peristiwa di mana mereka menariknya keluar daripada sesi soal siasat kerana khuatir Eric telah 'terbabas' dibawa emosi. Eric melihat situasi ini sebagai suatu kejayaan dan kebanggaan kerana jika para pegawainya sendiri menyangka yang Eric telah berpihak kepada tahanan, ini bermakna Eric telah menyempurnakan tugasan dengan sangat baik.

Setelah itu, tumpuan Eric dan Pasukan Petugas Khas beralih kepada seorang saspek lain iaitu Mohammed Ibrahim Omar al-Muslit yang merupakan saudara terdekat dan pengawal peribadi kepada Saddam. Selepas kira-kira tiga bulan menyoal siasat, Eric merasakan yang kehadiran al-Muslit di Tikrit mungkin menandakan bahawa Saddam sebenarnya berada berhampiran. Jadi, mereka mula mencari ahli keluarga, rakan perniagaan dan diikuti dengan penangkapan pemandu peribadi al-Muslit pada 1 Disember. Pemandunyalah yang menceritakan keseluruhan susun atur pemberontakan serta membongkarkan bahawa al-Musit adalah utusan Saddam.

Pemberitahu maklumat lokasi Saddam

saddam diiringi penguasa

Selama 13 hari berikutnya, pemandu tersebut menyertai Eric membuat serbuan, malah turut duduk bersama dalam bilik siasatan. Pada 13 Disember, mereka akhirnya berjaya memberkas al-Musit. Lelaki itu berlengah-lengah pada mulanya. Selepas beberapa jam ditahan, dia berubah fikiran, malah berkeras untuk segera bertindak. Dia bersetuju untuk membawa mereka namun mereka perlu bergegas ke lokasi kerana jika Saddam menunggu terlalu lama, dia akan mula berasa syak wasangka dan melarikan diri. Sekiranya Saddam berjaya meloloskan diri, bantuan kewangan dan penempatan semula yang ditawarkan oleh Eric kepada al-Musit dan pemandunya juga akan terbatal serta-merta.

Pada petang hari yang sama, Pasukan Petugas Khas dengan bantuan Briged Pertama dari Bahagian Infantri Keempat telah menuju ke perkampungan Ad Dawr yang terletak kira-kira 16km dari tenggara Tikrit. Pada mulanya, pencarian di dua buah rumah sasaran mendapati ia adalah kosong tanpa penghuni. Walau bagaimanapun, salah seorang tentera menjumpai sebuah lubang rahsia di bawah tanah yang kemudiannya telah mendapat perhatian seluruh dunia. Di dalam lubang itulah tinggalnya seorang bekas diktator dalam keadaan tidak terurus serta menyedihkan.

Eric sendiri tidak menyertai serbuan terakhir tersebut. Pasukan Operasi Red Dawn sudah cukup bilangan anggota dan sarat bersenjata  walaupun akhirnya tidak perlu menembak walau satu peluru pun. Selama berminggu-minggu selepas itu, kisah mengenai kejatuhan Saddam Hussein dan gambar bukti penangkapannya di sebelah lubang persembunyian tidak lekang daripada menjadi tajuk berita. Walau bagaimanapun, nama Eric tidak pernah disebut mahupun dikenali. Tiada siapa yang tahu siapakah orang bertanggungjawab di sebalik lebih 300 soal siasat, ratusan serbuan serta analisis terperinci terhadap rangkaian peribadi Saddam yang berlangsung selama enam bulan sehingga akhirnya membawa kepada penangkapan diktator itu.

Selepas Operasi Red Dawn, Eric Maddox kembali meneruskan perkhidmatannya di Iraq kemudian di Afghanistan sebagai orang awam yang menjalankan lebih 2,700 soal siasat selain terlibat dengan lebih 200 serbuan sebelum dia akhirnya meninggalkan perkhidmatan tersebut.

Kaedah soal siasat yang berkesan

soal siasat saddam

Menurut Eric, masalah dengan kebanyakan penyoal siasat pengganas ialah mereka sebenarnya tidak pernah melakukan atau terlibat dengan soal siasat namun gemar bermegah seolah-olah mereka sangat arif tentangnya. Disebabkan itu ramai yang memilih jalan 'bodoh' dengan menyeksa dan menindas tahanan.

Bagi Eric, dia tidak perlu bertindak ganas terhadap tahanan. Jika dia berasa marah dengan mana-mana tahanan, dia bukan sahaja boleh menyeksa mereka, bahkan dia boleh berbuat lebih daripada itu dengan begitu mudah. Eric hanya perlu memulakan khabar angin di sekitar bandar dan di dalam penjara dengan mengatakan yang merekalah tukang pembocor rahsia yang bekerjasama dengan Eric. Ia adalah semudah itu.

saddam dalam mahkamah

Walau bagaimanapun, Eric tidak perlu ke tahap sedemikian. Dia menyimpan rahsia dan menunaikan segala janji kepada banduan yang membantunya. Pemandu al-Musit, misalnya, telah menerima wang ganjaran sebanyak $250,000 dan dibebaskan untuk hidup bersama keluarga serta lapan orang anaknya. Lokasi terkininya tidak diketahui. Begitu juga dengan Mohammed Ibrahim Omar al-Muslit yang dibebaskan awal sebelum menerima wang ganjarannya yang disembunyikan di Aleppo, Syria. Dia telah memulakan hidup baru sebagai orang kaya di Eropah Timur.

Saddam Hussein telah menjalani hukuman gantung sampai mati pada waktu subuh 30 Disember 2006 iaitu pada pagi Hari Raya Aidiladha.

Rujukan:

1. History

2. Student Life

3. New York Times

4. News 24

5. US Army




Hakcipta iluminasi.com (2017)