Oleh pada 16 Jul 2020 kategori

Anda pernah menonton filem 'Gladiator' lakonan aktor Russell Crowe? Dalam filem tersebut, watak beliau dipaksa untuk bertarung dalam stadium besar yang dinamakan 'collosseum', tanpa kerelaan dirinya.

Sejarah sistem pertarungan seperti itu yang kerap kali digambarkan berlaku semasa era pemerintahan Empayar Rom, dianjurkan sebagai salah satu bentuk hiburan kepada masyarakat tempatan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi tahukah anda, jiran kita Indonesia juga pernah menganjurkan pertarungan ala 'Gladiator', yang berlaku bukan beratus-ratus tahun dahulu sebaliknya pada tahun 1968 antara seorang lelaki dengan seekor singa?

Lelaki gagah perkasa

bandot lahardo stadium gladiator singa

Bandot Lahardo membawa reputasi yang cukup menggerunkan. Dia dikatakan pernah membunuh seekor harimau dan dua ekor kerbau, hanya dengan menggunakan tangan kosong.

Berasal dari Jawa, reputasi Bandot ketika itu cukup terkenal di kalangan masyarakat Indonesia. Seorang juara gusti yang turut sama mempunyai kebolehan atletik yang hebat, Bandot menggunakan kebolehannya dalam siri-siri sarkas yang dianjurkan.

Bandot memulakan karier dalam dunia filem sejak tahun tahun 1958, memainkan watak-watak dalam filem aksi serta menjadi koreografer untuk lakon layar.

Atas sebab kredibiliti serta kekuatannya yang seringkali diperkatakan, Bandot menjadi individu yang ditawarkan untuk melawan seekor singa betina, disaksikan sendiri 100,000 orang penonton yang hadir bersesak di Stadium Gelora Bung Karno pada 17 September 1968.

Bandot ketika itu berusia 39 tahun akan berhadapan dengan singa itu, dalam perlawanan kalah mati.

Perlawanan yang menghampakan penonton

penonton bandot lahardo singa stadium

Stadium yang sesak turut sama menerima kunjungan Menteri Luar Indonesia ketika itu, Adam Malik sebagai tetamu kehormat.

Bagi memastikan keselamatan orang ramai, sebuah pagar tinggi dibina di tengah-tengah padang bagi menempatkan kedua-dua peserta. Bandot masuk ke padang, diiringi pembantunya dan singa betina itu, yang ditempatkan dalam sangkar memerhati dari luar sebelum pintu sangkarnya dibuka.

bandot lahardo singa sangkar

Kedua-duanya mula bertentang mata tetapi singa tersebut nampak enggan beradu tenaga.

Selepas hampir 90 minit pembantu Bandot cuba melakukan provokasi bagi memastikan singa tersebut bertindak agresif, akhirnya mereka mengalah - mengecewakan ratusan ribu penonton yang hadir; gagal menonton perlawanan berdarah antara manusia dengan haiwan.

Bandot Lahardo enggan mengecewakan penonton

bandot lahardo gladiator indonesia

Orang ramai mula mengejek singa tersebut kerana kelihatan takut untuk berhadapan dengan Bandot, tetapi kerana ia adalah haiwan - sudah pastilah singa itu tidak peduli dengan sentimen orang ramai.

Namun bagi Bandot, kekecewaan penonton yang hadir berpusu-pusu perlulah diubati jadi dia menawarkan diri untuk melawan seekor seladang pula.

Selepas kedua-duanya dipersiapkan, Bandot dan seladang itu dipertemukan dalam sangkar sama. Kali ini, seladang itu tidak menghampakan orang ramai yang hadir terus meluru kepada Bandot mengakibatkan kecederaan pada dada beliau.

Bandot terselamat dalam perlawanan itu walaupun penonton agak kecewa pertarungan sampai mati yang dijanjikan tidak kesampaian, selepas pertarungan itu ditamatkan.

Begitulah bagaimana Indonesia pada tahun 1968 menganjurkan pertandingan manusia lawan haiwan ala 'Gladiator' yang disaksikan ratusan ribu orang ramai, dengan kehadiran seorang VIP untuk menonton sama.

Persoalannya, adakah anda sudah terhibur sekarang?

Rujukan

Indonesia: Gladiator Contest Falls Flat When Lion Refuses To Fight




Hakcipta iluminasi.com (2017)