Pada penghujung bulan Disember tahun 2019, Dr. Li Wenliang mula menyedari wujud sesuatu yang aneh dalam 7 kes melibatkan pesakit pneumonia yang sedang ditanganinya.
Menyedari simptom-simptom pesakit mempunyai persamaan seperti wabak SARS yang pernah melanda negara China tahun 2003, Li cuba berkongsi pendapatnya dalam kumpulan mesej yang dianggotai doktor-doktor lain ditempat dia bertugas.
BESARKAN TEKS A- A+
Tujuannya berniat baik dengan mengingatkan agar petugas mula mengamalkan pemakaian pakaian perlindungan keselamatan bagi melindungi diri dari jangkitan.
Mendapat maklum balas positif hasil daripada perbincangan mereka, pada ketika itu Dr. Li tidak menyedari apa yang sedang mereka hadapi ketika itu merupakan sejenis serangan yang belum pernah ada sebelum ini.
Bermula daripada perkongsian itu, pada awalnya perbincangan mereka hanya berlaku dalam peringkat dalaman di kalangan rakan sekerjanya. Tidak diketahui bagaimana hasil perkongsian yang dikarang beliau dalam kumpulan doktor itu boleh sampai ke media sosial pada 30 Disember 2019.
Tangkap layar amaran dan peringatan yang diberikan kepada rakan sejawatnya mula tular di dalam laman mikro blog Weibo, membuatkan netizen mula memperkenalkan terma '#WuhanSARS' - istilah itu menjadi sangat popular sehingga naik menjadi kata kunci nombor satu dalam laman web tersebut.
Ini memulakan perasaan panik di kalangan orang ramai.
Didiamkan pihak berkuasa
Amaran beliau membuatkan nama Dr. Li Wenliang disebut-sebut selepas mesejnya ditularkan dan dikongsi, memulakan kebimbangan berlakunya satu lagi wabak jangkitan besar-besaran mirip SARS di China.
Risau dengan kesan penularan amaran tersebut, Weibo bertindak memadamkan kesemua perkongsian berkaitan 'Wuhan SARS' dan semua perkongsian baru tidak lagi disiarkan secara automatik, akan ditapis terlebih dahulu.
3 hari kemudian, Dr. Li mendapat arahan untuk menghadirkan diri ke Bahagian Sekuriti Keselamatan Awam Wuhan bagi memperjelaskan berkenaan isu tulisannya yang tular.
Dalam siasatan, Dr. Li didakwa sengaja mahu mencetuskan kebimbangan kepada orang awam dengan melakukan dakwaan tidak berasas atas apa yang telah berlaku di hospital di mana dia bertugas. Cubaan memberikan penjelasan seolah tidak diendahkan pihak berkuasa.
Sebaliknya Dr. Li diberikan satu surat amaran yang perlu ditandatangani dan dipatuhi sepenuhnya, sebagai persetujuan agar terlepas dari hukuman penjara kerana mengganggu ketenteraman awam.
Disoal adakah dia faham akan akibatnya menyebarkan khabar angin berkaitan penyebaran wabak boleh menyebabkan tindakan lebih tegas diambil kepadanya, Dr. Li mengakui dia faham dan dia akan akur.
Kes perkongsian Dr. Li ditutup dan didiamkan walaupun dalam masa yang sama beberapa kes jangkitan paru-paru mula dilaporkan di Wuhan.
Majoritinya melibatkan individu yang pernah berkunjung atau bekerja di pasar basah Huanan yang terletak dalam daerah tersebut.
Amaran Dr. Li mula menjadi kenyataan
Apa yang cuba disembunyikan kerajaan China mula gagal dibendung, selepas terlalu ramai individu dijangkiti.
Kerajaan China akhirnya tidak lagi mampu melindungi apa yang berlaku, mengesahkan berlakunya penyebaran wabak jenis baru 2019-nCoV pada 7 Januari 2020 secara rasmi; menandakan amaran Dr. Li hampir dua minggu sebelum itu ada asasnya.
Walaupun begitu, amaran yang dikeluarkan kerajaan China pada ketika ringkas serta kurang menyeluruh, disebabkan andaian jangkitan hanya boleh berlaku melalui pemindahan virus daripada haiwan berjangkit kepada manusia.
Tiada usaha lebih ketat dijalankan. Hanya selepas pengesahan bahawa jangkitan turut sama boleh berlaku melibatkan penyebaran melalui udara dan sentuhan manusia dengan manusia, situasi mula menjadi kucar-kacir.
Dr. Li yang diarahkan untuk tidak lagi melakukan perkongsian kembali bertugas seperti biasa, tidak lagi menulis apa-apa status yang boleh mengundang kontroversi.
Dalam tempoh 2 hari dari 8 dan 9 Januari 2020, beliau ditugaskan merawat seorang pesakit yang mempunyai masalah glaukoma.
Walaupun menggunakan peralatan keselamatan seperti topeng muka, pada 10 Januari 2020 Dr. Li sendiri mula menampakkan petanda awal jangkitan coronavirus pada dirinya. Dia mula menampakkan simptom batuk-batuk dan demam panas, akhirnya dimasukkan ke dalam hospital untuk rawatan lebih rapi pada 12 Januari 2020.
Pesakit glaukoma yang dirawat beliau beberapa hari sebelum itu rupa-rupanya merupakan salah seorang pembawa virus yang pada masa itu masih lagi belum rasmi penemuannya.
Tanggal 20 Januari 2020, kerajaan China mengisytiharkan 2019-nCoV sebagai wabak yang memerlukan proses kuarantin penuh dilakukan. Darurat diisytiharkan di Wuhan bagi membendung penularannya.
Dr. Li masih dalam rawatan di hospital cuba melawan jangkitan. Beberapa ujian bagi mengesahkan status jangkitannya kembali dengan hasil negatif.
Hanya pada 30 Januari 2020, melalui melakukan perkongsian di Weibo - Li mengesahkan dirinya telah pun dijangkiti sejenis virus corona unik; yang pada ketika itu telahpun mula mencetuskan panik di seluruh dunia.
Perkongsian terakhir
Dalam perkongsiannya selepas itu yang dilakukan tanpa lagi takut dengan hukuman penjara, Dr, Li secara terbuka menjelaskan kekesalannya terhadap apa yang telah berlaku ke atas dirinya.
Beliau cukup terkilan dengan langkah kerajaan China menggunakan ugutan bagi mendiamkan dirinya terlebih dahulu, berbanding cuba mendengar apa yang ingin disampaikan serta justifikasinya sebagai seorang pegawai perubatan semasa disoal siasat.
Doktor Li yang pada ketika itu sedang menanti kelahiran anak keduanya memuat naik surat persetujuan yang ditandatangani, memaparkan secara terbuka arahan serta amaran kerajaan China yang diwartakan kepadanya.
Keadaannya bagaimanapun bertambah kritikal, sehinggakan jantungnya terpaksa dipam bagi membantu meneruskan hayatnya.
Tepat pada jam 2.58 pagi (waktu China) bertarikh 7 Februari 2020, Dr. Li Wenliang menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat jangkitan coronavirus.
Peranan kerajaan China dipersoalkan
Kematian Dr. Li Wenliang mendapat reaksi besar kumpulan netizen, khasnya pengguna Weibo yang berang dengan tindakan kerajaan China mendiamkan amaran beliau sejak awal.
Pihak berkuasa daerah Wuhan digesa oleh orang ramai memohon maaf kepada keluarga Dr. Li Wenliang, atas kealpaan dan keegoan mereka tidak mengendahkan amaran yang dikeluarkan oleh seorang pakar perubatan - berdasarkan kepada pemerhatiannya sendiri di hospital di mana dia bertugas.
Adakah situasi akan berubah menjadi lebih baik, sekiranya ada pihak mengkaji saranan Dr. Li yang hadir hampir 2 minggu lebih awal dengan lebih serius? Mungkin.
Namun semua kemungkinan pasti akan tertutup, sekiranya mana-mana kerajaan atau pemerintah dalam dunia terus membutakan mata dan telinga meletakkan pembentukan imej dan persepsi sebagai fokus utama.
Hinggakan wabak yang berbahaya dan masih dalam peringkat permulaan, dirasakan perlu diselindungi agar orang awam tidak berhadapan dengan situasi panik.
Apa yang lebih menghairankan - semasa mendiang terlantar di katil hospital melawan jangkitan, kerajaan China masih tegas menafikan berlakunya jangkitan kepada mana-mana pegawai perubatan yang berkhidmat.
Sedangkan pada ketika itu Dr. Li Wenliang sendiri sudah separuh nyawa, bertarung dengan paru-paru yang semakin sempit bergelut dalam rasa kelemasan.