Oleh pada 11 Sep 2019 kategori

Terkejut Adam selepas dia diminta keluar daripada United Kingdom pada tahun 2011 akan dihantar pulang ke negara asalnya, Malaysia.

Adam yang ketika itu berusia 37 tahun sudah menetap di Britain selama 6 tahun, sedar apa yang akan berlaku kepadanya jika dia dihantar pulang; Malaysia pasti tidak akan menerimanya kembali.

Adam cuba menerangkan statusnya sebagai salah seorang individu 'British Overseas Citizen' (BOC) tetapi penerangannya ditolak mentah-mentah. Tiga pegawai mengekorinya sepanjang perjalanan ke lapangan terbang untuk diterbangkan 'pulang' ke Malaysia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di Malaysia, dia dihalang masuk disebabkan ketiadaan taraf kerakyatan yang telah nekad dilepaskan pada tahun 2005, selepas mendapat khidmat nasihat peguam.

Tak sampai dua jam di Malaysia, Adam terbang semula ke Britain sebelum menerima kejutan yang lebih besar.

Pemegang passport BOC

pasport boc britain

Adam merupakan antara individu yang cuba mengambil peluang menjadi warga Britain berikutan kewujudan sistem pasport BOC, sebuah sistem tinggalan kolonial British kepada mana-mana negara jajahan mereka.

Beliau percaya dengan sistem itu dia bakal melayakkan diri menjadi seorang warganegara United Kingdom secara rasmi.

Jabatan kerajaan UK tahu kes-kes individu seperti Adam yang tergantung statusnya, disebabkan oleh keengganan Malaysia menerima mereka kembali.

Apa yang lebih memburukkan situasi - kerajaan UK juga tidak mengiktiraf kehadiran mereka; menghalang mereka daripada melakukan sebarang jenis pekerjaan, tidak dibenarkan memandu dan dilarang mempunyai sumber pekerjaan secara sah.

Nasib Adam malang.

Selepas statusnya dikenalpasti sebagai migran tidak sah, kerajaan Britain bertindak menahan beliau di balai polis sebelum Adam dipindahkan ke beberapa buah pusat tahanan berbeza.

Selepas hampir seminggu, dia diterbangkan ke Malaysia sebelum ditendang pihak imigresen tempatan memaksanya kembali ke Britain kerana dia sudah melucutkan kerakyatan secara sah.

Kembali ke UK, Adam dibebaskan tetapi berdepan kesukaran untuk hidup.

Dia melakukan kerja-kerja tidak formal, dibayar gaji rendah bekerja sebagai penghantar barangan yang dibayar mengikut jumlah kerja yang dilakukan.

Adam terpaksa menumpang di rumah kawan, berikutan ketiadaan dokumen yang membenarkan dia menyewa secara rasmi.

Bagi Adam, setiap masa dia menyuarakan hasrat untuk dapat kembali ke Malaysia tetapi tindakannya melepaskan kewarganegaraan dahulu membuatkan status Adam tiada lagi pengubatnya.

Kini dia hidup di UK tanpa tujuan, dikekang pelbagai masalah berikutan status sebagai seorang pendatang tidak sah; perlu meneruskan hidup dengan mengamalkan pelbagai cara berbeza setiap hari.

Nasib serupa bagi Yan Kit

salah seorang bekas warganegara

Apa yang berlaku pada Adam turut sama dirasai oleh seorang lagi bekas warganegara Malaysia bernama Yan Kit (bukan nama sebenar).

Kit tiba di UK pada tahun 2001 bagi melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan. Pada tahun 2005, dia diberitahu wujud peluang untuk dia mendapatkan status kewarganegaraan Britain; sekiranya dia setuju untuk melepaskan kerakyatan Malaysia.

Yan Kit kini sudah berusia lebih 40-an hidup terumbang-ambing setelah disahkan tidak mempunyai mana-mana kewarganegaraan secara sah; baik UK mahupun negara kita.

Pada tahun 2015, Yan Kit ditangkap pihak berkuasa Britain di sebuah garaj tempat dia bekerja.

Tangkapan itu membawanya kepada sebuah pusat tahanan dan Kit diberitahu pihak kerajaan UK sedang menghubungi pihak imigresen Malaysia bagi mengesahkan statusnya yang sebenar.

Maklum balas yang diberi mengesahkan Kit bukan lagi seorang warganegara dan tidak akan dibenarkan masuk kecuali dengan penggunaan visa lawatan.

Sama seperti Adam, Yan Kit menyimpan keinginan untuk kembali hidup bersama isterinya yang masih menetap di Malaysia namun haluannya sukar, kerana bagi bekas warganegara seperti Yan Kit; peluang itu hanya datang sekali.

Seandainya dilepaskan, pintu akan tertutup buat selama-lamanya.

Tertekan akibat ketiadaan status penduduk tetap United Kingdom, Kit menghabiskan masa hari demi hari di rumah ekoran kegagalan mendapatkan kerja tetap.

Liew Teh ingin kembali ke Malaysia

terkandas di britain

Pada tahun 2009, satu perkhabaran buruk menimpa Liew Teh.

Dia dimaklumkan bahawa permit kerjanya tidak dapat diperbaharui disebabkan isu status kewarganegaraannya.

Sama seperti Yan Kit dan Adam, Liew memilih untuk melepaskan kerakyatan Malaysia pada tahun 2006 selepas menamatkan pengajiannya di UK, dengan hasrat mahu menjadi penduduk tetap United Kingdom.

Selepas mendapatkan nasihat peguam, permohonan itu dilakukan namun tidak ada sebarang keputusan rasmi dibuat, disebabkan oleh keengganan kerajaan UK mengiktiraf pasport BOC.

Liew yang tergantung terpaksa bergantung harap kepada bantuan kawan-kawannya untuk membiayai kos sara hidupnya, ekoran ketiadaan kebenaran untuk bekerja.

Kelulusan sarjana yang diperolehi oleh Liew juga tidak lagi bermakna, kerana tanpa mempunyai status warganegara; kertas itu hanyalah kertas yang tiada mempunyai apa nilai padanya.


Pasport British Overseas Citizens atau BOC merupakan sistem di mana kerajaan Britain akan menimbangkan pemberian kewarganegaraan penuh kepada individu yang berasal dari negara bekas koloni Britain, asalkan mereka tidak lagi mempunyai kaitan atau hubungan dalam bentuk rasmi dengan negara asal mereka.

Britian mempunyai beberapa kaedah berbeza dalam menentukan kelayakan pemegang pasport BOC - namun bagi negara kita, sekiranya seseorang warganegara Malaysia melakukan permohonan pasport BOC secara formal, secara automatiknya kewarganegaraan seseorang itu terlucut.

Ini kerana negara kita tidak mengiktiraf sistem dwi-kewarganegaraan.

kisah wargenara malaysia yang hilang kerakyatan 27

Dalam kes melibatkan mereka bertiga, kesemuanya dinasihatkan untuk memberanikan diri melucutkan kewarganegaraan Malaysia kerana yakin langkah itu bakal mencerahkan peluang mereka menjadi warganegara Britain yang sah - setelah menjadi pemegang passport BOC.

Malangnya Britain sendiri enggan menerima kemasukan mereka ini atas bermacam faktor. 3 kes di atas hanya sebahagian kecil situasi unik melibatkan bekas rakyat Malaysia yang ketika ini terumbang-ambing tanpa negara. 

Situasi dihadapi individu seperti Liew, Adam dan Yan Kit ini memang layak mendapat simpati daripada masyarakat kita tetapi hendak tak hendak, haruslah juga diambil sebagai pengajaran pada kita semua supaya tidak mengambil mudah apa yang sudah kita ada.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel ‘We have nowhere to go’: The stateless UK residents that no country wants to accept terbitan Independent UK pada 9 September 2019.




Hakcipta iluminasi.com (2017)