Ramai rakyat Malaysia tidak suka kemasukan pendatang asing. Mereka dikatakan membawa masuk masalah sosial, meningkatkan kadar jenayah serta menyebabkan rasa kurang selesa kepada orang tempatan.

Daripada satu perspektif lain yang jarang kita perkatakan, negara lain pun turut sama mempunyai masalah serupa - disebabkan oleh orang kita pula. Kemasukan warga Malaysia ke negara luar mungkin tidak meningkatkan kadar jenayah, tetapi menyumbang kepada masalah lain khasnya melibatkan pentadbiran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda negara mana menjadi sasaran warga Malaysia untuk dijadikan penempatan, sama ada secara haram atau secara sah? Berikut adalah tiga negara paling popular pilihan kumpulan migran Malaysia yang direkodkan oleh kerajaan seluruh dunia.

1. Australia

pekerja bekerja di australia

Adakah memeranjatkan anda sekiranya anda diberitahu, jumlah pendatang tanpa izin paling ramai di Australia adalah warga Malaysia? Lebih 10,500 orang kita dilaporkan terus tinggal di Australia tanpa kebenaran, jauh melebihi negara-negara lain.

Laporan kerajaan Australia pada tahun 2018, menyebut bahawa seramai 62,000 individu direkodkan menyalah gunakan kemudahan visa masuk dengan kumpulan warga Malaysia merupakan penyalah guna terbesar.

Pada tahun berikutnya, angka itu dikatakan meningkat kepada lebih 30,000 orang sehingga memerlukan kerajaan Australia meletakkan pegawai mereka di sini - untuk memeriksa maklumat individu yang hendak ke situ.

pekerja malaysia di australia

Ramai menggunakan alasan mereka adalah pelarian perang yang melarikan diri ketika cuba masuk ke Australia. Kami tak pasti perang sedang berlaku di lokasi mana di negara kita.

Walau bagaimanapun dalam masa yang sama, kerajaan Australia turut juga melaporkan kumpulan-kumpulan sindiket yang menjual kad pengenalan serta passport palsu negara kita, untuk memudahkan mereka masuk ke Australia.

Sindiket-sindiket ini mensasarkan warga Vietnam yang diminta bayaran sekitar RM130,000 untuk diseludup masuk ke Australia dengan identiti Malaysia.

Kumpulan warga Vietnam ini kemudiannya dikurung dalam sebuah hotel di negara kita, sebelum menunggu giliran untuk dibawa ke Australia sebagai pekerja di ladang pertanian. Adakah gerakan sindiket ini menjadi penyebab tingginya jumlah pendatang asing Malaysia di sana? Itu belum dapat diperjelaskan.

2. Korea Selatan

south korea pekerja ditipu

Negara Korea Selatan mempunyai hampir 250,000 pendatang tanpa izin. Lebih 5,000 daripadanya adalah rakyat Malaysia. Tidak semua bernasib baik, ada yang terpaksa hidup merempat disebabkan oleh ketiadaan punca pendapatan serta kesukaran untuk mendapatkan bantuan disebabkan status mereka.

Berbeza dengan Australia yang memudahkan kemasukan warga Malaysia ke sana yang dijadikan cara mudah untuk terus menetap di situ, warga Malaysia tanpa izin yang berada di Korea Selatan pula majoritinya merupakan mangsa sindiket agensi pencarian pekerjaan menjanjikan pendapatan tinggi sekiranya mereka sanggup tinggal di negara itu.

Agensi pekerjaan yang beroperasi banyak menggunakan medium media sosial bagi menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji tinggi serta menjanjikan kemasukan ke negara itu secara sah. Apabila tiba di Korea Selatan, impian yang ditawarkan nyata bohong belaka.

pekerja malaysia ditipu agensi

Kumpulan rakyat kita dihantar untuk bekerja dalam sektor pertanian di mana tahap keselamatan bukanlah satu faktor penting dan kesihatan pekerja adalah perkara yang tidak diutamakan. Salah seorang rakyat bernama Hafizy kita menceritakan beliau diminta membayar sekitar RM2800 untuk bayaran komisyen serta tiket kapal terbang sebelum diminta bayaran tambahan RM300 setelah tiba.

Hafizy dihantar ke sebuah ladang epal sebagai pekerja am dibayar gaji sekitar 60,000 WON atau RM210 sehari untuk kerja 13 jam, lebih rendah berbanding gaji minima negara tersebut iaitu 6,470 WON untuk 1 jam.

Gaji yang beliau terima bekerja sehari sepatutnya sekitar RM295 keseluruhannya. Mungkin dikebas ejen atau majikan sendiri yang mengambil kesempatan.

3. Singapura

warga malaysia paling ramai di singapura

Kerajaan Singapura mengambil pendekatan berbeza dalam melaporkan tentang jumlah kewujudan pendatang asing tanpa izin di negara mereka, di mana mereka tidak mengeluarkan sepenuhnya maklumat seperti negara asal dan jumlah sebenar kumpulan pendatang.

Bagaimanapun, untuk maklumat kemasukan pendatang luar secara sah ke negara mereka, maklumat itu mudah untuk diperolehi. Ini kerana di negara itu, sebahagian besar penduduk mereka adalah pendatang atau golongan migran - dengan 44% daripada keseluruhan migran adalah rakyat Malaysia diikuti warga China seramai 18%.

Dianggarkan seramai 1 juta lebih warga Malaysia kini memilih untuk menetap di Singapura secara tetap, belum diambil kira tambahan 300,000 lagi individu yang berulang-alik ke republik itu setiap hari melalui Tambak Johor.

penduduk malaysia hijrah ke singapura

Tidak diketahui berapakah jumlah pendatang tanpa izin warga Malaysia yang berjaya menyusup ke situ. Apa yang kita tahu adalah beberapa kisah tangkapan yang berjaya dilakukan terhadap warga kita.

Salah satunya adalah berkenaan kisah lejen seorang lelaki berbangsa Cina bernama Choo Juan Suan ditahan pada tahun 2019, selepas berjaya tinggal di negara itu selama 23 tahun tanpa dikesan.

Kali terakhir rekod beliau kembali ke Malaysia dicatatkan pada bulan Julai tahun 1995 namun tidak diketahui bila dia menyelinap masuk ke Singapura semula. Choo juga tidak bertindak mendedahkan kaedah yang dia guna, sebaliknya memilih untuk berdiam diri semasa tangkapan.

Choo yang kini sudah berusia 65 tahun mengaku bersalah atas tuduhan, dijatuhkan hukuman penjara 6 bulan serta denda SGD2,000. Kata beliau, dia kembali ke Singapura disebabkan oleh keluarganya yang menetap di situ termasuklah anaknya yang masih kecil (ketika itu).

Choo akan dihantar pulang ke Malaysia selepas selamat menjalani hukuman penjara. Tidak jelas bagaimana sepanjang 23 tahun itu, dia boleh bekerja dan menyara keluarganya tanpa dokumen yang sepatutnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)