Bagi sesetengah individu, lahir di sebuah negara yang bertuah seperti Malaysia ini dilihat sebagai satu beban yang besar dalam hidup mereka.

Kekangan ekonomi mengakibatkan pendapatan kita kekal pada kadar sama, sehingga menyebabkan ramai antara kita terpaksa melakukan dua tiga kerja hanya untuk menampung hidup. Dari kumpulan ini, ada yang nekad mahu 'melarikan' diri ke negara-negara luar memulakan hidup baru.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, untuk mendapatkan status kewarganegaraan sesebuah negara memang sukar tetapi ada kumpulan negara tertentu, yang membenarkan anda 'membeli' taraf kerakyatan mereka dengan wang ringgit. Berikut adalah lima contoh negara yang melaksanakannya.

Harus kami ingatkan, Malaysia tidak mengiktiraf status dwi-kerakyatan dan kami bukanlah mengesyorkan anda untuk cuba berpindah ke sana.

1. St. Kitts & Nevis

negara yang jual kerakyatan

Kami sengaja meletakkan negara Saint Kitts and Nevis lebih awal, kerana mereka adalah negara pertama dunia memperkenalkan dasar kerakyatan berdasarkan syarat pelaburan wang ringgit sejak tahun 1984.

Sebagai peneraju, mereka juga terkenal kerana mengenakan syarat yang agak longgar. Seseorang itu tidak perlu hadir atau memiliki kediaman di sana, sebaliknya hanya perlu melabur sebanyak RM623,170 ($150,000) yang tidak akan dipulangkan, ke dalam program pelaburan migran negara itu membolehkan kerakyatan kepada maksima 4 orang ahli dalam satu keluarga.

Sekiranya sebuah keluarga mempunyai lebih dari dua anak, pelaburan tambahan RM41,540 seorang akan membolehkan tambahan anak didaftarkan.

Populariti status kerakyatan St. Kitts and Nevis disebabkan oleh kebebasan yang diberikan kepada pemegangnya. Seorang pemegang passport bebas bergerak di kalangan 15 negara Kepulauan Caribbean serta dibenarkan masuk ke negara-negara dalam Kesatuan Eropah tanpa perlu permohonan visa.

2. Turki

turkey aya sofiya istanbul

Dilancarkan pada tahun 2017, kerajaan Turki mula menjadikan insentif status kerakyatan sebagai pemacu pelaburan bakal membawa masuk lebih banyak dana luar ke negara itu. Langkah ini diharapkan dapat mempercepatkan perkembangan pasaran hartanah di Turki.

Oleh kerana itu, kerajaan Turki memperkenalkan satu syarat mudah bagi mereka yang berminat - seseorang boleh mendapatkan status kerakyatan Turki dengan membeli hartanah di Turki pada nilai RM1.038 juta ($250,000) atau lebih.

Selain hartanah, kerajaan Turki juga memperkenalkan beberapa kaedah berbeza - membenarkan pelaburan kekal di Turki pada nilai RM2.077 juta ($500,000) ke dalam bank pelaburan tempatan atau menyumbang nilai sama ke dalam bon yang dibuka kerajaan.

3. Austria

austria passport beli

Sekiranya anda mengidamkan status sebagai orang Eropah, Austria mungkin boleh menjadi pilihan anda. Bagaimanapun, syarat yang dikenakan kerajaan Austria agak ketat.

Berbeza dengan Turki dan St. Kitts and Nevis yang membenarkan pelaburan secara pasif, untuk mendapatkan taraf kerakyatan Austria - seseorang itu perlulah melabur sebanyak RM49.11 juta (EUR10 juta) ke dalam sektor perniagaan tempatan.

Jika angka itu terlalu besar untuk anda, anda bolehlah memilih untuk menderma RM14.73 juta (EUR3 juta) ke dalam dana program pembangunan kerajaan Austria.

Pelaburan yang dibuat juga tidaklah dikeluarkan sewenang-wenangnya hanya untuk passport - dana itu perlulah dilabur ke dalam sektor atau industri yang diyakini mampu menyumbang kepada ekonomi Austria dan paling penting, mencipta peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

4. Malta

malta kewarganegaraan kerakyatan

Republik Malta yang merupakan sebuah negara kepulauan di Eropah yang seringkali berdepan kritikan negara-negara Eropah lain, disebabkan oleh syarat kerakyatan mereka yang dikatakan terlalu longgar sehingga mudah dimanipulasi banyak pihak.

Apatah lagi pendedahan yang dilakukan sekitar bulan April 2021, menunjukkan majoriti penerima passport Malta datang daripada negara-negara yang tidak mengiktiraf dwi-kerakyatan. Pengkritik dasar Malta melihat kerajaan Malta sengaja membenarkan perkara ini berlaku, bagi memastikan dana pelaburan dapat dibawa masuk tanpa halangan.

Diperkenalkan sejak tahun 2013, majoriti permohonan passport Malta diterima daripada warga Arab Saudi, China dan Russia yang hanya membenarkan warganegara mereka memegang satu kerakyatan.

Program Individual Investor Programme yang diperkenalkan kerajaan Malta memerlukan seseorang menetap di Malta selama 12 bulan dengan sumbangan daripada RM2.94 juta (EUR600,000) sehingga amaun maksima RM3.68 juta (EUR750,000).

Seseorang juga dianggap layak sekiranya dia membeli hartanah di Malta dengan nilai minima RM3.43 juta (EUR700,000), yang harus dipegang selama sekurang-kurangnya 5 tahun dari tarikh permohonan kerakyatannya diluluskan.

5. Montenegro

negara yang jual status kewarganegaraan

Melalui MIA atau Montenegrin Investment Agency, kerajaan Montenegro membuka peluang kepada orang luar untuk menetap di negara cantik ini yang terkenal sebagai destinasi pelancongan popular.

Seseorang individu berminat boleh melakukan pelaburan melalui MIA, amaunnya pula bergantung kepada jenis pelaburan yang dipilih. Nilai RM2.21 juta (EUR450,00) yang akan dilaburkan ke ibu negara Montenegro, Podgorica atau RM1.22 juta (EUR250,000) untuk pembangunan di bahagian utara negara tersebut.

Untuk setiap satu permohonan, kerajaan Montenegro mengenakan caj pengurusan tambahan sebanyak RM490,950 (EUR100,000), dijadikan dana peruntukan pembangunan kawasan kurang pembangunan di sana.

Program ini menarik minat banyak pihak luar, ekoran faedah kerakyatan Montenegro dilihat membuka akses kepada negara-negara Eropah lain, selain pemohon juga tidak perlu melucutkan taraf kewarganegaraan negara asal mereka.

Bagaimanapun, program ini bakal ditamatkan pada 31 Disember 2021. Jadi apa tunggu lagi? Anda nak tinggal di Eropah, bercanda di tepi pantai ditemani matahari yang segar? Masih ada beberapa bulan untuk anda mengumpul sekurang-kurangnya RM1.32 juta.




Hakcipta iluminasi.com (2017)