Oleh pada 29 May 2019 kategori

Walaupun nama David Belle dikenali sebagai inovator dan figura seni parkour melalui kumpulan Yamakasi dan filem aksi hebat seperti Banlieue 13, pengasas sebenar dan asal-usul disiplin itu bermula daripada ayahnya, Raymond Belle.

Butiran lengkap mengenai kehidupan awal Raymond agak samar. Namun, dia dilahirkan serta dibesarkan di Vietnam dan dilaporkan telah terpisah daripada kedua-dua orang tuanya semasa Perang Indochina Pertama ketika berusia 7 tahun. Kemudian, Raymond telah diambil oleh tentera Perancis yang menduduki bandar Da Lat pada tahun 1946.

BESARKAN TEKS     A-  A+

parkour

David pernah menceritakan dalam beberapa temu bual bahawa ayahnya sering didera sewaktu kecil. Dari situlah Raymond mula memasang cita-cita untuk menjadi kuat dan tangkas dari segi fizikal supaya dapat melindungi diri sendiri atau melarikan diri dengan pantas daripada sebarang bahaya.

Semasa berada di pusat jagaan ketenteraan anak yatim yang diuruskan tentera Perancis, Raymond telah menerima pendidikan selain menjalani latihan ketenteraan asas.

raymond belle

"Parcours du combattant"

Dia sangat meminati latihan ketenteraan di kem itu dan sanggup keluar pada waktu malam secara diam-diam untuk menggunakan balapan berhalang yang disediakan. Raymond akan membuat latihan yang sama berulang kali sehingga dia berjaya melepasi setiap halangan secara efisien dengan hanya menggunakan gerakan paling asas.

Untuk menguji dirinya, Raymond telah mencipta balapan halangan sendiri dengan menggunakan objek semula jadi dan akan cuba bergerak melepasinya dengan kaedah paling pantas.

raymond belle memanjat tali

Disebabkan dia menjalani latihan ini secara sembunyi-sembunyi dan boleh dikenakan hukuman yang berat sekiranya ditangkap, maka Raymond cuba untuk melakukannya tanpa menghasilkan sebarang bunyi. Dia berlatih selama berjam-jam untuk mendarat sambil cuba tidak membuat bunyi bising. Selain belajar untuk bergerak dengan senyap, Raymond juga berlatih melompat dari tempat yang tinggi tanpa mencederakan dirinya.

Selepas tercetusnya Perang Indochina pada tahun 1954, Raymond dibawa pulang ke Perancis dan menghabiskan zaman remajanya menjalani pendidikan ketenteraan sehingga tahun 1958 ketika mencapai usia 19 tahun.

Setelah menamatkan zaman pendidikan, Raymond menggunakan kemahiran tangkas yang dimiliki dengan menyertai pasukan pemadam kebakaran tentera Paris yang lebih dikenali sebagai sapeurs-pompiers di sana.

david belle parkour

Anggota bomba Paris

Semasa menjalani latihan dengan rejimen tersebut, dia mula berjinak-jinak dengan ajaran George Hébert iaitu seorang pakar pendidikan jasmani terkenal yang juga merupakan pencipta asal balapan halangan ketenteraan dipanggil “parcours du combattant" yang Raymond telah gunakan untuk mengasah kemahiran dan bentuk tubuhnya semasa meningkat dewasa.

Raymond teruja dengan teknik latihan Hébert yang digelar “méthode naturelle” atau Kaedah Alamiah. Ia merupakan siri latihan yang mengandungi 10 senaman asas yang dipercayai sangat penting untuk mendapatkan kecergasan tubuh pada tahap optimum. Kaedah Alamiah ini merangkumi senaman seperti berlari, memanjat, berjalan (dua dan empat kaki), berenang, melontar, angkat berat, mempertahankan diri, melompat dan keseimbangan badan.

george hebert pengasas teknik dan falsafah yang digunakan dalam parkour

Hébert mendapat ilham untuk menggunakan kaedah tersebut untuk kecergasan jasmani ketika bertugas sebagai pegawai tentera laut pada awal abad ke-20. Ketika itu, dia sering melihat sendiri penduduk pribumi yang mempunyai tahap kecergasan mengagumkan sehingga mampu bergerak pantas merentasi laluan tidak rata dan adakalanya berbahaya. Hébert percaya kaedah bergerak yang dipelajari secara 'organik' itu mampu mengatasi teknik-teknik lain yang dikoreograf.

Kehebatan Raymond Belle

Semasa menjalani latihan pasukan bomba, Raymond telah berjaya menonjolkan dirinya sebagai rekrut paling serba boleh dengan memecahkan rekod bagi setiap balapan halangan serta memenangi beberapa pertandingan yang dianjurkan pasukan bomba, terutama sekali dalam pertandingan memanjat tali.

raymond belle memenangi pertandingan

Ketangkasan Raymond kemudiannya telah menjadi buah mulut komuniti bomba. Dia sering dipanggil untuk menyempurnakan misi-misi yang paling berbahaya. Ada juga yang mengatakan kebolehannya itu telah dieksploitasi oleh banyak pihak. Pada suatu ketika, dia perlu menggantungkan diri dari sebuah helikopter untuk mengambil bendera Vietnam yang telah dipasang pada sebatang tiang bendera kira-kira 300 meter di puncak Notre Dame. Misi itu juga bersejarah kerana menjadi misi pertama pasukan itu menggunakan helikopter.

Raymond juga sering mengagumkan rakan-rakan sekerjanya dengan memanjat bangunan tinggi dalam hanya beberapa saat sahaja tanpa menggunakan tangga. Dia hanya memanjat menggunakan paip saliran dan berjalan seperti tiada apa-apa melalui belebas sempit beratus kaki di udara. Kesemuanya dilakukan tanpa sebarang bantuan.

Penyambung warisan seni parkour

Namun begitu, kehebatan Raymond lebih dikenali di kalangan pasukan bomba dengan aksi-aksinya di belakang tabir. Disebabkan kehandalannya bergerak pantas merentasi kawasan persekitaran yang dilaporkan merupakan teknik awal parkour, Raymond sering diberikan tugasan untuk melatih anggota baru bomba dan juga tentera.

Dalam salah satu sesi latihannya, Raymond sedang memberikan taklimat kepada sekumpulan anggota baru tentang kepentingan untuk membuang rasa gayat untuk menjadi seorang ahli bomba yang hebat. Kemudian, dengan tidak semena-mena dia berlari laju menuju ke arah tingkap berdekatan sebelum melompat keluar dari bangunan tersebut.

gerakan parkour yang berani

David yang dibesarkan oleh nenek telah banyak mendengar kisah kehebatan ayahnya. Dia menjadikan ayahnya sebagai hero dan sumber inspirasi untuk mempelajari pergerakan 'superhuman' itu sehingga berjaya mempopularkan parkour ke seluruh dunia bermula tahun 80-an. Era pula 90-an melihat banyak kemunculan disiplin parkour melalui televisyen dan penghasilan filem.

Kehebatan Raymond bukan sahaja dapat dilihat melalui David, malah melalui seorang lagi anak lelakinya yang kini menyambung warisan Raymond sebagai anggota sapeurs-pompiers.

Rujukan:

1. Britannica

2. Parkour/Freerunning as a Pathway to Prosocial Change: A Theoretical Analysis

3. World Freerunning Parkour Federation

4. Wikipedia

5. Newyorker




Hakcipta iluminasi.com (2017)