Celles merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di Herault, Perancis. Saiznya memang kecil - hanya mempunyai keluasan 7.5 km persegi dan jumlah populasinya pula, setakat tahun 2017; hanyalah seramai 32 orang.
Dari luaran, tidak ada apa-apa yang menarik berkenaan pekan kecil ini. Terletak agak jauh daripada pembangunan, sejak pembukaannya lagi pada penghujung abad ke 18, pekan ini tidak pernah mempunyai populasi lebih 120 orang.
BESARKAN TEKS A- A+
Semua penduduknya mengamalkan kehidupan bertani, menjana pendapatan dengan berjasa pada tanah. Sehinggalah tiba era 1950-an apabila kerajaan Perancis mula 'mengganggu' penduduk Celles dengan rancangan pembangunan.
Pembangunan hadir menggugat hidup warga Celles
Perancis sehingga kini merupakan antara pengeksport minuman keras wain terkenal dunia. Namun satu ketika dahulu, disebabkan oleh pengeluaran melebihi permintaan - harga wain Perancis mula merosot menyebabkan industri wain mereka jatuh.
Kejatuhan harga ini menyebabkan kerajaan Perancis terpaksa mencari jalan bagi menampung kelompongan yang ada. Usaha untuk mempelbagaikan lagi hasil tanaman mula dijalankan.
Herault yang menjadi kawasan perbandaran Celles terpilih sebagai salah satu lokasi transformasi penanaman bakal dijalankan, dengan projek membina sebuah tasik buatan dan empangan sebagai sumber air tanaman bakal dijalankan.
Projek yang dirangka itu malangnya meliputi kawasan pekan Celles, yang terletak betul-betul dipinggir tasik yang bakal diwujudkan.
Rancangan untuk meningkatkan empangan yang mampu memuatkan air setinggi 150 meter diramalkan akan menenggelamkan Celles, yang terletak di kedudukan 144 meter dari paras yang diukur.
Penduduk Celles yang pada ketika itu hanya berjumlah 80 orang menerima arahan kerajaan untuk berpindah secara paksa, bagi membolehkan projek dijalankan dan mereka tidak ditenggelami air yang bakal dinaikkan parasnya.
Mana yang bersetuju untuk menerima tawaran yang diberikan kerajaan, diberikan pampasan sebelum diminta meninggalkan kediaman mereka. Bagaimanapun, masih ada yang berkeras enggan berpindah.
Projek tasik dan empangan gergasi
Kerajaan Perancis merancang untuk menjalankan projek itu dalam dua fasa.
Fasa pertama adalah pembinaan empangan yang akan mencapai ketinggian air 139 meter sebelum fasa kedua dimulakan, menaikkan lagi paras air kepada 150 meter menerusi pendalaman dasar tasik.
Empangan itu selamat dibina dalam tempoh 5 tahun bermula pada tahun 1963 sehinggalah 1968, menamatkan fasa pertama membentuk tasik yang kini dikenali sebagai Tasik Salagou.
Bagi memulakan fasa kedua, mana-mana penduduk yang ketika itu masih enggan berpindah, diusir keluar dengan keras.
Tidak ada pilihan lain, akhirnya Celles ditinggalkan sepenuhnya selepas semua penduduk asalnya berpindah.
Bagaimanapun, fasa kedua projek empangan tersebut tidak pernah diteruskan kerajaan Perancis. Celles yang sudah dikosongkan, terselamat daripada ditenggelami air terletak hanya 4 meter dari jarak terdekatnya dengan tasik yang baru dibentuk.
Bagi penduduk Celles yang sudah memulakan hidup baru di tempat lain, mereka hanya mampu melihat semua struktur di pekan kesayangan mereka dimamah alam semulajadi terbiar begitu saja.
Penduduk mula melindungi kembali pekan mereka
Disebabkan oleh tiada tindakan susulan yang dilakukan kerajaan Perancis, beberapa orang penduduk asal mula bergabung tenaga untuk melindungi beberapa bangunan di Celles, agar statusnya sebagai sebuah 'pekan komuniti' terus diiktiraf.
Dewan orang ramainya (gambar bawah) diperbaiki termasuklah gereja, bagi memenuhi syarat minima. Bagaimanapun kediaman yang telah ditinggalkan, terpaksa ditinggalkan begitu saja menjadi usang kerana ramai enggan meneruskan usaha pemuliharaannya.
Sebuah jawatankuasa penduduk ditubuh bagi mendesak kerajaan Perancis mengekalkan status Celles seperti sedia ada. Hanya pada tahun 1996, kerajaan Perancis mengeluarkan pengisytiharan bahawa projek empangan itu akan kekal seperti sedia kala tidak diteruskan lagi - membolehkan Celles kekal di situ.
Pada tahun 2010, Majlis Perbandaran Herault bersetuju untuk menyerahkan hak milikan pekan tersebut kepada majlis jawatankuasa penduduk, menjadikan semua aset dan fasiliti yang masih tinggal di Celles bertukar tangan kepada waris penduduk asalnya.
Pertukaran itu membolehkan jawatankuasa penduduk Celles mula bergerak lebih rancak, merancang untuk mengembalikan komuniti mereka seperti sedia kala.
Pekan Celles kini
Selepas terbiar hampir 60 tahun, pada tahun 2017 majlis jawatankuasa komuniti Celles mengumumkan dasar untuk membuka Celles kepada kemasukan penduduk baru, dengan sasaran 80 orang penduduk pada tahun 2026, daripada 35 ketika ini.
Mereka yang berminat menjadi penduduk tetap Celles boleh melakukan permohonan, dengan syarat mereka mempunyai kemahiran yang boleh ditawarkan kepada komuniti Celles. Semua penduduk baru akan disediakan kediaman asal sedia ada, yang akan dibaikpulih dengan bantuan seorang penduduk berstatus arkitek profesional.
Pembukaan Tasik Salagou berdekad lalu menjadikan Celles salah satu lokasi pelancongan popular di Perancis dan komuniti penduduk Celles berharap mereka dapat mengambil kesempatan ke atas tarikan itu, bagi meningkatkan ekonomi mereka.
Namun usaha baik ini tetap mendapat tentangan kumpulan penduduk yang merasakan mereka masih ada hak ke atas tanah mereka, walaupun sudah berpindah ke lokasi lain.
Selain itu, masih ada juga segelintir kekal sensitif dengan apa yang berlaku berdekad dahulu, terus menyimpan dendam terhadap ketidakadilan kerajaan serta enggan mengiktiraf usaha komuniti penduduk dalam membuka kembali Celles.
Dendam kena usir dari rumah ni, memang sukar nak hilang kan?
200 permohonan untuk menjadi penduduk Celles diterima, tetapi tidak semua akan diterima. Tiga keluarga bakal penduduk Celles baru telah selamat berpindah ke pekan kecil itu pada bulan September 2019, menjadikan pekan sunyi dan terpencil itu sedikit meriah.
Rujukan