Alexander Solonik sememangnya mempunyai reputasi menggerunkan dalam dunia jenayah di Rusia. Dia yang dikenali sebagai pembunuh upahan terhebat Rusia ini adalah seorang yang sangat misteri. Dia tidak pernah mendedahkan siapa majikannya tetapi mereka membayar sejumlah wang yang besar untuknya.

Kehidupan awal Alexander Solonik

Solonik dilahirkan di Kurgan, Rusia pada 16 Oktober 1960. Ketika remaja, dia suka bersukan dan mahir menembak. Dia dikatakan telah menyertai tentera Soviet di mana dia mengasah kemahirannya awalnya sebagai pembunuh upahan bersama unitnya di Jerman Timur.

BESARKAN TEKS     A-  A+

alexander superkiller solonik

Walaupun perkara itu tidak dapat disahkan, Solonik dikatakan telah diberi tugasan untuk membunuh pegawai peringkat tinggi N.A.T.O semasa Perang Dingin. Ia bertujuan untuk menjejaskan kestabilan pertahanan Eropah Barat.

Bekas peguam Solonik iaitu Valery Karyshev pernah bercerita tentang anak guamnya. Solonik dikatakan begitu taksub untuk menjadi seorang adiwira seperti Superman. Apabila menamatkan perkhidmatannya dalam tentera, Solonik membuat keputusan untuk menyertai polis. 

Perubahan 360 darjah

alexander solonik berjambang

Akan tetapi, kehidupan Solonik berubah sama sekali pada tahun 1987. Bekas anggota tentera itu dibuang dari pusat latihan polis setelah enam bulan kerana kelakuan kejamnya terhadap para tahanan.

Selepas dibuang, dia ditahan pula kerana kesalahan merogol ketika bekerja sebagai seorang penggali kubur. Solonik berjaya meloloskan diri dari tuduhan jenayahnya apabila melompat keluar dari jendela tingkat dua mahkamah. Dia kemudian melarikan diri ke Siberia.

Ketika berada di Tyumen, Siberia, Solonik cuba mengelak daripada dikesan. Dia membuang tahi lalat di mukanya dan juga tatu di lengannya. Walau bagaimanapun, dia akhirnya ditangkap di sebuah salon kosmetik dan dipenjarakan selama dua tahun.

alexander solonik bersama rakan

Solonik (paling kanan) bersama rakan-rakannya

Pada April 1990, Solonik sekali lagi berjaya melarikan diri. Dengan saiz badannya yang kecil iaitu hanya 5 kaki 5 inci tinggi, dia berjaya melarikan diri dengan merangkak melalui ruang udara penjara.

Malangnya, dia terkandas dan terpaksa bersembunyi sekali lagi di bandar Tyumen. Namun, tawaran menjadi pembunuh upahan yang diterima Solonik menjadi tiket kepada kebebasannya.

Bermulanya karier Superkiller

menembak gaya macedonia

Pembunuhan pertama yang dilakukannya adalah pada 3 Julai 1990, sebulan setengah selepas dia meloloskan diri dari penjara. Terdapat beberapa perkara yang membuatkan Solonik sebagai seorang pembunuh upahan yang digeruni.

Pertama, dia tahu bagaimana untuk melepaskan diri dalam situasi yang tidak dijangka. Kedua, dia dapat mempertahankan dirinya dengan baik. Ini terbukti apabila dia berjaya kekal selamat selama di penjara bersama-sama banduan ganas lain yang lebih besar daripadanya. Setelah banduan lain tahu bahawa Solonik pernah bekerja sebagai tentera dan polis, dia telah menjadi sasaran ramai.

Ketiga, dia mahir menembak menggunakan 'Gaya Macedonia', iaitu menembak dengan dua buah pistol menggunakan kedua-dua belah tangan pada waktu yang sama.

Majikan pertama yang menggunakan perkhidmatannya ialah bos Mafia dari sindiket jenayah di Kurgan, Rusia. Dia diarahkan untuk membunuh pesaing majikannya di Siberia. Setelah selesai tugasan itu, Solonik berpindah ke Moscow.

Alexander the Great

mafia rusia

Target utamanya ialah pesaing kepada majikannya. Kebanyakan mereka ditembak dengan kejam dari jarak dekat mahupun jauh. Kisah kehebatannya tersebar dengan cepat di kalangan penjenayah sehingga dia dikenali sebagai "Alexander the Great".

Solonik juga menjadi buruan polis Moscow tetapi mereka tidak berjaya menjejakinya apatah lagi menangkapnya. Ini kerana dia memiliki kehebatan luar biasa untuk menghilangkan diri tanpa jejak. Selain itu, dia juga diketahui melakukan pembunuhan kontrak di Itali.

Pada tahun 1992, Solonik berjaya menumbangkan dua "gergasi" dalam jenayah terancang Moscow yang dianggap "kebal" iaitu Viktor Nikiforov dan Valery Dlugach dalam masa enam bulan.

Pembunuhan Dlugach dianggap sebagai pembunuhan paling berani yang dilakukan Solonik. Dlugach mempunyai ramai pengawal peribadi dan sentiasa bergerak menaiki kenderaan kalis peluru. Namun, dia berjaya membunuh Dlugach di hadapan khalayak ramai dalam salah sebuah kelab malam di Moscow.

Tiada siapa benar-benar selamat

salah seorang ketua penjenayah terkenal rusia

Salah seorang ketua penjenayah terkenal Rusia

Tiada siapa yang 100 peratus selamat daripada Solonik. Pada tahun 1994, dia kembali ke Tyumen untuk menuntut hutang berjumlah USD 1 juta daripada ketua sindiket jenayah paling terkenal di sana, Andrey Rura aka Mammoth. Solonik meminta lelaki itu membayar hutangnya kepada sebuah bank di Moscow.

Apabila ketua sindiket itu enggan membayarnya hutangnya, Solonik kembali semula ke Moscow. Namun, beberapa hari kemudian Rura dan konco-konconya telah ditemui mati.

Pada tahun yang sama juga, Solonik dan seorang rakannya telah ditahan polis. Malangnya, pihak polis tidak memeriksa kot hujan rakannya yang mempunyai senjata dengan betul.

Solonik dan rakannya kemudian melepaskan tembakan dan membunuh empat anggota polis sebelum melarikan diri dengan tangan masih bergari. Mereka juga telah membunuh dua orang pengawal keselamatan.

Pakar melepaskan diri

penjara matrosskaya tishina

Penjara Matrosskaya Tishina

Solonik yang cedera ditembak pada pinggang dalam pertempuran sebelumnya diberkas semula tetapi rakannya berjaya melepaskan diri. Kali ini, polis tidak mahu mengambil mudah lalu menyumbatnya ke dalam salah satu penjara paling ketat di Rusia, Penjara Matrosskaya Tishina.

Nampaknya tiada penjara yang mampu menahan Solonik selamanya. Pada tahun 1995, dia menjadi satu-satunya banduan yang berjaya melarikan diri dari Penjara Matrosskaya Tishina. Ia terbukti dilakukan oleh 'orang dalam' dan dibiayai oleh Mafia Rusia.

alexander solonik

Alexander Solonik (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya

Seorang lelaki bernama Sergei Menshikov telah membekalkan Solonik dengan tali, peralatan pendakian dan senjata api supaya Superkiller itu berjaya melarikan diri dari bumbung penjara menuju sebuah kereta BMW yang menunggunya di luar.

Selepas bebas, Solonik terfikir tentang masa hadapannya. Setelah lebih daripada 43 pembunuhan, dia nekad untuk berhenti bekerja dengan Mafia. Dia menggunakan kekayaannya untuk melarikan diri ke Greece pada awal tahun 1997.

Tuah berakhir

svetlana kotova

Svetlana Kotova, teman wanita Solonik

Namun, keputusan Solonik untuk berhenti dari bidang itu membuatkan bos-bos Mafia berang. Bekas majikannya kemudian mengupah Sasha Soldat, seorang pembunuh upahan lain yang juga merupakan sahabat Solonik untuk membunuh Superkiller itu. Solonik akhirnya berjaya dikesan di sebuah villa mewah di Athens.

Dia tinggal di villa itu bersama teman wanita, Svetlana Kotova, bekas juara Ratu Cantik Rusia. Pada 30 Januari 1997, tuah Solonik berakhir. Dia malah menjemput Soldat masuk ke villanya dan mula berbual bersama rakannya itu.

sasha soldat

Sasha Soldat (Sasha si Tentera) atau nama sebenarnya Pustavalov Alexander

Ketika Solonik membelakangi rakannya, Soldat telah menjerut leher Superkiller menggunakan tali sehingga mati. Soldat dari sindiket Kurgan itu juga membunuh teman wanita Solonik.

Pihak polis Athens tidak menemui mayat Solonik dan teman wanitanya sehingga dua bulan kemudian. Legenda Alexander Solonik terus diperkatakan. Sesetengah pihak percaya kematian Solonik dipalsukan dan Superkiller itu masih hidup secara rahsia.

Rujukan:

1. Kisah pembunuh upahan mirip filem John Wick

2. Pembunuh upahan terhebat Rusia

3. Kisah hidup Alexander "Superkiller" Solonik aka Alexander the Great




Hakcipta iluminasi.com (2017)