Bagi mereka yang dijatuhkan hukuman penjara yang panjang, sebahagian daripada mereka tidak dapat menerima hakikat bakal menghabiskan usia di balik pintu besi.
Jadi, cubaan melarikan diri daripada penjara adalah satu-satunya cara bagi mereka mendapatkan kebebasan pantas tanpa menunggu lama.
iluminasi.com kongsikan 5 kes "prison break" yang paling pelik dan dahsyat.
BESARKAN TEKS A- A+
5. Pascal Payet
Pascal Payet atau lebih dikenali sebagai Kalashnikov Pat, pada mulanya dipenjara kerana pembunuhan yang berlaku semasa rompakan van keselamatan.
Akibat itu, dia dihukum pada tahun 2001 dengan hukuman penjara sehingga 30 tahun. Namun, Pascal telah berjaya meloloskan diri dari penjara sebanyak 3 kali, menggunakan helikopter!
Kali terakhir dia melakukannya, iaitu pada tahun 2007, sebuah helikopter yang dirampas berama-sama juruterbang yang ditawan tersebut mendarat di atas bumbung penjara.
Pascal kemudiannya dibawa lari oleh rakan sejenayah yang memakai topeng muka. Selepas mendarat berdekatan dengan Laut Mediterranean, juruterbang dilepaskan dan sejak itu, Pascal bersama-sama rakan sejenayahnya tidak lagi ditemui.
4. John Dillinger
Seorang perompak bank di Amerika Syarikat pada awal 1930-an, John Dillinger, telah merompak sekurang-kurangnya 10 buah bank dan 4 balai polis.
Dia juga antara orang yang paling dikehendaki pada ketika itu kerana telah melarikan diri dari penjara sebanyak 2 kali. John menjalani hukuman di Penjara Michigan City sehingga tahun 1933, apabila dia dibebaskan dengan parol.
Dalam tempoh 4 bulan, dia dimasukkan semula ke penjara di Lima, Ohio, tetapi dia berjaya melarikan diri daripada penjara dibantu oleh sekumpulan penjenayah.
Mereka juga telah membunuh penjaga penjara, Sheriff Jessie Sarber. Sebahagian besar daripada ahli kumpulan itu ditangkap semula hujung tahun yang sama.
Akibatnya, John seorang sahaja yang dipenjarakan di Lake County, Indiana.
Dia berhadapan dengan hukuman penjara kerana membunuh pegawai polis William O'Malley ketika satu rompakan di Indiana, beberapa ketika selepas meloloskan diri dari penjara untuk pertama kali.
Pada Mac 1934, John meloloskan diri daripada penjara Crown Point, Indiana yang dianggap oleh pihak berkuasa tempatan sebagai penjara yang kebal dan dikawal oleh ramai pegawai polis dan pengawal kebangsaan.
Wartawan melaporkan bahawa John meloloskan diri menggunakan pistol palsu yang diperbuat oleh kayu yang diwarnakan menggunakan penggilap kasut.
Dengan menggunakan pistol palsu buatannya, John berjaya mengugut pengawal penjara untuk membuka pintu untuknya. Dia kemudiannya mengambil 2 orang tebusan, menahan dan mengurung semua pengawal penjara kemudian melarikan diri.
3. Alfie Hinds
Alfie Hinds adalah seorang lelaki British yang berjaya meloloskan diri dari penjara sebanyak 3 kali. Dan jika anda mengira pembebasannya untuk kali terakhir secara sah, jumlahnya menjadi 4 kali.
Darah jenayah Alfie datang daripada bapanya yang mana mati ketika menjalani hukuman bagi jenayah rompakan bersenjata. Pada tahun 1953, Alfie ditangkap kerana rompakan barang kemas bernilai RM360,000 yang tidak pernah ditemui.
Walaupun mengaku tidak bersalah, dia dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara. Namun, Alfie berjaya melarikan diri daripada penjara melalui pintu yang terkunci dan penjara setinggi 20 kaki.
Dengan ini, orang ramai mula memanggilnya "Houdini" Hinds.
Selepas meloloskan diri, Alfie menjalani kehidupan biasa sebagai seorang pembina dan penghias di Eropah sehingga tahun 1956, apabila detektif Scotland Yard mengesannya.
Alfie ditangkap selepas melarikan diri daripada penjara selama 248 hari.
Selepas penangkapannya, Alfie memfailkan saman terhadap pihak berkuasa atas penangkapan secara haram dan berjaya menggunakan insiden itu sebagai satu cara untuk merancang melarikan diri seterusnya di Mahkamah Undang-Undang.
Ketika 2 pengawal membawa dia ke bilik mandi dan melepaskan tangannya daripada gari supaya dia dapat membuang air, Alfie menolak mereka ke dalam tandas dan mengunci mereka dengan mangga.
Sebelum melakukan hal ini, rakan sejenayah Alfie telah memasang sesuatu pada pintu untuk Alfie. Akan tetapi, dia ditahan beberapa jam kemudian di lapangan terbang.
Cubaan melarikan diri yang ketiga adalah di Penjara Chelmsford. Dia pulang ke Ireland di mana tempat asalnya dan bekerja sebagai pengedar kereta terpakai untuk 2 tahun.
Kejatuhan Alfie berlaku sekali lagi apabila dia ditahan kerana memandu kereta tak berdaftar. Kali ini, dia cukup bijak untuk menggunakan kelemahan undang-undang.
Pada ketika itu, melarikan diri daripada penjara tidak dianggap sebagai satu salah laku, maka tiada hukuman tambahan yang dikenakan pada hukuman asal.
Dia menjalani enam tahun dari hukuman merompak barang kemas pada tahun 1953, memenangi saman fitnah terhadap pegawai polis yang menangkapnya dan menghabiskan sisa hidupnya sebagai selebriti kecil selepas menjual kisah hidupnya kepada Berita Dunia untuk RM160,000.
2. Julien Chautard
Pada tahun 2009, penjenayah kelahiran Perancis, Julien Chautard melakukan satu cubaan meloloskan diri yang sangat berani apabila dia berjaya melarikan diri ketika baru sampai ke Penjara Pentonville, London bersama sekumpulan yang lain.
Ketika tahanan-tahanan lain sedang berarak ke dalam penjara, Julien telah bersembunyi di sebalik van yang membawanya ke penjara di mana dia bakal menjalani hukuman penjara 7 tahun.
Beberapa minit kemudian, dia berjaya melarikan diri daripada penjara dengan berpaut di bahagian bawah van yang sama. Akan tetapi, dia akhirnya berjaya ditangkap semula oleh pihak polis tak lama kemudian.
1. Billy Hayes
Dihukum 30 tahun di penjara Turki atas jenayah penyeludupan dadah pada 1970, warga Amerika berusia 22 tahun, Billy Hayes, pada asalnya dihukum 4 tahun dan 2 bulan di penjara Turki.
Beberapa minggu sebelum dibebaskan, dia mendapat tahu bahawa pihak berkuasa telah memilih untuk menghukumnya dengan hukuman penjara seumur hidup, jadi Billy memutuskan bahawa dia terpaksa melarikan diri.
Selepas 6 bulan perancangan, dia bertempur dengan penjaga penjara dan mencuri pakaian seragamnya.
Berbekalkan RM8,000 yang diseludup oleh bapanya masuk ke dalam penjara menggunakan album gambar, Billy kemudiannya mencuri sebuah bot dayung dan akhirnya sampai ke tepi pantai.
Dengan harapan untuk pergi ke Greece, Billy mewarnakan rambut blonde-nya kepada hitam dan mula masuk ke sempadan. Dengan berkaki ayam dan keletihan tanpa passport, dia berenang merentasi sungai dan berjalan beberapa kilometer.
Apabila dia bertembung dengan seorang tentera bersenjata, Billy menyangkakan bahawa kebebasannya bakal berakhir namun tentera tersebut menjerit ke arahnya dalam bahasa Yunani.
Billy akhirnya berjaya kembali ke Amerika Syarikat dengan selamat dan kemudiannya menulis sebuah buku autobiografi bertajuk "Midnight Express" tentang pengalamannya di penjara dan bagaimana dia melarikan diri daripadanya.
Kisah ini juga difilemkan dalam Midnight Express versi filem.
Rujukan:
1. Adst
2. The Guardian