Satu siri baru dokumentari yang ditayangkan BBC, "Civilisations" telah mengajukan satu soalan yang mungkin begitu mudah untuk dijawab bagi orang kebanyakan seperti kita. Berapa tinggikah nilai sebuah peradaban kuno sehingga kita sanggup mati untuk menjaga seni khazanah itu?
Mungkin anda akan menjawab "tidak sanggup mati walau berapapun nilainya." Namun, bagi seorang ahli arkeologi, mempertahankan khazanah negara adalah perkara yang melibatkan hidup dan matinya.
BESARKAN TEKS A- A+
Khaled al-Asaad dilahirkan dan meninggal dunia di Palmyra, sebuah tapak warisan dunia Unesco yang diangkat sebaris dengan Pompeii kerana keindahan dan kepentingannya kepada dunia. Selama separuh abad, Khaled merupakan penjaga kota purba itu yang paling berdedikasi sehingga kepalanya dipancung oleh kumpulan militan IS pada tahun 2015.
Selepas kematiannya, beberapa imej telah ditularkan menunjukkan sekujur tubuh yang telah dipotong-potong dan tergantung di sebuah lampu isyarat sekitar bandar Tadmore. Dikhabarkan mayat tersebut adalah Khaled, namun rakan sekerjanya, Maamoun Abdulkarim menyangkal dakwaan itu kerana dilaporkan mayat Khaled ditemui terikat di salah satu tiang purba di runtuhan Palmyra.
Bagi seorang lelaki yang mengabdikan hidup untuk merekodkan masa lampau, sebahagian kisah hidup Khaled sendiri adalah samar-samar dan tidak dapat dipastikan dengan tepat. Usia tatkala kematiannya dilaporkan berbeza-beza antara 81, 82 dan 83 tahun. Beliau dilahirkan pada awal 1930-an dan mendapat pendidikan di sebuah sekolah berasrama di Damsyik. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang sejarah di universiti di sana sambil mempelajari bahasa kuno Aramia. Kefasihannya dalam bahasa tersebut merupakan satu pencapaian yang sangat jarang berlaku kerana hanya ada beberapa orang sahaja sarjana dari Syria yang berjaya menguasai bahasa itu.
Khaled kembali ke Palmyra pada tahun 1963 dan menghabiskan 40 tahun berikutnya bertugas sebagai pengarah muzium. Walaupun pada tahun 2003 beliau telah meletakkan jawatan, beliau masih kekal sebagai seorang pakar dan penasihat di situ.
Kecintaan Khaled terhadap kota lama itu saling berjalin dengan cintanya terhadap keluarga sehingga Palmyra menjadi sebuah perniagaan keluarga. Anak perempuannya, Zenobia yang dinamakan sempena nama ratu Palmyra pada abad ketiga, merupakan ketua koleksi muzium. Manakala menantu lelakinya, Khalil, menjadi kurator di situ. Selepas peletakan jawatannya pada 2003, salah seorang anak lelakinya iaitu Walid telah mengambil alih tempat Khaled dan seorang lagi anaknya, Mohammed telah membantu menyelamatkan lebih daripada 400 artifak dari genggaman IS.
Semasa Perang Saudara di Syria meletus pada tahun 2013, Khaled enggan meninggalkan bandar itu walaupun IS telah mengebom muka bangunan Temple of Bel yang merupakan salah satu peninggalan berharga Palmyra. Menurut Mohammed, ayahnya sangat menyayangi Palmyra. Beliau tidak mahu melarikan diri kerana beliau percaya yang ia harus dilindungi daripada sebarang bahaya.
Seorang ahli sejarah, Dan Snow, menyatakan yang Khaled telah mengorbankan diri untuk kepentingan kita semua. Khaled tahu bahawa kota purba yang hancur itu dapat membantu menyembuhkan sebuah negara yang sedang tenat. Jalan-jalan bertiang itu pula suatu hari nanti boleh membawa pelancong masuk untuk menjana ekonomi negara. Walau bagaimanapun, kewujudan Palmyra merupakan simbol kebebasan beragama yang sangat dibenci IS.
Semasa zaman kemuncak Palmyra sebagai salah satu wilayah kekuasaan perdagangan pada abad kedua, ia merupakan wadah tumpuan kebudayaan seperti Venice pada zaman Renaissance. Pada tahun 129 Masihi, Palmyra telah dikunjungi oleh maharaja Rom iaitu Hadrian yang telah memberikannya status istimewa sebagai bandar raya bebas.
Seorang lagi sejarawan dari Perancis, Paul Veyne, yang menulis buku "Palmyra: an Irreplaceable Treasure" yang didedikasikan kepada Khaled menjelaskan Palmyra merupakan pusat perdagangan penting terutama sekali bagi barangan seperti rempah ratus, gading gajah dan mutiara. Ia adalah sebuah kota metropolis di mana segala-galanya boleh didagangkan menggunakan sistem barter. Menurut Veyne, ketika itu, satu pertiga kilo sutera Cina adalah bersamaan 6,000 potongan rambut.
Pada bulan Mei 2015, pengganas IS telah menguasai Palmyra dan merosakkan mercu tandanya yang paling terkenal iaitu Gerbang Monumental Septimius Severus iaitu arca maharaja berkulit hitam pertama di Rom. Keadaan bertambah buruk apabila pada musim panas tahun yang sama, kumpulan pengganas itu telah menculik Khaled dan mengurungnya sebagai tahanan selama lebih dari sebulan.
Pada awal Ogos, keluarganya diberikan harapan apabila diberitahu yang pihak IS akan membebaskan Khaled. Namun, kebebasan yang dijanjikan tidak pernah muncul tiba kerana beberapa hari selepas dihubungi, kepala Khaled telahpun dipenggal. Menurut Mohammed, ada khabar angin mengatakan yang mereka membunuhnya kerana beliau tahu segala rahsia serta selok-belok Palmyra dan enggan memberitahu lokasi rahsia 'khazanah emas', namun berita itu adalah palsu. Khaled dibunuh kerana tidak mahu menyebelahi IS atau bersumpah setia kepada mereka.
Terdapat banyak laporan berita mengatakan pengganas IS menggeledah kawasan itu mencari harta karun yang disembunyikan. Ini disebabkan ada beberapa penemuan berharga telah berjaya dilakukan di bawah seliaan Khaled misalnya penemuan 700 keping syiling perak antik pada tahun 2001. Namun demikian, sekeping nota yang kemudian dijumpai pada mayat Khaled menyokong kenyataan Mohammed bahawa Khaled telah dibunuh atas sebab ideologi.
Mereka telah membunuh seorang lelaki hebat yang komited mempertahankan ketamadunan bangsanya. Namun, menurut Maamoun Abdulkarim, legasi Khaled akan diteruskan. Berpandukan dokumen dan rekod yang telah disusun sepanjang hayat Khaled, Maamoun berharap agar suatu hari nanti mereka boleh membina semula kota Palmyra yang telah dimusnahkan.
Pakar seni kini sedang menggunakan segala kertas kajian dan rekod dari Palmyra untuk membina semula secara digital segala artifak yang hilang atau rosak menggunakan teknologi percetakan 3D. Dengan model komputer, replika bersaiz sebenar Gerbang Monumental telah berjaya dibina menggunakan batuan marmar Mesir dan dibawa untuk satu pameran sesi jelajah ke seluruh dunia termasuklah di Dubai dan London sebelum berakhir di Syria.
Pembinaan gerbang itu sudah semestinya menimbulkan pelbagai kontroversi. Semasa upacara rasmi membuka tirai arca itu di New York pada tahun 2016, banyak pihak menyatakan ia adalah satu bentuk "penjajahan digital".
Namun, ramai yang tidak sedar bahawa kerja pemulihan secara digital ini boleh menjadi simbol kekuatan solidariti antarabangsa. Artifak yang telah musnah teruk itu diselamatkan di Palmyra, dipulihkan di Itali, dibawa mengelilingi dunia dan akhirnya dikembalikan ke Syria pada tahun lalu.
Itulah antara tanda penghormatan yang diberikan kepada Khaled al-Asaad, dengan membina semula apa yang telah dimusnahkan IS.