Sejak tahun 1993, para petani di sebuah kawasan perkampungan di Jepun telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana petani sebelum itu. Dengan mencampurkan pelbagai jenis tanaman padi, mereka akan menghasilkan sesuatu lukisan yang boleh dilihat pada kawasan sawah padi itu sendiri.

Setiap tahun, petani dari kampung Inakadate akan menanam padi yang akan menghasilkan pelbagai warna untuk menghasilkan lukisan tertentu yang dapat dilihat dengan jelas sehinggalah tibanya musim menuai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

padi di jepun

Antara lukisan yang pernah dihasilkan termasuklah lukisan Mona Lisa dan imej individu-individu penting dalam sejarah seperti Marilyn Monroe serta ikon-ikon popular dari Jepun seperti Naruto. Untuk menyaksikan keseluruhan lukisan ini dengan jelas, sebuah menara tinjau telah dibina.

Keunikan seperti ini yang tidak dapat dilihat dimana-mana tempat lain di seluruh dunia ternyata berjaya menarik ribuan pelancong dari luar untuk datang ke kampung ini dan melihat sendiri lukisan yang terhasil daripada tanaman padi itu sendiri. Malah, kadang-kala pengunjung terpaksa melalui kesesakan jalan raya yang panjang semata-mata untuk menyaksikan sendiri keunikan seni lukisan daripada tanaman padi ini.

Idea Kreatif Menjana Ekonomi Setempat

lukisan padi

Kira-kira 20 tahun dahulu, kawasan kampung ini semakin sunyi sepi akibat jumlah populasi penduduk yang semakin mengecil. Masalah ekonomi negara dan penurunan pendapatan penduduk daripada aktiviti penanaman padi mengeruhkan lagi keadaan penduduk di kampung ini.

Satu-satunya kebanggaan di kawasan kampung ini adalah penemuan tanah pertanian padi yang dikatakan sudah wujud sejak 2000 tahun lalu, menjadikannya salah satu kawasan pertanian tertua di bahagian utara Jepun.

seni padi di jepun samurai

Bagi menarik minat orang luar ke sini, mereka pernah membina sebuah taman tema dengan mengetengahkan tema Neolitik. Bukan sahaja ianya satu kegagalan besar, ianya telah membazirkan begitu banyak wang sehingga menyebabkankan kampung tersebut terpaksa menanggung hutang sebanyak $106 juta yakni 3 kali ganda daripada bajet tahunan mereka.

Tanam padi lebih murah dan menguntungkan

marilyn monroe 95

Bagi menghasilkan lukisan daripada tanaman padi pula, ia hanya memerlukan kos sekitar $35,000 setiap tahun untuk menyewa, menanam dan memeliharanya. Setiap tahun, ia mampu menjana pendapatan sehingga $70,000 daripada sumbangan pelancong yang datang ke sini.

Jumlah yang dikutip ini sepenuhnya adalah derma dan sumbangan daripada pelancong luar yang datang untuk menyaksikan sendiri seni lukisan ini. Dalam erti kata lain, para pengunjung boleh datang dan melihat sendiri lukisan-lukisan yang ada secara percuma.

Teknik khas menghasilkan lukisan

lukisan tanaman padi 496

Menghasilkan lukisan seperti ini bukanlah kerja mudah dan memerlukan kepakaran tertentu. Sebelum sesuatu lukisan ditentukan, mereka akan menggunakan komputer bagi membuat lakaran kasar imej yang ingin dihasilkan dan menentukan warna padi yang perlu ditanam.

Kemudian, puluhan hingga ratusan pekerja akan menanam padi berdasarkan warna padi tertentu yang perlu dirujuk pada imej yang telah dihasilkan terlebih dahulu. Padi yang mempunyai warna merah gelap, kuning dan putih ini merupakan padi yang telah diubah secara genetik yang akan digunakan bersama-sama padi biasa bagi menghasilkan imej yang telah dilakar.

seni padi di jepun

Imej dan lukisan yang dihasilkan juga semakin bertambah baik setiap tahun memandangkan kebanyakannya menggunakan teknik cuba jaya dan para petani ini semakin mahir melakukannya saban tahun.

Walaupun terdapat beberapa kawasan perkampungan lain di Jepun yang cuba meniru apa yang dilakukan oleh penduduk kampung Inakadate, ianya masih tidak dapat menandingin kehebatan lukisan penduduk di kampung ini. Lukisan yang dihasilkan sangat jitu sehinggakan ada pelancong yang bertanyakan sekiranya lukisan yang dihasilkan adalah dengan mengecat padi itu sendiri.

seni padi di jepun doraemon

Kredit:

  1. NY Times
  2. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)