Kredit foto: Instagram Neelofa
Aktres dan hos jelita, Neelofa mendedahkan bagaimana dia melalui detik sukar berperang dengan 'jet leg' sewaktu penggambaran drama bersiri Red Velvet.
“Ketika penggambaran Red Velvet dijalankan, saya banyak berulang alik ke luar negara untuk melunaskan kerja.
“Antaranya, saya ke Los Angeles, New York, Milan, Boston dan juga Paris. Semuanya memerlukan masa perjalanan yang lama.
“Kadang-kadang, sampainya sahaja saya di Malaysia, saya cuma berehat selama satu hari sahaja di rumah sebelum kembali ke set penggambaran. Saya akui saya berusaha sedaya upaya mengatasi ‘jet lag’," katanya menurut laporan portal Astro Gempak.
Bagaimanapun hal tersebut bukanlah pelepasan kepadanya untuk tidak meneruskan kerja-kerja penggambaran.
“Penat memang penat, tetapi tak adil untuk saya melayan penat kerana ramai lagi pelakon dan krew yang menanti untuk melunaskan baki penggambaran.
“Biarpun kadang-kadang saya rasa pening kepala, saya teruskan demi komitmen dan menganggap perkara tersebut sebagai cabaran,” dedahnya.
Dalam pada itu, pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor ini melahirkan kesyukuran kerana mendapat sokongan rakan pelakon dan tenaga produksi yang sangat memahami situasinya.
Kredit foto: Instagram Neelofa
“Mereka sangat profesional dan memberikan kerjasama terbaik. Saya rasa sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan mereka," luahnya.
Akuinya, usaha keras untuk terus memberikan yang terbaik juga bertitik tolak daripada sokongan peminat.
“Komitmen yang padat tidak menjadi penghalang untuk saya memberikan hasil maksimum dalam setiap kerja yang saya lakukan. Semuanya untuk peminat yang selama ini tidak henti menyokong kerjaya saya,” katanya lagi.
Red Velvet antara lain menampilkan pelakon Alif Satar, Hafidz Roshdi, Amira Othman dan Nina Nadira.
Bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di saluran Astro Ria.
Sumber berita: Astro Gempak