Oleh pada 30 Oct 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Neelofa

Drama bersiri Red Velvet yang menggandingkan Neelofa dan Alif Satar ditayangkan sejak minggu lalu ternyata semakin mendapat perhatian. 

Antara yang menjadi bualan bukan sahaja jalan cerita yang dianggap menarik tetapi juga gaya lakonan bintang utamanya.

Alif Satar mendapat pujian rata-rata netizen kerana cemerlang membawa watak Izzat secara bersahaja.

Namun lain pula kisahnya dengan kualiti lakonan Neelofa yang dikatakan bak 'kayu'.

Hal itu turut diakui oleh penulis novel drama berkenaan, Acik Lana.

"Hai. Macam mana dengan drama Red Velvet setakat episod 4? Dengar cerita macam-macam orang komen tentang lakonan Neelofa sebagai Helena," sapanya.

Kenyataan itu dibuat Acik menerusi laman Instagram mengulas tentang lakonan Neelofa yang menjadi isu.

Dalam pada itu, Acik akui fizikal sebenar watak Helena dalam novel adalah berbeza dengan pengacara Meletop itu.

"Kayu? Keras? Kaku? Kalau dalam novel memang fizikal Helena lainlah daripada Neelofa. Sebab versi novel orangnya free hair, tinggi dan seksi," dedahnya.

Bagaimanapun, penulis itu mula terhibur dengan watak Helena sejak episod tiga ke udara.

"Lakonan Neelofa awal-awal episod memang nampak macam keras sedikitlah tapi bagi saya, bermula episod ketiga dah kelakar dan seronok sahaja tengok," beritahunya.

Selain itu, Acik meminati lakonan Alif yang disifatkannya semulajadi dalam lontaran dialog.

Tak kurang watak Fareeq lakonan Hafidz Roshdi juga mencuri perhatian.

"Alif macam biasalah semulajadi sahaja lontaran dialognya. Watak Fareeq pun Acik suka lakonan Hafidz.

"Insya-Allah, episod seterusnya harap lebih baik. Anda rasa macam mana?" soalnya.

Red Velvet bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di saluran Astro Ria. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)